Jumaat, 19 Ogos 2022 | 3:52pm
Setiu Wetlands kawasan yang menarik untuk pelacongan nikmati keindahan alam semula jadi.
Setiu Wetlands kawasan yang menarik untuk pelacongan nikmati keindahan alam semula jadi.

Ekopelancongan unik di Tanah Lembap Setiu

Pelbagai tempat menarik dan unik tersedia untuk diterokai dalam negara ini. Penerokaan lokasi baharu bukan sahaja menghilangkan tekanan, malah aktiviti itu mampu memberi penambahan ilmu dan membuka minda khususnya berkaitan alam semula jadi.

Terengganu antara lokasi terpilih sesuai dilawati. Saban tahun negeri Darul Iman itu menerima jutaan pelancong dari dalam dan luar negara. Tarikan ditawarkan di negeri itu memenuhi keinginan setiap genap lapisan masyarakat seperti pulau, pantai, tasik, air terjun dan lain-lain.

Antara keunikannya ialah ekosistem tanah lembap Setiu atau Setiu Wetlands. Terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu, lokasi berkeluasan 23,000 hektar itu satu-satunya tanah bencah yang mempunyai sembilan ekosistem berbeza yang berada dalam satu kawasan iaitu Rimba Pesisir Air, Rimba Paya Bakau, Pulau, Sungai, Muara Sungai, lagun, laut, pesisir pantai dan Kawasan berlumpur.

Kepentingan ekosistem ini, antara lain sebagai kawasan habitat semula jadi bagi beberapa spesies penting yang saling berkait. Antaranya ialah pembiakan tuntung, beberapa spesies burung, rama-rama, reptilia dan lain-lain.

Selain itu, kawasan itu juga bertindak sebagai sedimen yang mana ia memulihkan kualiti air dengan memerangkap sedimen yang melaluinya sebelum air menuju ke laut lepas.

Ekosistem tanah bencah jadi penebat

Pelbagai aktiviti dan pengalaman boleh dilakukan di kawasan tanah lembap Setiu.
Pelbagai aktiviti dan pengalaman boleh dilakukan di kawasan tanah lembap Setiu.

Ekosistem tanah bencah di sini berupaya memerangkap nutrien dan mengawal nutrien yang terkandung dalam air. Fungsi tanah bencah ini menjadikan persekitarannya berada dalam keseimbangan.

Tanah bencah juga berupaya melindungi kawasan pinggir pantai daripada proses hakisan yang serius. Ia menjadi penebat untuk menyerap tenaga angin ketika berlakunya ribut dan secara tidak langsung mengurangkan hakisan pantai yang teruk.

Pelbagai usaha dijalankan untuk memulihara dan membangunkan Tanah Bencah Setiu termasuk dalam aspek pembangunan ekonomi komuniti dan pemuliharaan biodiversiti tanah bencah.

Sebagai sebuah universiti untuk komuniti, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalankan Projek Kemasyarakatan Pemuliharaan Paya Laut (PKPPL) di Tanah Bencah Setiu yang mensasarkan penanaman 60,000 pokok bakau sebagai langkah mengatasi masalah kepupusan hutan paya laut dan pembinaan laluan pejalan kaki yang merentasi hutan paya bakau sejauh 500 meter hasil inisiatif kerajaan Terengganu.

Penyelidikan untuk ekopelancongan

Menyedari kehidupan penduduk setempat yang hanya bergantung kepada hasil Tanah Bencah, sekumpulan penyelidik UMT memulakan inisiatif untuk mencari formula terbaik dalam merancakkan ekonomi penduduk setempat melalui ekopelancongan dan edu-pelancongan.

Keunikan dan keindahan ekosistem tanah lembap Setiu antara tumpuan pelancong merakam kenangan.
Keunikan dan keindahan ekosistem tanah lembap Setiu antara tumpuan pelancong merakam kenangan.

Fokus utama menjadi tumpuan penyelidik ialah menghasilkan produk yang berkualiti tanpa menjejaskan ekosistem tanah bencah itu.

Pelbagai program dilaksanakan oleh UMT dalam usaha meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar di sekitar Setiu. Program berbentuk pemindahan ilmu dari gedung ilmu dicurahkan kepada komuniti secara 'hands-on' dan berterusan.

Ia bagi memastikan keberkesanan projek yang dilaksanakan mampu memberi pulangan yang setimpal dan menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Projek itu dilaksanakan seperti penternakan kuda laut, penternakan ikan, projek usahawan udang galah, pemuliharaan belangkas dan lain-lain.

Projek ternakan kelulut

Terbaharu, UMT berkongsi kepakaran melalui projek ternakan kelulut. Projek bermula dengan penempatan sebanyak 15 sarang kelulut di plot Taman Kelulut Rumah Tokki, Pangkalan Gelap, Setiu melalui suntikan dana translasional UMT.

Projek itu mula menunjukkan hasil apabila setiap plot sarang kelulut telah berjaya mengeluarkan madu sebanyak purata 500 gram (gm) setiap bulan. Ia berkembang dengan penambahan 50 sarang kelulut dan sudah menarik minat 20 keluarga di sekitar Kampung . Pengkalan Gelap untuk turut serta dalam mengusahakan ternakan kelulut.

Tengku Puteri Utama Terengganu melihat cara pengambilan madu lebah kelulut daripada sarangnya.
Tengku Puteri Utama Terengganu melihat cara pengambilan madu lebah kelulut daripada sarangnya.

Madu kelulut yang lengkap dilabel dijual kepada pelancong yang berkunjung ke daerah unik ini dan secara tidak langsung memberi impak positif kepada penduduk dan pengunjung.

Kejayaan terus dilakar apabila Kumpulan Penyelidik Lebah UMT diketuai oleh Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak berjaya menarik kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan untuk menghasilkan produk farmaseutikal berasaskan madu kelulut.

Usaha menyebarkan kempen pemuliharaan alam sekitar tidak pernah pudar. Bagi memastikan ekosistem alam terutama tanah bencah terus terpelihara, UMT melantik Tengku Puteri Utama Raja Terengganu sebagai Duta Konservasi Alam Sekitar UMT.

Berita Harian X