X
Isnin, 26 Julai 2021 | 10:30am
Antara laluan mencabar yang mengimbangi kekuatan mental dan fizikal. - Foto ihsan GBH
Antara laluan mencabar yang mengimbangi kekuatan mental dan fizikal. - Foto ihsan GBH

Puncak Nuang gamit kerinduan

BERBULAN lamanya tidak kedengaran mesej 'angkat sauh' di kumpulan WhatsApp, berbulan juga kasut dan beg terperuk dalam stor.

Seteruk manapun rindu bau hutan, trek pendakian hatta rindu dengan perkataan 'pewai', 'diskaun', 'trek bubur', 'pacak', tiada apa yang boleh dilakukan ketika sekatan pergerakan dikuatkuasakan.

Bahkan perkataan 'mereput' lebih popular sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila aktiviti pendakian tidak dibenarkan.

Inisiatif rakan mengimbau memori di puncak gunung dengan berkongsi di media sosial mengubat sedikit kerinduan yang lama bersarang.

Selesaikan misi tertangguh

Kali terakhir penulis berada di trek pendakian ketika umat Islam bakal menyambut Ramadan, April lalu.

Mendaki Gunung Nuang dari Pangsun, Hulu Langat ibarat menyelesaikan misi tertangguh selepas gagal menawannya lima tahun lalu.

Mengimbau pendakian itu, penulis bersama tujuh rakan berpeluang mendapat khidmat dua orang kuat Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM) bagi membantu menelusuri trek pergi balik sejauh lebih 23 kilometer (km) untuk ke puncak setinggi 1,498 meter.

Penulis teruja mendaki Gunung Nuang, sebelum pelaksanaan PKP, baru-baru ini.
Penulis teruja mendaki Gunung Nuang, sebelum pelaksanaan PKP, baru-baru ini.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Perhutanan Selangor, pendakian ke puncak Gunung Nuang perlu diiringi seorang malim gunung bagi setiap tujuh pendaki.

Berdasarkan pengalaman, laluan Pangsun memberikan lebih cabaran, mungkin dua atau tiga kali ganda berbanding laluan Janda Baik, Pahang yang pernah diterokai sebelum ini.

Perjalanan bermula di pintu masuk Hutan Lipur Gunung Nuang kira-kira jam 4.45 pagi sebaik Sufian Mohd Aris atau Pian yang juga orang nombor dua PMGM selesai memimpin bacaan doa memohon ihsan Allah SWT bagi melancarkan pendakian.

Menelusuri trek balak yang awalnya trek simen dan tar sejauh 6.2 km hingga ke Kem Lolo yang pastinya ada turun naik, mengambil masa hampir dua jam.

Khidmat malim gunung

Pergerakan kami diketuai Pian, manakala Muhammad Fazlee Sabarudin atau Paklee yang juga Presiden PMGM bertindak selaku 'sweeper'.

Muhammad Fazlee.
Muhammad Fazlee.

Subuh kami di Kem Lolo diimamkan Pian sebelum masing-masing menjamah bekalan dan pastinya kopi panas. Tidak sampai sejam berehat, kami diminta bersedia menuju ke Kem Pacat sejauh 2.3 km.

Penulis mengambil masa satu jam 45 minit untuk tiba di Kem Pacat. 'Cut off time' yang diberikan kepada kami di sini ialah jam 10 pagi.

Pergerakan lebih lancar antara kelebihan jika menggunakan khidmat malim gunung yang mana pendaki sentiasa diingatkan supaya tidak leka di setiap hentian.

Menurut Paklee tidak semua trek pendakian diwajibkan mengguna khidmat malim gunung. Difahamkan pihak berkaitan dalam proses menjadikan ia antara SOP pendakian khususnya di Semenanjung.

Pada dasarnya peraturan mewajibkan pendaki mengguna khidmat malim gunung tertakluk Jabatan Perhutanan negeri dan Pejabat Perhutanan Daerah.

Ketika ini, hanya gunung yang berisiko termasuk jarak perjalanan melebihi lapan jam untuk pendakian sehari (day hike) dan pendakian lebih lama khusus di Banjaran Titiwangsa diwajibkan mengguna khidmat malim gunung.

Mengikut data PMGM yang menaungi 98 malim gunung, dianggarkan 30 peratus pendaki gagal mematuhi SOP apabila tidak menggunakan khidmat malim gunung ketika melakukan pendakian ke gunung diwajibkan untuk berbuat demikian.

Meraikan kejayaan di puncak Nuang
Meraikan kejayaan di puncak Nuang

Sikap 'acah-acah bagus' makan diri

Kegagalan mematuhi SOP sering kali dikaitkan dengan sikap pendaki yang 'acah-acah bagus' walaupun pengalaman setahun jagung. Tanpa ilmu, kemahiran dan paling penting kelayakan, ada individu yang berani membawa kumpulan pendaki hanya kerana pernah menjejakkan kaki di puncak.

Dalam keterujaan menyertai aktiviti sedemikian, aspek keselamatan sering kali dibuat ingat-ingat lupa.

Kes kematian, kecederaan atau sesat ketika mendaki yang banyak dilaporkan mutakhir ini memberi persepsi negatif, sekali gus mengundang kecaman.

Menjelaskan lebih lanjut, Paklee berkata ahli PMGM mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam mengatur pergerakan khususnya membabitkan aspek masa dengan mengambil kira tahap kecergasan pendaki.

Tegasnya, malim gunung terlatih dalam aspek mental dan pengendalian kecemasan ketika di lapangan.

Penulis dan rakan di Kem Pacat
Penulis dan rakan di Kem Pacat

Puncak tipu di Kem Pengasih

Berbalik misi kami di Gunung Nuang, dari Kem Pacat, pendakian ke Kem Pengasih sejauh kira-kira dua km melalui laluan tegak serta berbatu bermula jam 10 pagi sebelum penulis tiba lebih kurang sejam kemudian.

Berada di Kem Pengasih ibarat pendaki berada di tiga negeri. Ini kerana berhampiran puncak Kem Pengasih yang juga dikenali sebagai puncak tipu, terletak batu sempadan memisahkan Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Hampir setengah jam di Kem Pengasih, kami meneruskan perjalanan melalui trek turun naik dan akhirnya tiba di puncak jam 12.18 tengah hari.

Sekali lagi Pian mengingatkan kami untuk tidak terlalu lama berada di puncak bagi mengelak pendakian berlarutan hingga ke malam.

Tanda sempadan bagi Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.
Tanda sempadan bagi Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Imbangi kekuatan mental dan fizikal

Lebih kurang sejam di puncak, kami bergerak turun. Berbekalkan cuaca yang baik, pergerakan kami lebih lancar walaupun trek agak basah dan lunyai.

Selepas lima jam mengharungi perjalanan balik, kami akhirnya tiba dengan selamat di pintu masuk Hutan Lipur Gunung Nuang kira-kira jam 6.15 petang.

Cuaca baik, panduan serta tip daripada malim gunung, persediaan mental dan fizikal antara faktor yang menyumbang kelancaran pendakian penulis dan rakan kali ini.

Pastinya pendaki yang baik adalah individu yang berupaya mengimbangi kekuatan mental dan fizikal.

Namun paling penting, jangan sesekali bersikap 'acah-acah bagus', apatah lagi melanggar SOP PKP semata-mata melepaskan gian untuk berada di puncak gunung.

Rehat di Kem Lolo
Rehat di Kem Lolo

Info Gunung Nuang

• Gunung tertinggi di Selangor
• Puncak terletak di atas sempadan Selangor dan Pahang
• Boleh diakses dari Janda Baik, Pahang atau Pangsun, Selangor

Laluan:

• Trek balak (trek simen, tar, turun dan naik) hingga pintu rimba - 4.2 km
• Pintu rimba (rentas anak sungai, paip air) hingga Kem Lolo - 2 km
• Kem Lolo ke Kem Pacat (pendakian pacak) - 2.3 km
• Kem Pacat ke Kem Pengasih (trek tegak, berbatu, tangga) - 2 km
• Kem Pengasih ke puncak (trek basah, berselut, licin, tangga) - 600 meter.

Berita Harian X