Sabtu, 21 Januari 2023 | 10:27am
Tapak perkhemahan di Taman Eko Rimba (TER) Sungai Pauh. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Tapak perkhemahan di Taman Eko Rimba (TER) Sungai Pauh. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Tempah Taman Eko Rimba Sungai Pauh dalam talian

CAMERON HIGHLANDS: Permohonan aktiviti perkhemahan di Taman Eko Rimba (TER) Sungai Pauh, di sini boleh dilakukan secara dalam talian menerusi emel phdchcampsite@gmail.com.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi, berkata pemohon hanya perlu mengemukakan nama, nombor telefon, bilangan peserta dan tarikh tempahan.

Menurutnya, permohonan akan di proses dalam masa tiga hari bekerja dan status permohonan akan diberikan secara dalam talian kepada pemohon.

"Tempahan melalui dalam talian ini hanya sementara sebelum sistem tempahan aktiviti rekreasi dalam hutan simpan dilancarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang(JPNP) tidak lama lagi.

"Selepas sistem berkenaan dilancarkan tempahan tapak perkhemahan ini akan ditamatkan," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, tapak perkhemahan TER Sungai Pauh hanya mampu menerima kehadiran pelancong yang bermalam seramai 100 pengunjung, had daya tampung ini telah mengambil kira keupayaan kapasiti tapak perkhemahan dan fasiliti yang disediakan.

Katanya, selain cuaca sejuk, pokok pine yang banyak terdapat di TER Sungai Pauh menjadi tarikan kepada pelancong.

Pelbagai aktiviti boleh diadakan pengunjung yang datang secara individu dan berkumpulan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi PHD Cameron Highlands di talian 05-4911384.

Berita Harian X