Bagi pencinta alam yang ingin menikmati suasana tenang, dikelilingi hutan tropika malar hijau serta kedinginan air sungai, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak, antara destinasi ekopelancongan sesuai sebagai pilihan.
Terletak di tanah tinggi banjaran Titiwangsa, Pos Kuala Mu dijaga dan dipelihara oleh penduduk Orang Asli suku Temiar yang menetap di situ.
Teruja dengan kisah pengalaman seorang rakan yang bercuti serta menginap di sebuah chalet di Pos Kuala Mu, penulis dengan tiga orang rakan membuat keputusan untuk ke Pos Kuala Mu, baru-baru ini untuk melihat sendiri keindahan panorama dikongsikan itu.
Walaupun perjalanan menaiki kereta mengambil masa kira-kira empat jam dari Kuala Lumpur dan hampir dua jam dari pekan Sungai Siput sedikit sukar susulan keadaan jalan yang berbukit serta agak licin akibat hujan lebat, namun semuanya berbaloi sebaik kami tiba di lokasi.
Keindahan suasana perkampungan Orang Asli di kiri kanan jalan, dapat menghirup udara segar dan dingin menghilangkan rasa letih perjalanan.
Chalet, pondok unik
Pos Kuala Mu adalah perkampungan Orang Asli suku Temiar terletak paling hujung di kawasan lembah berhampiran dengan Sungai Mu.
Kawasan lembah itu terletak pada ketinggian antara 600 ke 700 meter dari aras laut yang menempatkan tiga kawasan chalet, iaitu chalet Kampung Bersah, Gapeh dan Dusun mula beroperasi, pada 2017.
Saya dan rakan sepakat memilih untuk menginap di chalet Kampung Dusun terletak di kawasan paling hujung berbanding dua chalet lain.
Di chalet Kampung Dusun ada kira-kira 20 chalet termasuk pondok berbentuk seperti rumah Orang Asli disediakan untuk pengunjung yang ingin menginap di situ.
Binaannya sangat ringkas, namun tetap memiliki keunikan tersendiri kerana dibina daripada sumber hutan sepenuhnya.
Menurut pengurus chalet Kampung Dusun Jalizam Azwan, 32, chalet dan pondok dibina menggunakan buluh dan daun pokok bertam yang diperoleh daripada kawasan hutan berdekatan.
"Saya mula ambil alih pengurusan chalet Kampung Dusun ini daripada pakcik saya sejak Februari 2022 kerana beliau tiada masa untuk memantau operasi chalet ini akibat terikat dengan pekerjaan hakiki.
"Orang luar (pengunjung) melihat chalet ini unik sebab ia dibina menggunakan pelbagai jenis buluh hutan termasuklah buluh tebal dan buluh halus serta bumbungnya dibuat dan dipasang menggunakan daun pokok bertam yang dicari di hutan sekeliling perkampungan ini,'' katanya.
Guna tenaga penduduk kampung
Setiap chalet dan pondok dibina mampu bertahan antara tiga hingga empat tahun dan akan dirobohkan selepas tempoh itu untuk digantikan dengan yang baharu.
Jalizam yang juga anak jati Kampung Dusun, berkata proses membina setiap chalet dan pondok hanya mengambil masa satu hingga dua minggu, bergantung kepada saiznya.
"Nak bina chalet dan pondok ini tidak susah pun kadang-kadang tiga ke empat hari pun boleh siap satu chalet, tetapi yang paling susah sebab nak kena cari buluh dan pokok bertam ini jauh di dalam hutan.
Ada masa nak kena masuk betul-betul ke dalam hutan dan jauh sedikit sebab ada kawasan hutan tiada buluh yang kita mahu.
"Contoh macam satu bilik (chalet) untuk dinding kita gunakan buluh besar dan kuat sedikit untuk kita anyam jadikan dinding manakala untuk kita ikat dinding atau tiang di kawasan tangga kita gunakan buluh yang halus dan kecil,'' katanya.
Jalizam berkata, semua proses pembinaan chalet dan pondok di situ menggunakan 100 peratus tenaga Orang Asli Temiar di perkampungan itu yang diambil upah bekerja di kawasan ekopelancongan berkenaan.
Selain bertanggungjawab membina chalet di situ, mereka turut mengambil upah mengemas chalet dan memastikan setiap kawasan bersih untuk keselesaan pengunjung.
Setiap chalet dilengkapi dengan lampu, tilam, bantal dan selimut serta boleh memuatkan antara tiga ke 10 orang pada satu-satu masa.
Selain chalet, ada sebuah pondok dilengkapi sinki, meja makan dan dapur memasak.
"Ada beza chalet dan pondok… chalet ini tertutup seperti bilik, untuk perkhidmatan ini kita sediakan tilam dan bantal untuk pengunjung yang bermalam di sini, manakala pondok lebih terbuka.
"Kebanyakan pengunjung yang singgah sebentar seperti geng konvoi bermotosikal akan memilih pondok untuk berehat.
"Ada juga yang sewa pondok dan kemudian memasang khemah di atas pondok ini sekiranya mereka memilih untuk bermalam kerana mahukan suasana hutan dan pemandangan sungai,'' kata Jalizam menambah, harga antara RM80 hingga RM150 semalam.
Tular selepas PKP
Menurut Jalizam, penularan pandemik COVID-19 pada 2020, sedikit sebanyak merencatkan aktiviti ekopelancongan di kawasan berkenaan.
Namun selepas pembukaan semula sektor ekonomi sejak setahun lalu, kawasan itu turut menjadi tumpuan sehingga menerima jumlah pengunjung sekali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Apabila aktiviti industri pelancongan negara terhenti sepenuhnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, kawasan ini pun seolah-olah mati. Operasi kita ditutup sepenuhnya.
"Kami masyarakat Orang Asli mengusahakan chalet dan bekerja di chalet ini terpaksa melakukan kegiatan ekonomi lain seperti menangkap dan menjual ikan sungai, mencari sumber hutan termasuk Tongkat Ali dan Kacip Fatimah untuk dijual kepada orang luar sebagai sumber pendapatan,'' katanya.
Selepas negara mula beralih ke fasa endemik, pada 1 April lalu, tempat itu mula dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat terutama kaki pancing selain sebagai lokasi peminat aktiviti perkhemahan.
"Waktu itu tempat ini menjadi sangat popular menerusi kuasa 'viral'. Ada pengunjung yang berkongsi info berkaitan Pos Kuala Mu ini menerusi video yang muatnaik di Facebook dan Youtube, jadi dari situ memang tidak putus pengunjung datang sampai ke hari ini.
"Di chalet dusun ini, kami pernah menerima lebih 100 tetamu pada satu-satu masa, waktu itu memang kami tidak menang tangan, saya juga terpaksa mengambil upah pekerja tambahan di hari minggu sebab pengunjung terlalu ramai,'' katanya mempunyai 10 pekerja tetap.
Sedia pelbagai aktiviti
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Lee berkata, beliau mengetahui kewujudan pusat ekopelancongan Pos Kuala Mu itu selepas melihat beberapa keping gambar dimuat naik rakannya di media sosial.
Lee berasal dari Butterworth, Pulau Pinang berkata, beliau teringin bercuti di situ apabila melihat gambar memaparkan keindahan kawasan itu.
"Selepas boleh rentas negeri, saya mencari sebanyak mungkin maklumat berkaitan kawasan ini selepas melihat gambar seorang rakan yang datang berkhemah ke sini.
"Saya kemudian mengajak isteri ke sini. Kami memilih untuk menginap di chalet Kampung Dusun ini kerana lokasinya sesuai untuk pacak khemah, selain hanya beberapa langkah dari sungai,'' kata kaki aktiviti berkhemah berusia 45 tahun itu.
Bagi penulis dan rakan, meskipun hanya menginap untuk satu malam, kami sempat meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti santai.
Penulis sendiri tidak melepaskan peluang mandi sungai dan barbeku iaitu aktiviti wajib yang dilakukan pengunjung yang datang ke sini.
Dengan air sungainya sangat bersih dan sejuk, kami turut berkesempatan memancing ikan di lokasi yang turut dikenali sebagai lubuk memancing ikan tengas.
Bagi pengunjung meminati aktiviti mencabar pula, mereka boleh menyertai aktiviti mendaki ke tempat air terjun yang mengambil masa kira-kira 50 minit dari chalet Kampung Dusun.
"Memancing, memasak ketika berkhemah dan hiking ke tempat air terjun adalah aktiviti yang paling menarik di sini.
"Kejernihan air sungai juga adalah faktor penarik kenapa ramai yang memilih untuk menginap di sini selain kawasan ini yang selamat untuk percutian bersama keluarga,'' tambah Jalizam. - BERNAMA