Bau harum aneka jeruk bagai ikut menyapa tunas rasa tatkala kaki melangkah memasuki ruangan hadapan Pasar Chowrasta, iaitu pasar tertua di Pulau Pinang.
Di bahagian tengah sehingga penghujung pasar pula menempatkan gerai ayam, daging, sayur-sayuran diikuti pelbagai jenis hasil laut, selain barangan keperluan harian lain.
Suara riuh rendah peniaga dan pengunjung datang bertali arus memeriahkan lagi suasana pasar berusia lebih 130 tahun yang beroperasi dari jam 6.30 pagi hingga lewat petang itu.
Menariknya, kunjungan ke Pasar Chowrasta boleh dikatakan tidak sempurna tanpa menjengah tingkat pertama bangunan itu yang bagaikan gudang yang menempatkan kira-kira 20 kedai buku terpakai.
Operasi hampir kesemua kedai buku terpakai itu pernah 'lumpuh' sewaktu berdepan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Ini diakui generasi kedua peniaga buku terpakai, Muhamad Irfan Zahir, 31, melihat kunjungan pelanggan di kedai buku terpakai, kini hanya mencapai 40 peratus hingga 50 peratus berbanding sebelum pandemik
Trend penurunan kadar pengunjung termasuk pada Sabtu dan Ahad berkemungkinan disebabkan pengguna lebih cenderung membeli buku dalam talian yang lebih mudah didapati tanpa perlu mengharung kesesakan jalan raya atau bersusah payah mencari parkir.
Ada lebih 20,000 buku pelbagai judul termasuk yang disimpan dalam stor hingga mencecah siling kedainya.
Koleksi majalah P Ramlee tahun 1965 yang paling lama tersimpan di kedai itu, selain buku 'Malaysia Year Book' (1973) dan Komik Marvel DC berwarna (1979).
Menurut penjawat awam itu, dia membantu bapanya, Zahir Hussain, 51, sejak di bangku sekolah dan kini hanya berkesempatan menguruskan kedai itu pada hari cuti dan hujung minggu.
"Dahulu tempat ini menjadi tumpuan pelajar membeli buku teks terpakai terutama yang tidak menerima skim pinjaman buku teks sebelum sesi persekolahan bermula.
"Ada membeli untuk menggantikan buku teks yang hilang sebelum akhir tahun tetapi ia tidak lagi berlaku sekarang," katanya.
Buku terpakai paling mahal
Menurutnya, kedai buku keluarganya menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan antaranya buku agama, sejarah resipi, pengetahuan am, fiksyen dan bukan fiksyen, selain komik, novel dan majalah.
Ia dijual serendah RM2 atau RM3 sehingga ada mencapai nilai puluhan atau ratusan ringgit.
Buku paling mahal pernah dijualnya adalah sebuah naskhah mengandungi sejarah asal Tanah Melayu serta Kuala Lumpur dicetak pada 1940-an ditulis dalam bahasa Inggeris.
"Buku itu dibeli oleh seorang pelancong dari Eropah pada 2018 dan dia memberitahu saya karya itu ditulis dalam gaya penulisan British lama.
"Ketika kami menawarkan harga RM450 dan dia membeli tanpa banyak soal atau tawar-menawar," katanya.
Dijual berlipat kali ganda
Seorang lagi pemilik kedai buku terpakai, Nasir Ahmad, 56, menjelaskan peluang mendapat buku yang dianggap bernilai tinggi sangat jarang berlaku dan sukar diduga.
Selain menjual buku pihaknya turut membeli buku-buku lama yang biasanya diperoleh daripada orang persendirian yang menghantar sendiri ke premisnya.
Buku jualannya paling mahal dijual sekitar RM150 kepada pelanggannya tetapnya yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, tiga tahun lalu.
"Buku itu ditulis bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pada 1956 yang turut mempunyai tandatangan pemimpin itu.
"Pelanggan adalah pengumpul dan penjual buku lama. Saya mendapat tahu buku sama dijual semula pada harga RM500.
"Di sini juga ada komik seperti koleksi Marvel tahun 70-an hingga 80-an, harganya cuma RM20 ketika dibeli di sini, tetapi dijual setinggi RM80 di platform media sosial.
"Bagi saya tiada masalah kerana ini terpulang kepada kesungguhan pembeli sanggup berusaha lebih menjual sesuatu yang mereka anggap sebagai berbaloi untuk dimiliki walau berapa pun harganya," ujarnya.
Masih berniaga cara lama
Meskipun pandemik COVID-19 menyaksikan perubahan pesat transisi perniagaan tradisional kepada dalam talian dia masih setia berniaga menggunakan cara lama.
Jumlah bahan bacaan di kedainya mungkin sudah mencecah puluhan ribu naskhah dan ia disusun memenuhi segenap ruang sehingga sehingga ada yang mencecah siling.
"Saya tiada perancangan untuk mencuba kaedah promosi melalui platform media sosial atau menjual secara dalam talian meskipun kebanyakan pelanggan datang dari luar Pulau Pinang.
"Lagipun saya seorang mengurus kedai ini kerana tidak ambil pekerja, tetapi peniaga kedai sebelah adalah abang saya jadi kami saling membantu," katanya.
Dia yang sudah 35 tahun menjual buku, tidak pernah menjilidkan atau membuat sistem rujukan bagi mengetahui judul atau bilangan sebenar buku yang terdapat di kedainya.
Katanya, jika terlalu banyak atau buku-buku yang tidak laku sudah rosak dia akan menjualnya secara pukal untuk tujuan kitar semula.
Buku mengenai Anwar Ibrahim
Ketika diminta menunjukkan koleksi buku yang dianggap sukar ditemui Nasir menunjukkan beberapa naskhah politik antaranya berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Koleksi itu ditutup dengan sehelai kain dan tidak dipamerkan secara terbuka kepada pelanggan.
"Ia belum berpunya. Saya sudah beritahu kepada rakan saya di Kuala Lumpur mengenai buku ini. Harga ditawarkan mungkin sekitar puluhan ringgit.
"Apa yang penting kami tidak menjual buku diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), misalnya pada 2019 ada sebuah komik kontroversi dari China yang dilarang pengedarannya di negara ini.
"Jadi kami memang sangat berjaga-jaga dengan perkara sebegini dan berpandangan banyak lagi buku tidak menyalahi undang-undang dan lebih bagus boleh diketengahkan kepada khalayak," katanya.
Buku yang bersifat relevan sepanjang masa seperti buku perubatan turut dicari pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang itu.
Katanya, buku itu biasanya dijual semula di kedai buku terpakai selepas bertahun-tahun digunakan.
"Buku itu biasanya tebal, besar, berat dan harga ratusan ringgit, tetapi di sini boleh dapat RM30 hingga RM35 atau lebih murah lagi," katanya.
Dia juga tiada masalah pelanggan datang ke kedai sekadar membelek dan membaca tanpa membeli kerana dahulu tempat ini juga jadi tempat melepak murid sekolah.
"Tetapi sekarang saya lihat generasi muda sudah kurang datang ke tempat sebegini mungkin kerana mereka lebih berminat ke pusat beli-belah lebih besar atau meluangkan lebih banyak masa dengan gajet.