Isnin, 4 Oktober 2021 | 10:31am
Fenomena La Nina lemah akan mula terbentuk bermula bulan ini sehingga Januari 2022
Fenomena La Nina lemah akan mula terbentuk bermula bulan ini sehingga Januari 2022

Fenomena La Nina pengaruhi planet

PERUBAHAN cuaca dan peralihan monsun perkara lazim berlaku dalam iklim planet ini pada bulan tertentu termasuk fenomena La Nina.

Justeru, kebanyakan model iklim antarabangsa juga meramalkan kemungkinan fenomena La Nina lemah akan mula terbentuk bermula bulan ini sehingga Januari 2022, dengan kebarangkalian 70 peratus hingga 80 peratus.

Mengapa berlaku La Nina?

Menurut Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar dan Pakar Klimatologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Fredolin Tangang,

fenomena La Nina adalah fasa sejuk fenomena El Nino – Ayunan Selatan atau ENSO iaitu mod utama keragaman semula jadi iklim akibat interkasi lautan dan atmosfera di Lautan Pasifik.

Katanya, El Nino adalah fasa panas fenomena ini. Secara purata fenomena ini berulang dua hingga lima tahun dan boleh berlaku dalam skala kategori lemah, sederhana dan kuat mengikut darjah penurunan suhu permukaan air laut di bahagian tengah dan timur lautan Pasifik (bagi La Nina) dan peningkatan suhu bagi El Nino.

"Selain dari peredaran monsun yang berarah 'utara-selatan', peredaran atmosfera skala besar juga didominasi oleh peredaran 'timur-barat' yang lebih dikenali sebagai Peredaran Walker.

La Nina boleh menyebabkan curahan hujan meningkat dan memberi kesan terhadap alam sekitar. - Foto hiasan
La Nina boleh menyebabkan curahan hujan meningkat dan memberi kesan terhadap alam sekitar. - Foto hiasan

"Secara normal, kawasan benua maritim yang meliputi kawasan Malaysia, Indonesia dan Filipina adalah kawasan yang didominasi oleh kawasan penumpuan angin dan kelembapan dan pergerakan ke atas jasad udara.

"Dalam keadaan normal corak curahan hujan tinggi dan litupan awan yang tebal adalah ciri-ciri di rantau ini.

"Bagaimanapun, corak Peredaran Walker ini juga bergantung kepada keadaan suhu permukaan lautan di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik dan ini mengawal keadaan El Nino atau La Nina berlaku atau keadaan normal atau ENSO-neurtral," katanya.

Prof Fredolin, berkata semasa La Nina, angin timuran di Lautan Pasifik menjadi kuas dan mengangkut kelembapan ke Benua Maritim dan meningkatkan curahan hujan dan cuaca ekstrim.

Prof Fredolin Tangang
Prof Fredolin Tangang

Corak suhu anomali

Beliau berkata, kajian lain dilakukannya juga memperlihatkan kekerapan hujan ekstrim pada Disember hingga Februari berlaku lebih ketara jika La Nina adalah dalam kategori sederhana berbanding La Nina kuat atau lemah.

Keadaan ini berlaku disebabkan kaitannya dengan corak suhu anomali permukaan laut, di laut-laut di sekitar Benua Maritim selama fenomena ini.

Curahan hujan meningkat

Prof Fredolin berkata, semasa musim peralihan monsun keadaan tiupan angin di bahagian atas atmosfera lemah dan tidak mempunyai arah tertentu berbanding musim monsun barat daya

atau musim monsun timur laut.

Keadaan hujan dalam musim peralihan monsun ini juga boleh dipengaruhi

oleh fenomena skala besar seperti La Nina.

"Ketika ini, walaupun keadaan di Lautan Pasifik belum sepenuhnya keadaan La Nina, keadaan suhu permukaan di bawah paras normal sudah menyebabkan kelembapan yang tinggi menumpu ke kawasan kita.

"Ini berkemungkinan menjadikan musim perantaraan monsun September dan Oktober ini curahan hujannya lebih tinggi.

"Curahan hujan akan meningkat, intensiti hujan ekstrim dijangka meningkat terutama

jika intensiti La Nina adalah dalam kategori 'sederhana' akan meningkatkan kebarangkalian fenomena banjir teruk berlaku," katanya.

MET Malaysia pantau perkembangan

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah pula tidak menjangkakan kejadian banjir besar berlaku semasa peralihan monsun atau Monsun Timur Laut, pada tahun ini.

Muhammad Helmi Abdullah
Muhammad Helmi Abdullah

Bagaimanapun, katanya, MET Malaysia akan terus memantau perkembangan ENSO dari masa ke semasa dan sebarang perubahan yang signifikan akan diumumkan.

Fenomena La Nina akan meningkatkan taburan hujan terutama di kawasan pantai timur Semenanjung dan Sabah.

"La Nina juga akan meningkatkan kekuatan angin timuran yang bertiup dari Lautan Pasifik ke rantau di negara ini.

"Ini akan meningkatkan kelembapan udara di rantau ini, selain meningkatkan suhu permukaan laut barat Lautan Pasifik khususnya Asia Tenggara.

"Keadaan ini akan menggalakkan proses perolakan udara dan pembentukan awan yang aktif seterusnya membawa hujan lebat di beberapa kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia," katanya.

Justeru, kemungkinan berlaku banjir adalah tinggi terutama di kawasan rendah dan menjadi lebih buruk jika berlaku serentak dengan air laut pasang.

Impak fenomena berbeza

Beliau berkata, impak fenomena La Nina juga berbeza mengikut setiap episod yang dialami.

Justeru, bulan ini negara dijangkakan mengalami fasa peralihan monsun, dan fasa peralihan monsun bermula pada 24 September lalu dan dijangka berterusan sehingga awal November depan.

Keadaan cuaca ini boleh menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Lazimnya, semasa Monsun Timur laut, negeri di pantai timur Semenanjung, Johor, Sabah dan Sarawak menerima hujan lebih banyak.

MET Malaysia melaksanakan pemantauan cuaca secara berterusan 24 jam sehari , tujuh hari seminggu di seluruh negara.

Pemantauan cuaca dilaksanakan melalui rangkaian sistem pencerapan jabatan yang terdiri daripada stesen pencerapaan permukaan, radar cuaca serta imej satelit cuaca.

Data ini kerap dikemaskini hampir masa nyata secara berkala di dalam tempoh singkat membolehkan pemonitoran cuaca dapat dilaksanakan secara berkesan.

Berdasarkan rekod dari MET Malaysia, suhu harian minimum terendah yang direkodkan semasa episod La Nina terkini ialah pada 25 Januari 2020 iaitu di Kuala Krai, Kelantan dengan suhu 17.9 darjah Celsius.

Bagaimanapun, ini bukan suhu terendah yang pernah dicatatkan di Semenanjung.

Suhu terendah pernah dicatatkan adalah 15.7 darjah Celsius di Kuala Krai, Kelantan pada 3 Februari 2014 (selain stesen Cameron Highlands dan Tanah Rata).

Keadaan ini berlaku lazimnya ketika keadaan rantau negara yang berawan dan tiada sinaran matahari secara terus untuk tempoh beberapa hari.

Kejadian luruan sejuk dari Tanah Besar China dan hujan lebat berterusan juga adalah faktor yang turut menyumbang kepada berlaku keadaan cuaca lebih sejuk daripada biasa akibat penurunan suhu harian.

Kesan kepada alam sekitar

Muhammad Helmi berkata, fenomena La Nina boleh memberi kesan terhadap alam sekitar.

Katanya, La Nina yang kuat akan menyebabkan musim monsun yang lebih lembap di kawasan Asia Tenggara di mana lebih banyak hujan akan berlaku pada tempoh itu, sekali gus memungkinkan masalah banjir yang serius atau banjir besar berlaku di negara.

Hujan lebat yang turun boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh.

Kesan lain ialah apabila banjir besar berlaku, air sungai yang melimpah ke tepi lautan menyebabkan suhu lautan direndahkan.

"Suhu air lautan yang rendah dengan faktor mendapan tanah daripada air ini akan menyebabkan kematian terumbu karang tepi pantai.

Muhamad Helmi melihat perkembangan mengenai keadaan cuaca di seluruh negara.- Foto/Ihsan MET Malaysia.
Muhamad Helmi melihat perkembangan mengenai keadaan cuaca di seluruh negara.- Foto/Ihsan MET Malaysia.

"Seterusnya menyebabkan terganggunya ekosistem laut kerana kehilangan rantaian makanan dan kemusnahan habitat," katanya.

Masyarakat berwaspada

La Nina lemah yang dijangka bermula bulan ini tidak mempengaruhi corak cuaca negara secara langsung.

Bagaimanapun, keadaan cuaca masih boleh berubah dari semasa ke semasa disebabkan faktor lain.

Katanya, MET Malaysia sentiasa memantau, mengeluarkan nasihat atau amaran jika berlaku cuaca yang ekstrem.

"Ia dibuat untuk pengetahuan dan persediaan awal Agensi Pengurusan Bencana dan orang awam.

"MET Malaysia menyarankan penduduk di kawasan rendah dan biasa dinaiki air sentiasa ambil peduli amaran dikeluarkan dan berwaspada apabila berlaku hujan lebat," katanya.

Mereka perlu menyimpan dokumen penting di tempat selamat dan mudah diambil apabila berlaku kejadian buruk dan berpindah ke pusat pemindahan disediakan.

Berita Harian X