Rabu, 4 Mei 2022 | 10:15am
Pekan Ayer Hitam terkenal sebagai bandar seramik jadi tumpuan pengunjung membeli-belah. - Gambar hiasan
Pekan Ayer Hitam terkenal sebagai bandar seramik jadi tumpuan pengunjung membeli-belah. - Gambar hiasan
Pokok hiasan banyak dijual di Pekan Ayer Hitam. - Foto/Essa Abu Yamin
Pokok hiasan banyak dijual di Pekan Ayer Hitam. - Foto/Essa Abu Yamin

Rambang mata di bandar seramik

SEJAK beberapa minggu lalu, kesesakan lalu lintas dan deretan kenderaan termasuk nombor plat pendaftaran dari Singapura membanjiri pekan Air Hitam, selain suasana riuh-rendah suara peniaga dan pengunjung menjadikan daerah Batu Pahat, Johor ini paling meriah ketika ini.

Selepas dua tahun agak 'mati' dek penangan COVID-19, suasana Pekan Ayer Hitam di sini, kembali hidup sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Seawal jam 8 pagi lagi, orang ramai dari seluruh pelosok kawasan mula menyerbu lokasi tumpuan membeli-belah barangan perhiasan rumah setiap kali lebaran.

Puluhan peniaga mempromosikan barangan jualan masing-masing seperti pokok hiasan plastik, karpet, gubahan pelbagai jenis bunga plastik, pasu, selain beraneka kuih-muih, kerepek dan sebagainya.

Tinjauan di Pekan Ayer Hitam, baru-baru ini mendapati barangan seperti tanaman hiasan plastik menjadi pilihan utama kepada pengunjung yang membeli-belah di sini menjelang dua hari lagi menyambut Syawal.

Besah (kiri) bersama keluarga memilih membeli kelengkapan di pekan Ayer Hitam. - Foto/Essa Abu Yamin
Besah (kiri) bersama keluarga memilih membeli kelengkapan di pekan Ayer Hitam. - Foto/Essa Abu Yamin

Pengunjung, Besah Selamat, 74, dia sanggup datang awal pagi untuk membeli pokok hiasan digemarinya kerana di kawasan itu terdapat pelbagai jenis dan pilihan tanaman hiasan plastik.

"Saya bergerak dari Kota Tinggi selepas waktu subuh bersama anak dan mengambil peluang cuti hari minggu untuk membeli barang hiasan rumah.

"Kami sekeluarga memang suka menghias rumah dengan tanaman hiasan dan sambutan perayaan Aidilfitri kali ini saya mahu menghias rumah dengan pelbagai tanaman hiasan plastik.

"Aidilfitri nanti semua anak-anak akan balik ke kampung untuk beraya bersama, jadi apa salahnya saya menghias rumah dengan pelbagai pokok hiasan bagi memeriahkan lagi Aidilfitri nanti," katanya.

Rambang mata pilih pokok hiasan

Besah berkata, harga pokok hiasan plastik yang ditawarkan di Ayer Hitam begitu murah dan mampu dimiliki oleh semua golongan jika dibandingkan di kawasan lain agak mahal.

Bunga plastik antara pilihan pengunjung apabila melawat ke Pekan Ayer Hitam
Bunga plastik antara pilihan pengunjung apabila melawat ke Pekan Ayer Hitam

"Saya jadi rambang mata apabila sampai di kawasan ini kerana dipenuhi pokok dan bunga hiasan plastik yang begitu cantik, gubahan pokok yang terkini selain harga yang begitu murah.

"Gubahan pokok daun keladi plastik menjadi pilihan saya kerana kelihatan cantik apabila dihias di dalam mahupun di luar rumah.

"Harga berpatutan, ada promosi ditawarkan empat jenis pokok hiasan plastik hanya dengan harga RM100, kalau di tempat lain memang tak dapat," katanya.

Berbaloi banyak kelengkapan raya

Suri rumah, Ziela Zalila Sokri dari Kuala Lumpur, bercuti di Johor Bahru untuk singgah di Ayer Hitam yang dikenali sebagai bandar seramik untuk mencari kelengkapan raya.

Ziela Zalila Sukri
Ziela Zalila Sukri

Beliau yang amat menggemari pisang salai dan kerepek mengambil kesempatan memborong kuih-muih seperti kuih bangkit, dodol serta wajik untuk hidangan tetamu, selain barang lain termasuk membeli pasu, bunga dan lain-lain.

"Kunjungan ke sini memang berbaloi. Ibarat pusat sehenti apa sahaja yang mahu untuk keperluan raya ada di sini," katanya akan singgah ke sini lagi jika berkunjung ke Johor.

Dua tahun sambutan raya sepi

Pengunjung, Mohd Abdul Mukmin Zakaria, 41, berkata dia dan isterinya Rafidah Mohd Daim gemar ke Ayer Hitam kerana banyak barang hiasan dijual di kawasan itu termasuk pokok hiasan plastik, karpet, pasu dan pelbagai lagi barang hiasan rumah.

"Saya bawa isteri untuk dia lihat dan pilih sendiri pokok atau bunga dan karpet yang dia mahukan selain harga barangan hiasan murah.

"Setiap kali sambutan Aidilfitri saya dan isteri tetap akan mendekorasikan rumah dengan pokok bunga serta karpet yang mempunyai pelbagai reka bentuk dan corak," katanya.

Perayaan Aidilfitri kali ini adalah paling bermakna selepas hampir dua tahun tidak dapat beraya secara meriah dan perancangan menghias rumah dengan pelbagai hiasan untuk memeriahkan suasana lebaran ini.

Permaidani pelbagai corak dan bentuk banyak dijual untuk hiasan rumah sempena Syawal. - Foto/Essa Abu Yamin.
Permaidani pelbagai corak dan bentuk banyak dijual untuk hiasan rumah sempena Syawal. - Foto/Essa Abu Yamin.

Berita Harian X