Isnin, 14 Jun 2021 | 11:24am
Spesies Ampuallaria antara 70 jenis periuk kera yang ditanam di Taman Nepenthes. - NSTP/Rohanis Shukri
Spesies Ampuallaria antara 70 jenis periuk kera yang ditanam di Taman Nepenthes. - NSTP/Rohanis Shukri

70 spesies periuk kera unik

ADA yang menggunakan periuk kera atau nama saintifiknya 'Nepenthes' sebagai kelongsong untuk membuat lemang sehingga sanggup meredah hutan tanpa menghiraukan berlaku kepupusan tumbuhan eksotik itu.

Malah, pencerobohan kawasan hutan yang tidak terkawal dan penuaian secara haram bagi tujuan komersial memburukkan lagi keadaan.

Nilai komersial periuk kera menambat hati golongan itu, namun bagi mereka terbabit secara langsung dengan hutan, periuk kera bukan untuk dikomersialkan tetapi perlu dipelihara.

Fungsi periuk kera untuk menangkap serangga masuk ke dalam kantung dan membekalkan nitrogen bagi mengekalkan kesuburan tanah.

Dengan kepentingannya kepada alam semula jadi wajarlah dipelihara supaya tanaman itu tidak pupus seperti hutan di Pahang.

Justeru, usaha menanam dan menghimpunkan 70 spesies periuk kera dilakukan di Taman Nepenthes, Taman Ekorimba (TERKS), Meru Raya, Ipoh, Perak, pada 2014, kemudian dibuka kepada orang ramai, pada 2016.

Fungsi periuk kera untuk menangkap serangga masuk ke dalam kantung dan bekalkan nitrogen kekalkan kesuburan tanah. - NSTP/Rohanis Shukri
Fungsi periuk kera untuk menangkap serangga masuk ke dalam kantung dan bekalkan nitrogen kekalkan kesuburan tanah. - NSTP/Rohanis Shukri

Selain dikenali sebagai destinasi tarikan ekopelancongan, pembangunan Taman Nepenthes juga menjadi antara pusat penyelidikan terbesar berkaitan kepada tumbuhan itu untuk penyelidik seluruh dunia.

55 spesies endemik dan 15 hibrid

Periuk kera adalah tanaman karnivor yang subur di kawasan bertanah tinggi dan akan memerangkap serangga di dalam periuk untuk membekalkan beberapa nutrien diperlukan.

Selain Malaysia, tanaman ini hanya dapat dijumpai di Kepulauan Madagascar hingga Papua New Guinea dan dari Australia Utara ke China Selatan.

Taman Nepenthes antara pusat penyelidikan terbesar dunia berkaitan tumbuhan eksotik. - NSTP/Rohanis Shukri
Taman Nepenthes antara pusat penyelidikan terbesar dunia berkaitan tumbuhan eksotik. - NSTP/Rohanis Shukri

Di taman ini ia menghimpunkan kira-kira 55 spesies endemik dan 15 spesies hibrid dari seluruh dunia.

Pelihara spesies unik

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop, berkata pembangunan taman periuk kera menunjukkan usaha Jabatan Perhutanan negeri menyampaikan pengetahuan dan kesedaran mengenai pemeliharaan spesies unik ini.

"Jabatan Perhutanan Perak membukukan Buku Panduan Taman Nepenthes Kledang Saiong bagi memberi maklumat dan pengetahuan mengenai spesies itu.

"Kita harapkan ia memberi manfaat untuk mereka meneroka lebih luas mengenai spesies karnivor ini," katanya.

Spesies Napenthes Adnata ditemui kali pertama oleh Willem Meijer pada 1957.

Spesies ini dikenal pasti secara saintifik oleh Rusjdi Ramin dan Mitsuru Hotta pada 1986, namun tiada pengesahan sehingga Jan Schlauer menghasilkan diagnosis dari Latin untuk spesimen Adnata ini.

Tapak semaian periuk kera dijaga rapi untuk pastikan ia tumbuh subur. - NSTP/Rohanis Shukri
Tapak semaian periuk kera dijaga rapi untuk pastikan ia tumbuh subur. - NSTP/Rohanis Shukri

Spesies ini memperoleh namanya daripada istilah latin adnatus yang bermaksud luas, merujuk pada hubungan antara daun dan batang pada spesies ini.

Ketika ini, tiada catatan mengenai hibrid semula jadi untuk spesies ini.

Spesies endemik

Spesies endemik dari Sumatera, Indonesia ini boleh dijumpai hidup pada ketinggian 600 hingga 1,200 meter dari permukaan laut.

Ia adalah tanaman kecil yang tingginya jarang melebihi dua meter. Spesies ini dapat dijumpai di daerah Sungai Tjampo, di Wilayah Barat Sumatera, di mana ia tumbuh terutama di daerah berlumut dan berlorek.

Bunganya paling kecil di antara semua spesies Nepenthes.

Spesies semula jadi lain yang menarik perhatian adalah Nepenthes Ampullaria berasal dari Borneo, Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatera, Thailand, Papua New Guinea dan Kepulauan Maluku.

Spesies ini tumbuh di atas tanah dan menghasilkan sekumpulan kendi dalam bentuk permaidani di dasar pokok, sering ditutupi daun yang jatuh ke tanah dengan ketinggian hingga 20 meter dengan batang menjalar.

Periuk kera jenis Ampullaria dikenali secara saintifik oleh William Jack, seorang ahli botani dari Scotland.

Nama spesies daripada perkataan Latin ampulla merujuk kepada 'flask', untuk menggambarkan periuknya.

Ia menghasilkan kendi dalam berbagai warna dan beberapa spesies hanya didapati di kawasan tertentu.

70 spesies di TER Kledang Saiong

Antara spesies periuk kera hibrid yang ditanam di TER Kledang Saiong ini ialah Napenthes Xbauensis, Xcantleyi, Xcoccinea, Xdyeriana, Xsharifah-Hapsahii, Xtrichocarpa, serta jenis kacukan, Clipeata x Reinwardtiana, Lowii x Campanulata serta beberapa lagi.

Habitat periuk kera terawal atau mempunyai endemik di Sumatera, Indonesia adalah pokok boleh ditemui di ketinggian 600 hingga 1,200 meter daripada aras laut.

Taman Nepenthes yang pertama mengumpul dan menempatkan secara berpusat puluhan spesies periuk kera endemik berasal dari Madagascar, Australia, China, Kepulauan Borneo, India, Thailand, Singapura dan Papua New Guinea.

Penulis yang mengunjungi Perak ketika mengikuti Program Eksplorasi EkoPelancongan Sumber Asli Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), dimaklumkan Taman Nepenthes ini menempatkan 15 spesies hibrid dari serata dunia, meliputi keseluruhan 70 spesies.

Penjagaan rapi periuk kera

Kewujudan Taman Napenthes menjadi tarikan kerana pelbagai spesies periuk kera boleh dilihat di depan mata, berbanding lazimnya perlu merentasi hutan tebal untuk melihatnya.

Nandini menunjukkan spesies Sumatrana. - NSTP/Rohanis Shukri Shukri
Nandini menunjukkan spesies Sumatrana. - NSTP/Rohanis Shukri Shukri

Pengawas Hutan Jabatan Perhutanan Perak, Nandini V Neru, 29, berkata bagi spesies endemik tumbuh di tanah berasid, tidak subur dan kekurangan nitrogen dan ciri utama adalah tumbuhan 'maging' yang memerangkap serangga dalam periuk.

Ini sumber makanannya dan serangga terperangkap dalam periuk membekalkan sebahagian nitrogen diperlukan.

Ia bermula dengan pokok 'rosette' dan matang sebagai pokok memanjat bersulut paut atau istilahnya, tendril climbers.

"Kita sediakan sistem pengecaman kod QR kod dan NFC untuk pengguna mengimbas dapatkan maklumat spesies pokok," katanya.

Perlu tanah lembap

Periuk kera perlu kelembapan tanah dan disiram dua kali sehari bergantung keadaan cuaca.

Spesies nepenthes longifolia. - NSTP/Rohanis Shukri
Spesies nepenthes longifolia. - NSTP/Rohanis Shukri

Waktu siang memerlukan 70 peratus kelembapan tanah dan malam pada tahap maksimum.

Pokok dicantas tiga atau empat kali seminggu, rumput dibiarkan tumbuh sebagai tutup bumi untuk kelembapan tanah, selain elakkan daripada anai-anai dan rumpai atau kulat.

Semaian anak benih daripada biji benih dan keratan batang. Ia memerlukan 18 bulan untuk membesar dan dua bulan mengeluarkan tunas baharu jika gunakan kaedah keratan batang.

Periuk kera susah mati

Jangka hayatnya panjang dan sukar mati kerana akarnya kukuh di dalam tanah serta banyak dahan bercabang.

"Cabang pokok rosak atau mati akan dipotong dan pada tempat sama, tumbuh tunas baharu.

"Jangka hayat kendi sekitar empat hingga lima bulan," katanya.

Pembentukan kendi periuk kera itu terjadi sekiranya tanah tidak cukup nutrien. Ia akan bertindak mencernakan serangga kecil menggunakan enzim untuk mendapatkan zat.

Kandungan nutrien tanah akan dikurangkan agar kendi terbentuk bagi menjalankan fungsinya mencukupkan zat pokok periuk kera.

Spesies nepenthes northiana. - Foto NSTP
Spesies nepenthes northiana. - Foto NSTP

INFO

TER Kledang Saiong

• Terletak terletak di daerah Kinta

• Waktu operasi : 8 pagi - 5 petang

• Bayaran masuk : RM2 (dewasa), RM1 (kanak-kanak)

• Bayaran masuk (Taman Nepenthes) : RM2 (dewasa), RM1 (kanak-kanak)

Berita Harian X