Isnin, 15 November 2021 | 11:01am

Lepas 'gian' serkap ikan, main selut

MENDENGAR deruan enjin kubota, di selang-seli kicauan burung terbang di ruang angkasa, lambaian 'orang-orang' menghalau unggas dan kedamaian hamparan kehijauan bendang sudah tidak asing lagi bagi keluarga pesawah.

Banyak perkara menarik dilakukan apabila turun ke bendang. Bagi menggamit memori itu, pelbagai aktiviti seperti menyerkap ikan, memancing, lari di dalam sawah, tuju tin dan tuju botol menggunakan buah kelapa untuk kanak-kanak.

Namun, seiring dengan peredaran zaman suasana itu semakin jarang dilihat apatah lagi ketika pandemik COVID-19.

Menyedari aktiviti ini semakin ditinggalkan oleh masyarakat, pertandingan sukan rakyat menerusi Program Jom Turun Bendang di Kampung Pida 8 Tebengau, Ayer Hitam, Kubang Pasu, Kedah, baru-baru ini.

Ternyata pertandingan itu dapat melepaskan 'gian' ramai peminat aktiviti itu sehingga mereka sanggup berkejaran antara satu sama lain apabila ternampak ikan.

Peserta melepas gian turun bendang sertai lari di dalam sawah. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Peserta melepas gian turun bendang sertai lari di dalam sawah. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Dalam pertandingan itu, sebanyak 30 ikan haruan dan lima kilogram (kg) ikan keli dilepaskan ke dalam sawah.

Walaupun cuaca mendung ramai penduduk kampung tidak berganjak daripada tebing sawah untuk menyaksikan pertandingan itu sehingga wisel dibunyikan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Rasai kehidupan 'Pak Tani'

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Hayazi Azizan, berkata pertandingan dianjurkan pihaknya mendapat perhatian penduduk untuk menyertainya.

"Namun, kita terpaksa hadkan kepada 10 orang peserta sahaja bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Pertandingan lari dalam sawah menguji kekuatan kaki bergelumang selut di dalam sawah. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Pertandingan lari dalam sawah menguji kekuatan kaki bergelumang selut di dalam sawah. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

"Pelbagai peringkat usia menyertainya termasuk ada peserta termuda berusia 13 tahun, selain dua wanita masing-masing berusia 40-an yang mahu bersaing dengan peserta lelaki," kata.

Hayazi berkata, dia tidak memandang aktiviti itu sebagai sekadar program, namun ia adalah inisiatif untuk menarik minat anak muda menceburi bidang pertanian serta mendedahkan mereka mengenai kehidupan 'Pak Tani' ketika musim menuai yang turut menggamit nostalgia silam.

Peserta remaja, Muhammad Muhaimin Mohd Nedzri, 13, berkata dia sangat seronok dapat menyertai pertandingan itu walaupun tidak menang.

Pertandingan serkap ikan antara acara Jom Turun Bendang, mendapat sambutan peserta menggamit nostalgia sebagai ‘Pak Tani’. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Pertandingan serkap ikan antara acara Jom Turun Bendang, mendapat sambutan peserta menggamit nostalgia sebagai ‘Pak Tani’. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Anak kepada pemandu lori padi ini mengakui sudah berpuluh kali mengikut rakan-rakan menyerkap ikan ketika musim menuai sejak berusia 9 tahun.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia jarang menyerkap ikan, pertandingan ini tidak sampai sejam, rasa belum puas tapi serba sedikit dapat melepaskan 'gian' yang sudah lama tidak turun ke bendang.

"Tangan saya pernah beberapa kali terkena sengat ikan keli, saya ikut petua orang tua supaya menghisap jari yang terkena sengat selepas mencuci tangan terlebih dahulu. Saya bersyukur kerana ia tidak menyebabkan kesan yang teruk.

"Mungkin saya tidak pernah serik menyerkap ikan, perasaan hari ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, walaupun dapat hanya sedikit ikan, iaitu 1.5 kg saya tetap gembira," katanya yang tinggal di Kampung Siputeh di sini.

Bau lumpur terapi diri

Bagi pemenang pertandingan itu, Solehudin Hasibullah, 36, berkata aktiviti menyerkap ikan sudah sebati dalam dirinya, malah turut menjadi antara sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

Katanya, bau lumpur adalah terapi buat anak petani sepertinya memandangkan dia mengusahakan sawah sejak zaman remaja.

"Saya dapat sebanyak 4.8 kg ikan dalam masa setengah jam, saya selalunya boleh serkap ikan lebih banyak. Tetapi, kaki saya terlalu lenguh kerana menyertai pertandingan lari dalam sawah sebelum itu.

"Saya seronok dapat berebut-rebut menyerkap ikan dengan peserta dari kampung lain, jeritan penduduk kampung yang nampak ikan menambah lagi semangat kami.

Peserta termuda pertandingan menyerkap ikan, Muhammad Muhaimini, 13. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Peserta termuda pertandingan menyerkap ikan, Muhammad Muhaimini, 13. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

"Rekod saya sebelum ini, saya pernah menyerkap 30 kg ikan hanya dalam masa beberapa jam.

"Alhamdulillah, ikan yang saya dapat dibuat pekasam dan dijemur kering. Permintaan pekasam dan ikan haruan kering sangat tinggi, saya harap aktiviti seperti ini akan dapat dianjurkan lagi selepas ini untuk mengeratkan silaturahim sesama anak pesawah di kawasan ini," kata bapa kepada tiga anak ini.

Menariknya, selain pertandingan menyerkap ikan, antara aktiviti lain yang dipertandingkan dalam ialah program Jom Turun Bendang, iaitu pertandingan memancing, lari dalam sawah, tuju tin, serta tuju botol menggunakan buah kelapa untuk kanak-kanak.

Yang nyata, di sebalik itu bendang adalah kehidupan mereka dan sudah sebati dengan diri penduduk di situ.

Ramai anak-anak muda bersemangat kental, kuat kudrat empat kerat mewarisi kerja di sawah yang menuntut kekuatan mental dan fizikal.

Lantas pertandingan berlari dalam sawah, menjadi ukuran untuk menguji kekuatan kaki pesawah yang sudah biasa 'bermain' dengan selut.

Ramai penduduk kampung teruja melihat peserta memburu dengan kaedah menyerkap ikan. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Ramai penduduk kampung teruja melihat peserta memburu dengan kaedah menyerkap ikan. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Pemenang pertandingan itu, Nurul Khairul Yahya, 41, berkata dia bernasib baik tidak tersandung seperti pesaing yang lain walaupun kaki hampir kejang akibat larian sejauh 60 meter itu.

"Nampak seperti dekat, namun apabila berlari dalam selut sedalam 0. 5 meter atau paras paha, ia amat meletihkan, mujur saya 25 tahun berpengalaman mengusahakan sawah dan mampu mengimbangi badan daripada terjatuh.

"Kerja di sawah seperti meracun dan menabur benih menyebabkan kaki saya sudah biasa dengan selut yang dalam.

"Semuanya tetap bergantung kepada nasib kerana jika tersilap langkah sesiapa pun boleh terjatuh kerana kaki terperangkap dalam selut," katanya yang mengambil upah mengusahakan seluas 35 hektar sawah.

Perlu kekuatan kaki

Pemenang tempat kedua, Nor Salman Muhammad Amir Sharifudin, 25, berkata dia sepatutnya sudah berada di depan, namun kurang bernasib baik apabila terjatuh ketika berpatah balik ke garisan penamat.

"Luas sawah kira-kira 30 meter jadi kami perlu lari ke penghujung dan berpatah balik, ketika itu saya terjatuh. Saya bangkit semula, mengejar peserta lain dan berjaya berada di tempat kedua.

"Ketika zaman sekolah saya jaguh lari pecut acara 100 meter, tapi itu lain di padang biasa, sekiranya lari dalam selut ia lebih memerlukan kekuatan kaki dan keseimbangan," katanya yang mengusahakan sawah secara bersama dengan Nurul Khairul.

Acara unik wajar

Sebanyak 30 ekor ikan haruan dan lima kilogram ikan keli dilepaskan di dalam sawah. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Sebanyak 30 ekor ikan haruan dan lima kilogram ikan keli dilepaskan di dalam sawah. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Nor Salman, berkata dia sangat berharap acara lari dalam bendang dijadikan program tahunan berikutan keunikannya yang tersendiri, selain dapat mengeratkan hubungan dengan rakan sekampung.

"Kuat berlari di padang sekolah belum tentu kuat lari di sawah. Kedalaman sawah pula berbeza, sekiranya kita dapat pijak tempat cetek kita akan bernasib baik, tapi jika selut itu dalam, lagi kuat tenaga diperlukan," katanya yang tinggal di Kampung Pida 8 Lama.

Berita Harian X