X
Isnin, 19 Julai 2021 | 12:00pm
‘Kunjungan’ ke BSBCC diteruskan secara maya meskipun dalam suasana PKP. - Foto ihsan BSBCC
‘Kunjungan’ ke BSBCC diteruskan secara maya meskipun dalam suasana PKP. - Foto ihsan BSBCC

Mendekati beruang madu Borneo secara maya

DENGAN bayaran RM40 sejam, orang ramai kini boleh 'berkunjung' secara maya ke Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) dan melihat secara dekat aksi beruang madu ditempatkan di Sabah.

Menariknya, `kunjungan' ke satu-satunya pusat konservasi beruang madu di dunia itu terletak bersebelahan Pusat Konservasi Orang Utan, di Sepilok, Sandakan boleh dilakukan dari mana-mana lokasi, asalkan mempunyai liputan internet.

Lawatan secara maya adalah inisiatif BSBCC bagi membolehkan orang ramai terus `berkunjung' ke pusat itu sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Selain kepada peminat hidupan liar, 'lawatan' itu memberi manfaat kepada pihak sekolah sebagai kaedah pembelajaran atau alternatif lawatan sambil belajar murid dan pelajar.

Sebelum pandemik, BSBCC menjadi tumpuan pengunjung melihat beruang madu atau dipanggil beruang matahari Borneo yang diselamatkan dari kawasan hutan sekitar Sabah sebelum ditempatkan di pusat itu untuk pemeliharaan.

Orang ramai boleh melihat dan mengenali spesies beruang itu, dan sebagai kempen kesedaran memastikan hidupan liar tidak mengalami kepupusan disebabkan pemburuan haram.

Larangan rentas daerah dan negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pusat itu turut terjejas, sama seperti destinasi pelancongan lain di seluruh negara.

Sejam lihat beruang madu

Pengasas BSBCC, Dr Wong Siew Te, berkata pihaknya menawarkan lawatan secara maya sejak Mei tahun lalu bagi mendorong orang ramai terus mengunjunginya walaupun aktiviti pelancongan dihentikan.

Lawatan sejam pengunjung boleh melihat beruang madu secara maya dengan bayaran RM40. - Foto ihsan BSBCC
Lawatan sejam pengunjung boleh melihat beruang madu secara maya dengan bayaran RM40. - Foto ihsan BSBCC

"Lawatan selama sejam pengunjung boleh melihat beruang madu. Saya akan menunjukkan sekitar pusat kepada `pengunjung' sambil menerangkan isu biologi, ekologi, dan pemuliharaan beruang madu.

"Pengunjung boleh bertanya soalan. Mereka yang berminat boleh melayari laman web di www.bsbcc.org.my," katanya.

BSBCC perlu mencari pendekatan lain untuk mendapatkan dana bagi memastikan pusat itu terus beroperasi, sambil memohon sumbangan dana daripada pelbagai agensi, selain menggalakkan orang ramai mengambil bahagian dalam program anak angkat beruang madu Borneo.

"Ini pendekatan baharu dan belum begitu dikenali. Kita galakkan mereka menyokong inisiatif ini.

"Kita menjual barangan cenderamata di laman webnya, selain di Shopee dan Lazada," katanya.

Operasi BSBCC berjalan lancar dan semua 44 beruang madu Borneo di bawah jagaan pusat itu termasuk seekor anak beruang yang baru lahir berada dalam keadaan sihat.

Tahun lalu, tiga lagi anak beruang madu diberi nama Betung, Itam, dan Kipaku diserahkan kepada BSBCC selepas diselamatkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Ketiga-tiga anak beruang itu ditemui dalam peliharaan penduduk kampung di Ranau (Betung), Nabawan (Itam) dan di Tambunan (Kipaku) sebelum diselamatkan.

BSBCC jadi tumpuan pengunjung melihat beruang madu atau beruang matahari Borneo. - Foto ihsan BSBCC
BSBCC jadi tumpuan pengunjung melihat beruang madu atau beruang matahari Borneo. - Foto ihsan BSBCC

"Setakat Jun tahun ini, belum ada misi baharu menyelamat beruang madu dilaksanakan di Sabah dan kita berharap semua beruang liar di dalam hutan selamat.

Jika dikesan ada hidupan liar itu dalam bahaya, Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah akan melaksanakan operasi menyelamat.

Operasi menyelamat tetap diteruskan sepanjang pandemik COVID-19 kerana misi penting Jabatan Hidupan Liar Sabah melindungi dan memelihara hidupan liar.

Program pendidikan dan kajian berkaitan hidupan liar turut diadakan, selain dibuka sebagai pusat eko pelancongan sejak 2014. Sehingga ini lebih 200,000 dilawati pengunjung.

Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menjadikannya destinasi pertama dalam siri 'Enchanting Sabah Live' yang menampilkan pelbagai tarikan pelancongan di Sabah.

Webinar jadi norma baharu

Program itu merangkumi sesi webinar melalui pelantar media sosial @sabahtourism bersiaran, pada Selasa akan membawa pelancong `berkunjung' secara maya ke destinasi menarik terpilih bermula, pada 13 Julai lalu.

Pengurus Besar STB, Noredah Othman, berkata sesi secara langsung menjadi norma baharu sejak tahun lalu dan sudah diperkenalkan beberapa penggiat industri pelancongan di negeri ini.

STB membantu penggiat industri pelancongan mempromosikan inisiatif itu sejajar usaha memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk sekarang.

Walaupun terhenti disebabkan PKP, ia diyakini dapat dikembangkan semula sebagai alternatif pengusaha pelancongan untuk menarik pengunjung pelancong apabila dibuka semula.

Sebelum COVID-19, ramai pengunjung dalam dan luar negara melawat BSBCC. - Foto ihsan BSBCC
Sebelum COVID-19, ramai pengunjung dalam dan luar negara melawat BSBCC. - Foto ihsan BSBCC

Info: Pusat BSBCC

  • Dibuka berhampiran Pusat Pemuliharaan Orang Utan, Sepilok, Sandakan pada 2008
  • Dijadikan pusat eko pelancongan untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman beruang madu Borneo sejak 2014
  • 44 beruang madu Borneo menjalani program konservasi ketika ini
  • Keluasan 2.5 hektar dilengkapi laluan pejalan kaki, pelantar pemerhatian, pusat informasi, pejabat dan rumah beruang.
  • Berita Harian X