Khamis, 30 Jun 2022 | 1:48pm
Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat. - Foto BERNAMA
Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat. - Foto BERNAMA

'Permata' Kuala Sat kembali bersinar

SELEPAS hampir dua tahun sunyi tanpa dikunjungi pelancong berikutan pandemik COVID-19, industri ekopelancongan yang baharu 'setahun jagung' di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling, di Jerantut, Pahang, kembali 'bernafas' ketika negara kini dalam fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu.

Kenderaan keluar masuk ke kampung ini terletak sekitar 117 kilometer dari bandar Jerantut dan kira-kira 54 kilometer dari Kuala Tahan ini, menjadi pemandangan lumrah terutama pada hujung minggu sejak industri pelancongan negara kembali bangkit pada penghujung tahun lalu.

Kampung tradisi Melayu ini masih mengekalkan keindahan panorama semula jadi ini semakin menjadi tumpuan pencinta alam termasuk pelancong dari luar negara boleh memilih sama ada bermalam atau balik hari.

Kedudukan Kuala Sat sebahagiannya terletak di Taman Negara Pahang di Kuala Tahan tidak sekadar menjanjikan pemandangan menghijau hutan berusia lebih 130 tahun tetapi juga alunan bunyi alam mengasyikkan.

Malah, ketenangan Sungai Hulu Tembeling dan Sungai Kuala Sat (anak sungai Hulu Tembeling) menjadi 'nadi ekonomi' buat penduduk kampung serta keramahan menyapa mesra pelancong dalam dialek Hulu Pahang, pastinya menjadi momen menggamit hati untuk kembali lagi ke sini.

Benarlah kata orang, tidak sah kalau ke Taman Negara jika tidak singgah ke Kuala Sat kerana ia adalah antara satu lagi 'permata tersembunyi' di daerah ini yang wajib dikunjungi serta diterokai bagi pencinta alam mahupun mereka yang ingin menghirup udara segar bebas daripada hiruk-pikuk kesesakan kota.

Suasana pagi di Kuala Sat

Suasana damai yang saya rasai sepanjang tiga hari perkhemahan di Kuala Sat, bercuti bersama keluarga, selepas sekian lama tidak dapat melakukan aktiviti itu.

Pemandangan dari puncak Gunung Milung berketinggian 691 meter di dalam Taman Negara. - Foto BERNAMA
Pemandangan dari puncak Gunung Milung berketinggian 691 meter di dalam Taman Negara. - Foto BERNAMA

Dingin kabus pagi dari hutan terpelihara di taman negara ini menggamit keasyikan kami sekeluarga tetapi juga rasa kagum melihat semangat penduduk kampung di sini yang cuba bangkit kembali memajukan ekopelancongan Kuala Sat.

Kedatangan ramai pengunjung memberikan 'sinar harapan' baharu buat penduduk kampung khususnya mereka yang menceburi bidang perkhidmatan yang menyokong dan mengembangkan aktiviti pelancongan di kampung ini.

Selain meneruskan tradisi keluarga menoreh getah, boleh dikatakan ramai anak muda Kuala Sat menjadi pemandu bot, jurupandu arah, pengurus chalet serta tidak kurang juga menjadi jurupandu pelancong yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan baharu kepada hampir 70 orang belia kampung ini.

Jeti Kuala Sat, kira-kira 100 meter dari kampung ini menjadi 'lubuk' rezeki apabila puluhan bot penambang sudah bersedia seawal pukul 10 pagi untuk membawa pelancong ke lokasi menarik di sepanjang Sungai Hulu Tembeling dan Sungai Kuala Sat yang bersebelahan Taman Negara.

Saya sekeluarga mengambil pakej disediakan antaranya menyusuri Sungai Hulu Tembeling dan Sungai Sat ke perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kampung Bengoi, berkelah di Pulau Betong, dan melihat ribuan anak ikan kelah, lampam dan kerai di santuari ikah Kelah di Kuala Sat.

Ada aktiviti meredah hutan, melawat Istana Seri Tembeling (istana hinggap bagi Ke bawah Duli Sultan dan kerabat diraja apabila mencemar duli ke kawasan Hulu Tembeling) atau ke Pos Kelapah adalah jalan masuk ke Gunung Milung.

Keistimewaan asam rong Kuala Sat

"Kerayan sunguh gun... (keadaan sudah berubah) ramai orang datang Kampung Kuala Sat lo ni (sekarang), meriah amat tiap hujung minggu," kata Zainuddin Yusuf, 82, dalam dialek Hulu Pahang (Kuala Sat), warga emas yang saya temui ketika kami sedang menjamu selera di kedai makannya.

Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat. - Foto BERNAMA
Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat. - Foto BERNAMA

Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat. - Foto BERNAMA
Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat. - Foto BERNAMA

Setiap kampung di Hulu Pahang mempunyai dialek dengan keunikannya tersendiri dan menjadi antara modal keramahannya menyambut mahupun meraikan kedatangan pelancong ke kedai makannya.

Bersyukur perniagaannya sudah kembali rancak seperti sebelum berlaku pandemik COVID-19, Zainuddin mengakui hampir dua tahun kedainya sunyi dan hanya dikunjungi orang kampung berikutan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Istimewanya kedai makan ialah lauk-pauk tradisi Hulu Pahang seperti asam rong dan gulai tempoyak ikan sungai menjadi tumpuan mereka yang sukakan makanan tradisi itu.

Boleh dikatakan tidak lengkap percutian ke Kuala Sat jika tidak menikmati dua menu popular ini bahkan keunikan asam rong Jerantut berasaskan daripada biji getah diambil isinya lalu dikeringkan dan diproses menjadi asam rong.

Banyak kemudahan lain dibangunkan di kampung ini, antaranya kedai runcit, sekolah rendah, masjid dan klinik kesihatan.

Ada kedai menjual petrol bersubsidi untuk penduduk kampung, selain kemudahan asas bekalan air, elektrik, talian telefon dan internet.

Ibarat permata yang bersinar

Ibarat 'permata' yang semakin bersinar, potensi ekopelancongan di sini memberi impak besar kepada ekonomi penduduk kampung sebelum ini hanya bergantung kepada sumber komoditi getah selain hasil kampung.

Santuari ikan kelah di Kuasa Sat yang sentiasa menjadi tarikan pelancong yang datang ke sini. - Foto BERNAMA
Santuari ikan kelah di Kuasa Sat yang sentiasa menjadi tarikan pelancong yang datang ke sini. - Foto BERNAMA

Penulis Kurniawati Kamarudin (kanan) bersama keluarga singgah di perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kampung Bengoi, sepanjang tiga hari perkhemahan di Kuala Sat, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Penulis Kurniawati Kamarudin (kanan) bersama keluarga singgah di perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kampung Bengoi, sepanjang tiga hari perkhemahan di Kuala Sat, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Perubahan ini berlaku apabila wujudnya jalan raya bagi menghubungkan Kuala Tahan ke Hulu Tembeling yang siap sehingga ke Kampung Kuala Sat pada 2018.

"Sebelum ini, hanya sungai jalan utama kami ke bandar untuk mendapatkan barang keperluan dengan menaiki bot yang mengambil masa kira-kira tiga jam dari Kuala Sat ke Kuala Tahan.

"Dari Kuala Tahan ke Jerantut pula, perlu menaiki teksi atau kereta sapu yang mengambil masa lebih kurang satu jam lagi perjalanan," kongsi penduduk kampung, Zainuddin Sam, 61, dengan Bernama.

Kemudahan infrastruktur jalan memberi kemudahan kepada lebih kurang 700 orang penduduk di Kampung Kuala Sat dan kampung berdekatan, antaranya Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai apabila masa diambil ke Jerantut kini kurang dari dua jam.

Ia juga bagaikan 'gerbang peluasan ekonomi' kepada penduduk apabila kemudahan berkenaan memberi pilihan percutian kepada pencinta alam untuk menikmati pengalaman baharu di Kuala Sat yang sebelum ini lebih tertumpu di Taman Negara Kuala Tahan.

Bukan tugas mudah

Bukan mudah membangunkan ekopelancongan di lokasi yang sebelum ini 'tidak ada apa-apa', terutama meyakinkan orang kampung apa yang boleh'dijual' kepada pelancong.

Perkara ini dikongsi oleh Alias Abdullah Hashim, 47, antara perintis ekopelancongan di Kuala Sat.

Kembali menetap di kampung pada 2018, Alias berpengalaman lebih 20 tahun sebagai jurupandu pelancong di Kuala Tahan berkata, beliau melihat Kuala Sat berpotensi dibangunkan kerana lokasinya bersebelahan dengan Taman Negara Pahang.

Membuka tapak perkhemahan 'Satlodge Campsite' di tanah milik keluarganya yang menghadap Sungai Hulu Tembeling dan Taman Negara, beliau berkata, nama Kuala Sat semakin dikenali masyarakat luar Jerantut pada awal 2019 apabila platform media sosial digunakan untuk mempromosikan pelbagai tarikan unik di sini.

Kampung Orang Asli di Kampung Bengoi, Kuala Sat. - Foto BERNAMA
Kampung Orang Asli di Kampung Bengoi, Kuala Sat. - Foto BERNAMA

Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat. - Foto BERNAMA
Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat. - Foto BERNAMA

"Banyak kelebihan ada di Kuala Sat, antaranya keadaan sungai berpasir dan kurang berbatu membolehkan banyak aktiviti sungai, selain air masih jernih serta kehidupan flora dan fauna yang masih terjaga.

"Aktiviti di sini sangat sesuai untuk seisi keluarga seperti berkelah, aktiviti rakit, naik bot ke Sungai Sat dan paling disukai pelancong adalah aktiviti tubing (menaiki perahu getah) mengikut arus sungai," katanya.

Apabila mendapat maklum balas baik daripada pengunjung, Alias mula menggerakkan belia turut terbabit bagi memenuhi keperluan pelancongan di sini sehingga ada berani mengeluarkan modal membina chalet, bilik dan inap desa bagi menampung permintaan semakin bertambah.

Kini terdapat dua tapak perkhemahan, selain lima jenis penginapan yang boleh disewa seperti inap desa dan chalet.

Berkongsi pengalaman kesukaran mengharungi tempoh PKP, Alias mengakui dia hampir hilang arah apabila aktiviti pelancongan yang baharu setahun usianya di sini terhenti.

"Banyak tempahan terpaksa dibatalkan dan saya kerugian ribuan ringgit. Belia kampung terpaksa kembali menoreh getah bagi mencari rezeki.

"Syukur, keadaan semakin pulih dan aktiviti pelancongan kembali bergerak dan saya memang tidak menang tangan memenuhi tempahan pelancong yang datang terutama hujung minggu serta cuti sekolah," katanya.

Tambah baik pakej

Kesukaran ketika PKP turut dialami pemilik tapak perkhemahan Ilusi di Kuala Sat, Suhaidi Erwan Zainuddin, 33 yang ketika itu baharu enam bulan membangunkannya di tanah milik keluarga, berhadapan Sungai Sat dan Taman Negara.

Pemandangan dari puncak Gunung Milung berketinggian 691 meter di dalam Taman Negara. - Foto BERNAMA
Pemandangan dari puncak Gunung Milung berketinggian 691 meter di dalam Taman Negara. - Foto BERNAMA

Sepanjang hampir dua tahun PKP, dia terpaksa kembali menoreh getah di kebun milik ayahnya di Kampung Jipang, berhadapan Sungai Sat.

Beliau berpengalaman luas sebagai jurupandu pelancong di Taman Negara Kuala Tahan akan bersama Alias pada waktu terluang merangka aktiviti baharu di Kuala Sat termasuk pakej mendaki ke Gunung Milung yang baharu diperkenalkan.

"Kami manfaatkan PKP memikirkan pakej baharu ditawarkan kepada pelancong, antaranya pakej mendaki Gunung Milung. Harga pakej mendaki RM320 seorang dengan minimum 10 orang dalam satu kumpulan.

"Saya, Alias dan beberapa rakan lain meneroka laluan masuk ke Gunung Milung yang berketinggian 691 meter dengan jarak 12 kilometer selama tiga hari dua malam. Perjalanan bermula dari Kuala Sat ke Pos Kelapah menaiki bos selama 45 minit, dan kemudian meneruskan perjalanan ke Pos Serdang yang memakan masa lebih kurang lima jam.

Bermalam di Pos Serdang dan kemudian meneruskan perjalanan keesokan ke Gulung Milung dan bermalam di sana. Boleh melihat 'awan karpet'," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X