Isnin, 28 Jun 2021 | 2:54pm
 Rumah Datuk Ahmad Maher itu tersergam indah yang kini terbiar wajar dikekalkan sebagai warisan budaya . - Foto/ Ihsan FTKW
Rumah Datuk Ahmad Maher itu tersergam indah yang kini terbiar wajar dikekalkan sebagai warisan budaya . - Foto/ Ihsan FTKW

Rumah agam curi tumpuan

RAMAI terpesona dengan konsep seni bina rumah agam di sebuah perkampungan di Kota Bharu, Kelantan yang begitu unik dan kini sudah menjangkau usia 80 tahun.

Keindahan seni bina itu milik Rumah Datuk Ahmad Maher itu tersergam indah terletak di Kampung Wakaf Siku di Jalan Kuala Krai, pasti mencuri perhatian ramai ketika melewati kediaman itu.

Ramai terpesona dengan konsep seni bina diinspirasikan daripada reka bentuk rumah agam diperbuat daripada konkrit menjadikan struktur rumah itu masih kukuh sehingga sekarang.

Rumah didirikan pada 1940 ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan negeri disebabkan nilai estetika serta sentimental sejarahnya.

Jadi perhatian pengkaji

Memaparkan budaya sesuatu masyarakat setempat, bangunan warisan adalah aset yang sangat berharga.

Allahyarham Datuk Ahmad Maher atau nama penuh Ahmad Maher Ismail Al Azhari Abdul Hamid, adalah bekas Mufti Kelantan ke-tujuh Datuk.

Rumah itu mendapat perhatian penyelidik di Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk kajian ilmiah supaya diambil perhatian bagi pemeliharaan agar khazanah warisan ini tidak disia-siakan.

Kajian projek akhir pelajar yang diketuai oleh pensyarah Jabatan Pengajian Warisan (FTKW) Farrah Atikah Saari, berkata penyelidikan pemuliharaan rumah bermula pada Oktober 2019 hingga Disember 2019.

Katanya, hasil kajian mendapati terdapat banyak kerosakan pada rumah itu yang memerlukan tindakan segera dalam menyelamatkan rumah ini daripada terus roboh.

"Projek ini bertujuan untuk pemeliharaan dan penjagaan oleh semua pihak yang berkepentingan dalam memastikan khazanah warisan ini terus bertahan dalam jangka masa lama mengikut garis panduan.

Replika Rumah Datuk Ahmad Maher yang dibina dengan seni bina unik dan menarik. Foto/Ihsan FTKW
Replika Rumah Datuk Ahmad Maher yang dibina dengan seni bina unik dan menarik. Foto/Ihsan FTKW

"Rumah itu terabai dan terselindung di sebalik sebuah restoran berada di dalam keadaan tidak terjaga dan tidak mendapat perhatian orang ramai," katanya

Ada nilai estetika

Rumah itu mempunyai pengaruh seni bina menarik melambangkan jawatan mufti di Kelantan pada masa itu dipandang tinggi oleh rakyat.

Terdapat struktur binaan dilihat mempunyai karakter identiti tersendiri dipengaruhi pelbagai pengaruh binaan ketika era penjajahan terdahulu.

Justeru, nilai estetika sebegini berpotensi besar dijadikan produk pelancongan seperti menjadikannya sebagai galeri, tempat penginapan dan sebagainya.

Bangunan warisan boleh dijadikan sebagai produk pelancongan berharga walaupun terdapat pembangunan yang pesat.

Rumah itu dibina setahun sebelum Tanah Melayu melalui zaman Perang Dunia Kedua yang bermula pada 1941.

Dibina di atas tanah persendirian. Lokasi kedudukan rumah Datuk Ahmad Maher terletak di kawasan bandar strategik dan menjadi tumpuan masyarakat kerana dikelilingi kawasan padat seperti kawasan perumahan dan premis perniagaan.

Rekaan halus dan indah

Rumah ini pernah di bawah penjagaan pewaris sebelum terbiar dan kelihatan usang ekoran ditinggalkan terlalu lama.

Pembinaan awal rumah Datuk Ahmad Maher membabitkan tukang berkepakaran tinggi yang datang dari pelbagai tempat. Misalnya, pada pembinaan dan pemasangan struktur bumbung iaitu atap singgora digunakan dan membabitkan tukang mahir dari Pattani, Thailand.

Atap singgora dikatakan ditempah khas dari Songkhla (Selatan Thailand) kerana pada masa itu sangat sukar untuk menemui perusahaan atap singgora.

Di samping itu, pembinaan rumah ini juga membabitkan kepakaran tukang dari Besut, Terengganu yang menghasilkan struktur berukir yang sangat halus dan indah.

Nama Datuk Ahmad Maher cukup sinonim dengan masyarakat di Kelantan, beliau dianugerahkan beberapa bintang kebesaran negeri.

Khazanah warisan perlu dipelihara

Menurut pewaris beliau yang dikenali sebagai Hanif, rumah ini jarang didiami oleh Datuk Ahmad Maher kerana sering kali mempunyai urusan kerja di luar negeri.

Selepas kematian beliau pada 1968, rumah berkenaan hanya sementara didiami anaknya sebelum berpindah ke kediaman yang baharu.

Oleh itu, rumah ini terbiar tanpa penghuni.

Rumah ini juga pernah mengalami penambahan struktur pada bahagian belakang di mana pernah dijadikan sebagai Pusat Asuhan Tadika (PASTI).

Tapak rumah pernah dirancang untuk dijadikan sebagai tempat penginapan dengan mengekalkan struktur asal tetapi tidak mendapat kelulusan disebabkan pelbagai faktor.

Oleh itu, terdapat banyak keistimewaan pada seni binanya dan khazanah warisan perlu dipelihara.

Berita Harian X