Isnin, 26 April 2021 | 10:29am
Kapal korek digelar 'The Last Dredge', iaitu warisan kapal korek terakhir dapat dilihat diTanjung Tualang, Batu Gajah, Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Kapal korek digelar 'The Last Dredge', iaitu warisan kapal korek terakhir dapat dilihat diTanjung Tualang, Batu Gajah, Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

'Sesat' di kawasan kapal korek terakhir

SEBELUM 1820, aktiviti mendulang dan melampan lazimnya dilakukan di sungai atau di bekas kawasan lombong bagi mengasingkan bijih timah adalah cara tradisional masyarakat zaman dahulu.

Kegigihan pendulang dan pemandangan berpakaian santai, bertopi besar serta lipatan kain batik di atas kepala ketika mengasingkan bijih daripada tanah, kini hanya tinggal nostalgia.

Kemudian, aktiviti pendulang bijih pula diambil alih oleh kapal korek diumpamakan seperti sebuah kilang terapung di atas tasik buatan atau tasik semula jadi.

Aktiviti itu terus berkembang pesat dengan penggunaan jentera pengorek, pam kelikir dan kapal pengorek, mengubah tenaga empat kerat pendulang tradisional.

Namun itu juga sudah menjadi peninggalan sejarah selepas kejatuhan harga bijih timah pada 1982.

Kapal korek digelar 'The Last Dredge', iaitu warisan kapal korek terakhir dapat dilihat diTanjung Tualang, Batu Gajah, Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Kapal korek digelar 'The Last Dredge', iaitu warisan kapal korek terakhir dapat dilihat diTanjung Tualang, Batu Gajah, Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Apa yang ada kini hanya kapal korek dan bagaimana generasi sekarang dapat melihat secara dekat dan merasai pengalaman saat kegemilangan industri bijih timah suatu ketika dahulu.

Mendalami sejarah

Pengurus Amanjaya Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) Sdn Bhd, Shaharin Zainon, berkata kapal korek itu memberikan pengalaman berbeza bagi mendalami sejarah itu.

Kunjungan ke TT5 pengunjung boleh melihat kapal korek dan bagaimana kepentingan industri perlombongan secara dekat, bukan sekadar diketahui menerusi pembacaan atau pembelajaran ketika di zaman sekolah.

Justeru, lokasi itu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Ipoh, TT5, di Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, di Perak, pengunjung dapat melihat kapal korek masih dikekalkan dalam keadaan sebenar.

Kapal korek pertama wujud di Tanjung Tualang pada 1913. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Kapal korek pertama wujud di Tanjung Tualang pada 1913. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kapal korek digelar `The Last Dredge' atau warisan kapal korek terakhir industri perlombongan bijih timah negara ini.

Pada era kemuncak industri bijih timah terdapat 123 kapal korek pelbagai saiz di seluruh negara. Kapal pertama datang ke Tanjung Tualang pada 1913 dan TT5 adalah kapal korek kelima.

Pada mulanya keadaan kapal senget kerana terbiar agak lama dan dibaiki pontoon (yang mengapungkan kapal).

Untuk pengalaman berbeza membenarkan pengunjung masuk ke dalam kapal untuk merasai sendiri.

"Kapal ini ada empat tingkat, kita hanya dibenarkan melawat aras bawah, tetapi dapat melihat tempat proses mengorek, pengasingan dan penapisan bijih," katanya.

Mengikut sejarah, kapal itu diserahkan kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) pada 2016 dan membaikpulih jentera itu sebelum dibuka kepada pengunjung pada Jun 2017.

MB Inc diberi tanggungjawab untuk memulihara kawasan itu bagi memastikan warisan berharga negara itu terus diingati dan diketengahkan.

Program selami mengenai TT5

Di sini juga dilaksanakan program pembangunan keseluruhan kawasan meliputi lima fasa bermula dengan usaha menyelamatkan dan membaikpulih, mengetengahkan kembali lokasi supaya dikenali, melaksanakan program yang boleh mendekatkan lagi masyarakat dengan TT5 dan sekali gus dapat membantu meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat melalui pembangunan semula kawasan itu.

Aktiviti di Taman Sesat

Terdapat juga aktiviti unik di TT5 juga menyediakan aktiviti mendulang bijih timah setiap Sabtu dan Ahad dan untuk hari lain jika ada permintaan bersesuaian.

Keunikan kawasan kapal korek itu lebih

terserlah dengan kewujudan Maze Park atau Taman Sesat seluas 2,972.897 meter persegi berbentuk hati.

Taman Sesat berbentuk hati antara tarikan baru di TT5, sambil mengimbas kembali industri kapal korek di negara ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Taman Sesat berbentuk hati antara tarikan baru di TT5, sambil mengimbas kembali industri kapal korek di negara ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Taman Sesat? Pasti membuatkan pengunjung teruja mungkin akan sesat jika memasuki taman berkenaan. Namun, itulah antara tarikan yang perlu pengunjung terokai sambil mengimbas mengenai industri kapal korek di negara ini.

Malah, kawasan dikelilingi tasik diserikan dengan teratai dan keladi nyata mampu memberi hasil bidikan lensa menarik bagi pengunjung yang gemar merakam foto dengan pemandangan indah dan landskap taman yang menarik.

"Maze Park insprirasi dari Pulau Jeju, Korea Selatan cuma sebagai signifikasi bijih timah kita menggunakan bahan tempatan dan di dalamnya juga ada beberapa elemen seperti galeri batu dan sejarah kapal korek.

"Sambil sesat di sini, kita tambah ilmu pengetahuan di taman ini," katanya.

Konsep 'petting zoo'

Di sini juga ada arnab, kambing dan ayam serama di mana kita gunakan konsep 'petting zoo' dan pengunjung juga berpeluang memberi makan kepada haiwan yang dilepaskan secara bebas di sekitar kawasan ini, katanya.

Harga masuk ke kawasan ini berharga RM5 saja dengan bayaran tambahan RM10 untuk mereka yang mahu melawat kapal korek untuk dewasa, manakala RM5 untuk kanak-kanak.

Sesi penjelajahan kapal korek akan dipandu pemandu pelancong bermula 9.30 pagi hingga 4.30, manakala kawasan itu mula dibuka 9 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, bagi pengunjung, Ili Aqilah Yus Amirul, 31, yang pernah sampai ke sini ternyata beliau teruja dapat melihat dan melawat ruang dalam kapal itu yang juga kapal korek terakhir negara.

Taman Sesat berbentuk hati antara tarikan baru di TT5, sambil mengimbas kembali industri kapal korek di negara ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Taman Sesat berbentuk hati antara tarikan baru di TT5, sambil mengimbas kembali industri kapal korek di negara ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Menurutnya, pengalaman itu memberinya peluang merasai seolah-olah berada dalam suasana sebenar aktiviti perlombongan bijih timah.

"Memang seronok dan teruja kerana kita dapat melihat dengan lebih dekat dan memegang peralatan di kapal itu kerana sesetengah tempat tidak dibenarkan memegang barang pameran.

"Jika ada kafe atau tempat makan di kawasan itu bagi saya lebih bagus kerana pengunjung boleh 'lepak' sambil menikmati pemandangan di situ," katanya.

Penerokaan lebih santai

Bagi Asliza Musa, 35, kunjungannya ke kapal itu memberi pengalaman baharu meneroka aktiviti perlombongan yang pernah menjadi sumber utama suatu ketika dahulu.

Katanya, penerangan diberikan juga menjadikan pengunjung dapat memahami setiap fungsi dan peranan bahagian yang ada dalam kapal itu.

"Sebelum ini saya pernah melawat Kota Belanda di Pulau Pangkor yang dikatakan pernah menjadi tempat penyimpanan bijih timah yang diperoleh sekitar Perak.

"Pada zaman itu difahamkan aktiviti melombong masih dilakukan secara tradisional.

"Justeru peninggalan kapal korek ini menunjukkan perubahan dalam industri perlombongan dan kita dapat melihat dengan lebih dekat jenteranya," katanya.

Apa yang lebih menarik dengan adanya Maze Park yang baharu dibuka kepada orang ramai dapat menarik lebih kunjungan ke sini sekali gus memberikan penerokaan lebih santai.

INFO:

* Nama penuh - Tanjung Tualang Dredge No 5 (TT5)

* Perekabentuk - FW Payne and Sons

* Pertama kali dibina di England pada 1938 dan dibina semula pada 1963

* Operasi terakhir adalah pada 1982

Spesifikasi:

* 4,500 tan berat

* 75 meter panjang dan 35 meter lebar

* 33 meter kedalaman mengorek

* 0.50976 meter padu kapasiti pengorek (bucket)

* 2,247 kuasa kuda (HP)

* 358,000 meter padu kapasiti mengorek pada satu-satu masa

Berita Harian X