Rabu, 12 Mei 2021 | 1:07pm
Bangunan Fort Magherita yang dibina pada tahun 1878. - NSTP/Roji Abdullah
Bangunan Fort Magherita yang dibina pada tahun 1878. - NSTP/Roji Abdullah

Bangunan lama warisan berharga

KUCHING, Sarawak yang mendapat status bandar raya pada 1 Ogos 1988, terus mengekalkan bangunan lama khususnya yang dibina ketika era pemerintahan keluarga Brooke sebagai warisan berharga.

Bangunan lama itu yang unik serta memiliki nilai seni bina yang tinggi antara yang menjadi daya tarikan pelancong ke bandar raya yang terletak di tebing Sungai Sarawak itu.

Malah, bangunan lama yang ada antaranya berusia hampir 200 tahun penting untuk dipelihara bagi tatapan generasi akan datang agar mereka menghargai sejarah pembangunan negeri ini.

Pengunjung yang bersiar-siar di Tebingan Kuching pastinya dapat melihat dengan jelas bangunan Astana Negeri yang terletak di seberang sungai.

Astana Negeri yang kini menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dibina oleh Rajah Putih kedua, Charles Brooke pada 1870 dan ia adalah tapak asal kediaman rasmi sejak James Brooke diangkat sebagai pemerintah Sarawak pada 1841.

Menyimpan sejarah awal Sarawak

Square Tower yang dibina pada tahun 1879. - NSTP/Roji Abdullah
Square Tower yang dibina pada tahun 1879. - NSTP/Roji Abdullah

Tidak jauh dari Astana Negeri dan bersebelahan dengan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru, kelihatan sebuah bangunan unik berwarna putih di atas bukit menghadap Sungai Sarawak.

Ia adalah Fort Magherita, kubu pertahanan yang dibina pada 1879 bagi mengekang serangan pemberontak yang cuba menyerang kepentingan pemerintah dengan menyusuri sungai, selain menjadi penjara bagi menempatkan tahanan khususnya pemberontak.

Nama kubu itu adalah bersempena nama isteri Rajah Charles Brooke, Ranee Margaret dan kini ia menjadi Galeri Brooke yang menyimpan sejarah awal Sarawak sejak pemerintahan kerajaan Brunei sehingga dikuasai Rajah Putih pertama, James Brooke.

Rumah Pasung

Di seberang sungai, iaitu di Tebingan Kuching, terdapat sebuah lagi bangunan yang dibina sama tahun dengan Fort Magherita iaitu Square Tower.

Bangunan empat segi itu juga dikenali sebagai 'Rumah Pasung' kerana pernah menjadi menjadi tahanan sementara bagi menempatkan pesalah sebelum dikurung di Fort Margherita.

Muzium Sarawak. - NSTP/Roji Abdullah
Muzium Sarawak. - NSTP/Roji Abdullah

Berdepan bangunan Square Tower, tersergam bangunan mahkamah lama Kuching yang dibina pada 1868 sebaik Charles Brooke dilantik sebagai Rajah Putih.

Pada mulanya, bangunan itu adalah pusat pentadbiran kerajaan Charles Brooke, kemudian dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan Sarawak sehingga tahun 1973 dan pada 2003, bangunan bersejarah itu menjadi Kompleks Pelancongan Sarawak.

Masih kekalkan perniagaan tradisi

Berjalan menyusuri Tebingan Kuching, pengunjung akan melihat sebuah kuil Cina `Tua Pek Kong' yang dihiasi ukiran menarik. Dibina pada tahun 1839, kuil itu antara bangunan yang terselamat dalam kebakaran besar yang berlaku di Kuching pada tahun 1884.

Dari kuil itu, pengunjung boleh meneruskan perjalanan meninjau bangunan lama sepanjang Carpenter Street dan menyaksikan banyak kedai lama masih mengekalkan perniagaan tradisi antaranya pembuatan produk logam termasuk pelita.

Di penghujung Carpenter Street, pengunjung akan melihat bangunan Pejabat Pos Besar Kuching. Bangunan itu yang dibina pada 1931 antara warisan peninggalan Raja Putih sepanjang 100 tahun pemerintahan keluarga Brooke dari 1841 hingga 1941.

Pejabat Pos Besar Kuching. - NSTP/Roji Abdullah
Pejabat Pos Besar Kuching. - NSTP/Roji Abdullah

Berdepan dengan bangunan Pejabat Pos Besar itu, kelihatan sebuah lagi seni bina tinggalan pemerintah Brooke iaitu bangunan Pavilion. Bangunan itu yang dibina pada tahun 1907 kini dijadikan sebagai Muzium Tekstil Sarawak.

Bangunan itu pada asalnya dikenali sebagai `European Hospital' kerana ia adalah hospital khusus untuk pegawai kerajaan berbangsa Eropah selain untuk memenuhi keperluan kesihatan keluarga Brooke.

Jejak warisan

Terletak di atas bukit tidak jauh dari bangunan Pavillion, tersergam bangunan Muzium Sarawak yang dibina pada tahun 1891 sebelum diperbesarkan pada tahun 1911 seterusnya kekal menjadi bangunan yang ada sekarang.

Bangunan Pavillion yang pernah menjadi hospital khusus untuk warga Eropah. - NSTP/Roji Abdullah
Bangunan Pavillion yang pernah menjadi hospital khusus untuk warga Eropah. - NSTP/Roji Abdullah

Selain itu, Muzium Sarawak, kelihatan sebuah lagi bangunan lama yang berusia lebih 150 tahun iaitu Masjid Bandaraya Kuching.

Masjid itu antara masjid tertua di Sarawak dibina pada 1847 oleh pembesar Melayu ketika itu, Datuk Patinggi Ali.

Masjid itu yang pernah menjadi sasaran bom tentera Jepun pada Perang Dunia Ke-2, melalui beberapa fasa menaik taraf sehingga bentuknya kekal seperti hari ini.

Bangunan lama yang masih berdiri teguh di pusat bandar raya Kuching itu antara seni bina yang termasuk dalam laluan `Jejak Warisan' yang diilhamkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika beliau menjadi Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak pada 2011.

Masjid Bandaraya Kuching. - NSTP/Roji Abdullah
Masjid Bandaraya Kuching. - NSTP/Roji Abdullah

Laluan `Jejak Warisan' itu mampu mendekatkan pelancong luar dengan bandar raya Kuching yang kaya dengan pelbagai sejarah dan budaya, selain memberi faedah kepada masyarakat setempat khususnya penduduk di kawasan kampung tradisional sepanjang Sungai Sarawak.

Square Tower yang dibina pada tahun 1879. - NSTP/Roji Abdullah
Square Tower yang dibina pada tahun 1879. - NSTP/Roji Abdullah

Berita Harian X