Isnin, 21 Jun 2021 | 12:02pm
Tradisi menyembelih kerbau sebagai simbolik 'pibabasan' dilakukan menjelang Pesta Menuai. - Foto NSTP
Tradisi menyembelih kerbau sebagai simbolik 'pibabasan' dilakukan menjelang Pesta Menuai. - Foto NSTP

Sembelih kerbau simbolik berdamai

MESKIPUN tiada lagi perang antara puak atau amalan memburu kepala yang suatu masa dahulu pernah berlaku dalam masyarakat Kadazandusun dan Murut di Sabah, adat tradisi menyembelih kerbau sebagai tanda perdamaian antara puak masih diteruskan hingga ke hari ini.

Tradisi itu, bagaimanapun lebih bersifat simbolik untuk memperingati perdamaian atau disebut 'pibabasan' dalam bahasa Kadazandusun yang dicapai di antara puak bertelingkah selepas berakhirnya perang sesama mereka ratusan tahun lampau.

Kampung Libodon, Kiulu, sebuah lokasi terpencil di daerah Tuaran, kira-kira dua jam perjalanan menaiki kereta dari Kota Kinabalu adalah antara perkampungan masyarakat Kadazandusun yang masih mengamalkan tradisi menyembelih kerbau sebagai simbolik 'pibabasan'.

Sungai Libodon yang mengalir di kampung berkenaan dikatakan pernah menjadi saksi perang dan amalan memenggal kepala antara puak Kadazandusun di sekitar kawasan itu yang pernah berlaku suatu masa dahulu.

Pada zaman itu, yakni sebelum kehadiran penjajah kira-kira dua atau tiga abad yang lalu, masyarakat Kadazandusun dikatakan hidup berpuak dan sering berperang sesama sendiri serta menjadikan kepala musuh sebagai 'koleksi' untuk menunjukkan kekuatan masing-masing.

Bermula daripada itulah timbulnya gelaran pemburu kepala yang diberikan kepada individu, puak atau kaum yang banyak memenggal kepala musuh ketika berperang atau dalam misi menjejaki musuh di hutan.

Simbolik 'pibabasan'

Namun, amalan itu secara perlahan-lahan dihentikan selepas semua puak bertelingkah menyedari keburukannya dan akhirnya membuat keputusan berdamai melalui satu upacara khas membabitkan penyembelihan haiwan.

Kini, tradisi menyembelih kerbau sebagai simbolik 'pibabasan' itu kebiasaannya dilakukan ketika menjelang sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai yang dirayakan masyarakat Kadazandusun dan Murut sepanjang Mei.

Daging haiwan dikorbankan dalam upacara itu kemudiannya dimasak dan dikongsikan bersama penduduk kampung yang sama-sama menjayakan amalan adat tradisi berkenaan.

Darahnya dialirkan ke sungai sebagai sebahagian daripada simbolik 'pibabasan'.

Tarikan pelancongan Sabah

Upacara adat seumpama itu turut disasar untuk dijadikan produk tarikan pelancongan berasaskan budaya tradisi di kawasan luar bandar Sabah dalam usaha mempelbagaikan tarikan pelancongan yang ditawarkan kepada pelancong di negeri itu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, yang menyaksikan upacara 'pibabasan' di Kampung Libodon, Kiulu baru-baru ini, berkata tujuh lokasi dipilih untuk upacara itu sebagai simbolik adat lama berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata adat istiadat Kadazandusun menarik untuk diketengahkan kerana dapat memberi pengetahuan yang berharga dalam memahami budaya etnik berkenaan.

Amalan tradisi, budaya etnik jadi tarikan produk pelancongan di Sabah. - Foto NSTP
Amalan tradisi, budaya etnik jadi tarikan produk pelancongan di Sabah. - Foto NSTP

"Pertembungan puak (Kadazandusun) adalah seperti pertengkaran politik. Budaya dan perpaduan boleh menjadi jambatan penyatuan untuk mendamaikan konflik politik berdasarkan rasa hormat bersama," katanya.

Pupuk nilai perpaduan

Amalan tradisi yang memfokuskan kepada keamanan dan perdamaian adalah penting untuk perpaduan budaya, terutama dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama.

Ini adalah warisan budaya yang kaya dengan nilai dan harus dilestarikan.

"Pengetahuan mengenai kepercayaan tradisi dan amalan adat perlu diturunkan dan tidak dilupakan kerana ini adalah latar belakang budaya kita," katanya.

Joniston turut menekankan keperluan untuk mendokumentasikan semua amalan adat di Sabah untuk meningkatkan kefahaman budaya dan sebagai peringatan mengenai asas pembinaan komuniti yang ada pada hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya dan STB giat mendorong individu, termasuk penerbit filem atau dokumentari tempatan untuk bekerjasama dalam mendokumentasikan amalan budaya di Sabah dalam mempromosikan negeri itu sebagai destinasi warisan budaya.

Info:

Tradisi 'Pibabasan'

* Simbolik memperingati perdamaian

* Tradisi masyarakat Kadazandusun dan Murut di Sabah dengan sembelih kerbau

* Dilakukan sempena Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai

* Diraikan Mei setiap tahun

* Adat tradisi masih diteruskan hingga ke hari ini

Berita Harian X