X
Selasa, 25 Mei 2021 | 10:30am
Air Terjun Berdebu disifatkan air terjun paling cantik di Malaysia. - Foto ihsan Haziq Hussain
Air Terjun Berdebu disifatkan air terjun paling cantik di Malaysia. - Foto ihsan Haziq Hussain

Air Terjun Berdebu 'port' wajib pengembara

KEDENGARAN dari jauh sayup bunyi hentaman Air Terjun Berdebu, di Batu Hulu Dungun, Terengganu dengan ketinggian kira-kira 100 meter buat pengunjung teruja.

Dari jauh juga kelihatan percikan air halus seperti debu berterbangan dan bersinar apabila disulami pancaran cahaya mentari persis di 'syurga'.

Kali pertama kali menjejakkan kaki ke Air Terjun Berdebu, pengalaman mengasyikkan, terpukau dengan keindahan air terjun berkenaan dan tenang dek bunyi air sungai mengalir ditambah kehijauan hutan yang belum terusik.

Bunyi unggas bersahut-sahutan di sekitar kawasan itu menghasilkan muzik orkestra semula jadi ibarat mengalu-alukan kedatangan pengunjung yang mahu menikmati alam ciptaan tuhan.

Ada menyifatkan ia air terjun paling cantik di Malaysia, malah lebih indah jika dibandingkan di negara luar.

Percikan air halus seperti debu berterbangan dan bersinar disulami cahaya mentari persis di syurga. - Foto Haziq Hussain
Percikan air halus seperti debu berterbangan dan bersinar disulami cahaya mentari persis di syurga. - Foto Haziq Hussain

Selain persekitaran yang hijau dan masih belum terusik, semestinya air yang mengalir sejuk dan berwarna seakan-akan hijau emerald.

Air jernih bak kristal

Bagi yang gemar swafoto atau 'kaki' fotografi, Air Terjun Berdebu adalah 'port' wajib untuk merakam detik untuk simpanan peribadi atau dikongsi kepada umum menerusi media sosial.

Selain berkhemah, antara aktiviti yang boleh dilakukan di situ adalah menangkap ikan.

Pemandangan indah menjadikan Air Terjun Berdebu jadi tumpuan pengembara. - Foto Haziq Hussain
Pemandangan indah menjadikan Air Terjun Berdebu jadi tumpuan pengembara. - Foto Haziq Hussain

Terdapat juga kawasan yang sesuai untuk berenang dan pastinya air jernih bak kristal dan sejuk, memberi kesegaran sesiapa saja yang 'berendam' di dalamnya.

Pada waktu malam pula, suasananya sejuk hingga menusuk tulang. Ke sini perlu memakai baju tebal.

Air menjunam kelihatan seakan berdebu

Pengembara, Haziq Hussain, berkata air terjun itu diberi nama 'berdebu' kerana air yang mengalir menjunam dari atas ke bawah dan menghempas permukaan air di bahagian bawah menghasilkan percikan air seperti debu.

Menceritakan pengalaman kali pertama menjejakkan kaki ke Air Terjun Berdebu bersama kumpulan pendaki dikenali Back3Basic, beliau dan rakan mengakui terkesima dan begitu terpesona melihat keindahan kawasan berkenaan yang masih terpelihara.

Air terjun ada kolam yang luas dan berombak. - Foto Haziq Hussain
Air terjun ada kolam yang luas dan berombak. - Foto Haziq Hussain

"Deruan air terjun berdebu berbunyi garang dapat didengari dari jauh memecah kesunyian belantara. Terjunan air yang tinggi dan garang. Saya sarankan pengunjung memakai baju kalis air atau baju hujan bersama barang elektronik dan berharga perlu disimpan di dalam beg kalis air.

Kolam luas, air berombak

Di bawah air terjun terdapat kolam yang luas dan berombak. Ia tidak sesuai untuk mandi.

"Permukaan batu di situ juga berlumut dan licin sehingga menyukarkan untuk turun ke bawah.

"Diharapkan pengunjung menjaga keseimbangan ekosistem alam dan memelihara segala jenis hidupan flora serta fauna di sekitar kawasan air terjun termasuk sepanjang perjalanan untuk tatapan generasi pada masa akan datang," katanya.

Berkongsi liku-liku perjalanannya menuju ke Air Terjun Berdebu, Haziq menjelaskan, jalan hanya boleh diakses atau dimasuki dengan menggunakan motosikal lasak atau jentera 4X4 sahaja bermula dari jalan masuk selama dua jam perjalanan melalui jalan berbatu, meredah sungai serta jalan balak.

"Terdapat tiga atau empat kawasan perkhemahan yang dibina untuk kemudahan bermalam.

"Jalan trekking dari kem yang pertama menuju ke kawasan air terjun dalam tujuh kilometer (km).

"Lebih kurang tiga jam merangkumi perjalanan merentas sungai, mendaki batuan dan menyelusuri hutan yang tebal serta dipenuhi pacat serta permukaan licin berlumut.

"Digalakkan mendapatkan khidmat juru arah terutama kali pertama ke sini untuk keselamatan dan kemudahan bermalam bagi pengunjung untuk mengelakkan insiden sesat kerana laluan yang mengelirukan serta risiko ancaman haiwan liar.

"Disarankan juga membawa kelengkapan tidur yang lengkap kerana suhu di sana amat sejuk pada waktu malam," katanya.

Yang nyata pengalaman berbaloi dan puas meskipun letih meredah perjalanan mengambil masa lima jam ke Air Terjun Berdebu dari Kampung Bongok di Batu Hulu Dungun, Terengganu'.

Air Terjun Berdebu disifatkan 'port' rahsia yang jarang dikunjungi 'kaki' kembara kerana kawasan itu ada keistimewaan tersendiri sehingga mereka tidak hirau menelusuri liku-liku ke situ.

Air jernih bak kristal dan sejuk dan suasana alam sekitar yang indah menjadikan lokasi yang cantik untuk berswafoto. - Foto Haziq Hussain
Air jernih bak kristal dan sejuk dan suasana alam sekitar yang indah menjadikan lokasi yang cantik untuk berswafoto. - Foto Haziq Hussain

Jika ingin teroka keindahan air terjun dinasihat menaiki kenderaan 4X4 atau motosikal lasak masa hanya dua jam.

Jika hujan, permukaan jalan akan bertukar menjadi becak dan licin, perjalanan tetap menyukarkan meskipun dengan 4X4.

Kalau melalui curam berbukit, ia bukan mudah mendaki, manakala melalui sungai deras, bukan senang untuk direntasi.

Motosikal rosak, tayar terlekat dalam lecak dan jatuh motosikal kerana permukaan jalan licin pasti berlaku.

Kawasan terpencil, laluan mencabar

Mahu ke sini perlu kekuatan mental dan fizikal. Selepas berjaya mengharungi 'checkpoint' pertama, pendaki perlu berjalan kaki selama tiga jam sebelum sampai ke kawasan berkenaan.

Kawasan agak terpencil dan laluan utama hanya lori balak. Tempat itu tidak sepopular tempat lain kerana ia dianggap masih baharu dan jarang diketahui umum kecuali dalam kalangan penduduk setempat serta kaki joran tegar.

Jadi bersedia menempuhi laluan mencabar seperti seperti kawasan berbukit dan permukaan jalan berliku, antara risiko lain menanti pendaki adalah kemungkinan serangan haiwan liar seperti gajah.

Berita Harian X