Isnin, 19 Julai 2021 | 10:30am
‘Lawatan’ secara maya dianjurkan Zoo Taiping & Night Safari mengenai harimau Malaya mendapat 400,000 jumlah tontonan.- Foto/Ihsan Ihsan ZTNS
‘Lawatan’ secara maya dianjurkan Zoo Taiping & Night Safari mengenai harimau Malaya mendapat 400,000 jumlah tontonan.- Foto/Ihsan Ihsan ZTNS

Rindu aksi raja rimba, si bedal

KERINDUAN berkunjung ke pusat rekreasi seperti ke zoo untuk menyaksikan gelagat serta aksi pelbagai jenis haiwan pasti tidak dapat dibendung selepas begitu lama terpaksa berkurung di rumah disebabkan larangan rentas daerah dan negeri.

Namun, kini trend 'lawatan' secara maya dianjurkan beberapa zoo di negara ini, mampu mengubati kerinduan itu meskipun hanya berada di rumah.

Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) julung kalinya menjadi zoo pertama di Malaysia mempamerkan aktiviti pelbagai spesies haiwan secara maya melalui pautan laman sosial dan telegram rasmi mereka.

Menariknya inisiatif secara percuma itu dinamakan sebagai 'Now Onsite Later' membabitkan dua siri ditonton oleh 680,000 pengunjung dalam dan luar negara, memaparkan lebih dekat petugas memberi makan buaya dan harimau Malaya serta aksi amat jarang dilihat, pada 4 Julai dan 11 Julai lalu.

Siri pertama 'dikunjungi' 400,000 orang memaparkan harimau Malaya, manakala siri kedua berkaitan buaya, meraih 280,000 tontonan.

Siri kedua ‘lawatan’ secara maya berkaitan buaya, meraih 280,000 tonton.- Foto/Ihsan ZTNS
Siri kedua ‘lawatan’ secara maya berkaitan buaya, meraih 280,000 tonton.- Foto/Ihsan ZTNS

Sepanjang tempoh itu, bermula jam 10 hingga 11 pagi, pengunjung dapat melihat secara dekat kehidupan haiwan itu di sini.

Pengarah ZTNS, Dr Kevin Lazarus, berkata orang ramai juga boleh mendapat pelbagai ilmu dan maklumat mengenai haiwan, seolah-olah seperti berada di Zoo Taiping.

"Dalam siri pertama diadakan secara langsung itu, petugas memberi penerangan dan aksi memberi makan buaya berusia antara 11 hingga 20 tahun," katanya.

Bagi setiap siri difokuskan satu jenis haiwan bagi memberi maklumat lebih terperinci.

"Ramai kanak-kanak teruja sambil menimba ilmu dan pengetahuan mengenainya.

Pelbagai ilmu dan maklumat mengenai haiwan dipaparkan ketika lawatan secara maya.- Gambar Ihsan ZTNS
Pelbagai ilmu dan maklumat mengenai haiwan dipaparkan ketika lawatan secara maya.- Gambar Ihsan ZTNS

"Kita difahamkan ramai ibu bapa dan pelajar turut mengikuti siri itu. Malah ada menggunakan waktu berkenaan untuk membuat tugasan sekolah diberikan guru," katanya.

Siri akan datang melawat gajah

Dr Kevin berkata, hasil siaran pertama, pihaknya mendapat pelbagai komen positif dan majoritinya meminta segmen itu dibuat pada Sabtu berbanding Ahad.

Yang pasti, adalah inisiatif dilakukan pihak ZTHS berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini dan menjangkakan lawatan secara maya ini akan diteruskan dalam tempoh terdekat selepas melihat maklum balas memberangsangkan daripada orang ramai.

"Untuk siri ketiga, nanti kita akan membawakan penonton menerokai secara mendalami dan melihat lebih dekat spesies gajah pula.

Siri ketiga lawatan secara maya babitkan gajah akan diadakan dalam tempoh terdekat. - Foto/Ihsan ZTNS
Siri ketiga lawatan secara maya babitkan gajah akan diadakan dalam tempoh terdekat. - Foto/Ihsan ZTNS

"Bagi memudahkan penonton melihat semua haiwan yang kita 'review' nanti satu platform interaktif secara dalam talian, iaitu 'MyZooTaiping' akan diwujudkan.

"Menerusinya penonton boleh melihatnya pada bila-bila masa," katanya.

Diselenggara dengan baik

Mengenai impak PKP terhadap jumlah kunjungan dan penyelenggaraan di zoo itu, beliau menjelaskan ia memang amat terkesan.

Katanya, ZTNS mengakui mengalami kerugian, tetapi bernasib baik kerana mendapat peruntukkan khas daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) serta beberapa pihak lain bagi menampung operasi ZTNS.

"Sebelum PKP, Zoo Taiping dikunjungi antara 600,000 hingga 750,000 orang setiap tahun, namun apabila PKP dilaksanakan, pasti amat terjejas," katanya yang tidak menyatakan jumlah kerugian ditanggung.

Namun, melalui MPT peruntukkan itu ia digunakan untuk menguruskan perjalanan dan pengoperasian ZTNS sepanjang PKP, selain mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Dari segi makanan, ia mencukupi kerana mendapat bantuan daripada pihak seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pelbagai syarikat swasta.

"Biarpun tidak beroperasi, namun segala proses kerja harian dan kebajikan haiwan di sini masih lagi terjamin dan berada dalam keadaan baik," katanya.

Dalam tempoh PKP, pihaknya manfaatkan masa dengan memberi peluang kepada kakitangan ZTNS untuk mempergiatkan lagi kerja-kerja kebersihan dan penyelenggaraan untuk keselesaan haiwan di sini.

Dr Kevin (tengah) ketika bersama kakitangan ZTNS ketika rakaman mengenai lawatan secara maya. Foto/Ihsan ZTNS
Dr Kevin (tengah) ketika bersama kakitangan ZTNS ketika rakaman mengenai lawatan secara maya. Foto/Ihsan ZTNS

Kerja penyelenggaraan sedang dibuat adalah memperbaiki beberapa kandang pameran seperti kurungan malam beruang, singa dan harimau serta beberapa fasiliti utama di ZTNS seperti bumbung Pavilion dan bumbung hadapan kaunter tiket ZTNS.

Zoo Taiping dibuka pada 1961 adalah zoo tertua dan mempunyai lebih 1,300 haiwan dengan 180 spesies di kawasan seluas 14 hektar.

Berita Harian X