Ahad, 24 Januari 2021 | 11:01am
Kami diberikan taklimat oleh juru pandu, Apaq sebelum memulakan pendakian di Gunung Datuk.
Kami diberikan taklimat oleh juru pandu, Apaq sebelum memulakan pendakian di Gunung Datuk.

Menjenguk Trans Naning di kala tengkujuh

PENDAKIAN ke tujuh puncak yang dirancang mampu ditamatkan antara 12 hingga 14 jam dalam keadaan amat santai, akhirnya berlarutan sehingga 18 jam.

Itulah masa diambil penulis ketika menelusuri trek Trans Naning sejauh 21 kilometer ketika tengkujuh menjengah. Untuk mengalah, itu bukan satu pilihan.

Pelbagai gelaran diberi antaranya bubur, barai, becak, lumpur, selut, bajak, licin, kubang - bagi menggambarkan keadaan trek, khususnya selepas melewati puncak Gunung Datuk hingga keluar di Bukit Tampin.

Faktor trek juga menyebabkan ada pendaki terpaksa menempuh perjalanan lebih 20 jam. Ada yang masih mengerah sisa kudrat ketika jarum jam melepasi angka 12 tengah malam.

Bagaimanapun, ada yang mampu menyelesaikan pendakian dalam tempoh lebih singkat, mungkin di bawah 10 jam, bergantung tahap kecergasan dan tempoh rehat yang diambil di setiap puncak atau hentian.

Penerokaan Trans Naning bersama lapan rakan serta seorang juru pandu dikenali sebagai Apaq bermula di kaki Gunung Datuk kira-kira jam 4 pagi.

Laluan balak antara cabaran di trek Trans Naning.
Laluan balak antara cabaran di trek Trans Naning.

Trek licin, barai, selut menyebabkan pergerakan pendaki sedikit terbatas.
Trek licin, barai, selut menyebabkan pergerakan pendaki sedikit terbatas.

Angin kencang yang menyambut ketibaan kami sebaik tiba di parkir kaki gunung, turut mengiringi kami hingga ke puncak yang terletak pada ketinggian 855 meter.

Rata-rata kami bimbang ditimpa ranting atau dahan atau mungkin pokok tumbang sepanjang pendakian ke puncak. Namun untuk berpatah balik, pastinya bukan satu penyelesaian.

Patuh SOP, elak bersesak dalam kumpulan

Penulis tiba di puncak Gunung Datuk jam 6.05 pagi, disambut hujan yang sesekali lebat. Dalam tercari-cari tapak sesuai untuk berehat, azan Subuh dialunkan seorang pendaki, menyedarkan penulis bahawa kewajipan kepada Allah SWT perlu ditunaikan walau di mana kita berada.

Lama juga penulis berehat, menanti hujan reda sambil menikmati kopi panas Apaq, sekeping kek hari lahir Kak Laili, telur rebus dan roti sebelum bergerak ke puncak kedua.

Berbeza trek pacak sebelum ini, laluan ke Simpang Y atau persimpangan antara Gunung Rembau dan Gunung Gagak lebih mudah.

Penulis mengambil masa setengah jam untuk tiba di Simpang Y sebelum bergerak ke Gunung Rembau yang memakan masa setengah jam walaupun terngiang-ngiang laungan Apaq: "Tak jauh, 10 minit pun boleh sampai".

Pendaki perlu berhati-hati di laluan menurun berikutan trek becak dan licin.
Pendaki perlu berhati-hati di laluan menurun berikutan trek becak dan licin.

Meredah trek memberi pengalaman indah sambil menikmati kehijauan alam semula jadi.
Meredah trek memberi pengalaman indah sambil menikmati kehijauan alam semula jadi.

Akui jalur pendakian sedikit sesak, namun prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan pihak berkuasa masih menjadi keutamaan. Antaranya, mengelak bersesak dalam kumpulan dan tidak mengambil masa lama untuk bergambar di puncak.

Dari awal lagi, kami diingatkan untuk tidak lupa membawa cecair sanitasi, kerap membasuh tangan dan mengelak berbual pada jarak dekat.

Tepat jam 9.40 pagi, kami bergerak ke Gunung Gagak dan perjalanan lebih sejam itu juga pasti tidak sukar jika treknya kering. Namun, lebih sukar buat seorang rakan merangkap ketua kumpulan apabila tapak kasutnya tertanggal sebaik meninggalkan puncak Gunung Datuk hingga memaksa perjalanan diteruskan dengan hanya memakai sandal bertali.

Laluan semakin licin, berduri

Selepas berehat hampir 30 minit di puncak Gunung Gagak, menikmati bekalan, kami bergerak ke Puncak 701. Tidak dapat dipastikan kenapa ia sekadar digelar Puncak 701, yang pasti 701 merujuk kepada ketinggian puncak dari paras laut mengikut kiraan meter.

Selain Gunung Datuk, enam lagi puncak tidak menyediakan pemandangan indah melainkan kawasan 'check point' yang hanya dikelilingi pokok dan belukar.

Kali ini trek semakin mencabar apabila laluan semakin licin dan sempit dengan duri di kiri dan kanan, memaksa penulis memperlahankan pergerakan, menuruti setiap langkah juru pandu.

Penulis mengambil masa lebih sejam untuk tiba di Puncak 701 dan seperti sebelum ini, kami mengambil masa antara setengah jam hingga satu jam untuk berehat dan 'regroup' (berkumpul semula).

Menyedari terlajak waktu, kami bergegas menuju ke Kem Ultra yang perjalanannya memakan masa lebih satu jam.

Menyusuri laluan dari Gunung Rembau ke Simpang Y.
Menyusuri laluan dari Gunung Rembau ke Simpang Y.

Kem Ultra, satu-satunya hentian yang mempunyai sumber air untuk pendaki Trans Naning. Untuk ke anak sungai yang hanya separas buku lali hingga betis dan mungkin lebih cetek jika musim kering, penulis perlu berdepan dengan trek terus menerus menurun yang pastinya memberi tekanan pada lutut, apatah lagi trek licin dan berlumpur.

Di Kem Ultra, kami menikmati makan tengah hari walaupun sudah melewati jam 2.30 petang. Kem Ultra ditinggalkan ketika hujan semakin lebat kira-kira jam 4 petang.

Dorongan rakan pembakar semangat

Dari awal lagi kami diberitahu laluan ke Puncak 705 bakal memberi cabaran lebih hebat kerana trek pacak, purata kecerunan 45 darjah dengan menggunakan baki tenaga yang tinggal.

Penulis pasti tewas jika tiada dorongan berterusan daripada rakan, apatah lagi sepanjang dua jam ke Puncak 705, kami hanya berdua meredah trek yang semakin gelap. Kami tiba di Puncak 705 selepas 14 jam sejak pendakian bermula di kaki Gunung Datuk.

 Penulis (kanan) bersama rakan, Noor Shamsiah di Puncak 705
Penulis (kanan) bersama rakan, Noor Shamsiah di Puncak 705

Hasrat untuk berkumpul semula dengan ahli kumpulan seperti dilakukan di setiap hentian terpaksa dibatalkan kerana bimbang perlu menunggu dalam gelap dan kesejukan.

Perasaan takut berada di trek pendakian pada waktu malam antara kelemahan penulis, mulalah membayangkan cerita seram. Akhirnya kami menyertai kumpulan lain yang mahu meneruskan perjalanan.

Berbekalkan tenaga yang masih bersisa, penulis tiba di Gunung Tampin Utara jam 7.55 malam. Sekadar mengambil masa 10 minit untuk berehat dan menukar bateri lampu kepala, penulis mula bergerak ke Gunung Tampin Selatan, puncak terakhir Trans Naning dan tiba 45 minit kemudian.

Kenangan di puncak Gunung Rembau.
Kenangan di puncak Gunung Rembau.

Ibarat perjalanan yang sangat panjang dan tanpa noktah, penulis akhirnya tiba di Bukit Tampin tepat jam 10 malam dan sekali lagi cuaca sejuk serta angin kencang menyambut ketibaan kami.

Bukit Tampin juga menjadi lokasi permulaan bagi trek 'reverse' Trans Naning yang berakhir di Gunung Datuk. Dikatakan kira-kira 60 pendaki melakukan 'reverse' pada hari sama.

Benarlah kata-kata pendaki tegar, 'pengalaman itu bukan pada puncaknya akan tetapi pada perjalanannya.'

Selain pengalaman, penerokaan Trans Naning turut 'menghadiahkan' penulis lima gigitan pacat, selain kesakitan akibat kedua-dua kuku ibu jari kaki hampir tercabut.

Antara rakan yang menyahut cabaran meneroka Trans Naning.
Antara rakan yang menyahut cabaran meneroka Trans Naning.

Info Trans Naning

• Laluan mula dibuka 19 Disember 2015

• Menghubungkan Gunung Datuk dan Gunung Tampin

• Menghimpunkan tujuh puncak

- Gunung Datuk - 855 meter (m)

- Gunung Rembau - 884 m

- Gunung Gagak - 807 m

- Puncak 701 - 701 m

- Puncak 705 - 705 m

- Gunung Tampin Utara - 764

- Gunung Tampin Selatan - 733

• Perjalanan sejauh 21 kilometer

• Pendakian bermula di kaki Gunung Datuk

Kasut pendaki walaupun belum separuh perjalanan.
Kasut pendaki walaupun belum separuh perjalanan.

Penulis bersama rakan di puncak Gunung Datuk, puncak pertama daripada tujuh puncak Trans Naning.
Penulis bersama rakan di puncak Gunung Datuk, puncak pertama daripada tujuh puncak Trans Naning.

Berita Harian X