Isnin, 17 Disember 2018 | 11:46am
Gelagat Papa Smurf dan Smurfette mencuri perhatian peminat cilik yang sentiasa mendampingi mereka. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Gelagat Papa Smurf dan Smurfette mencuri perhatian peminat cilik yang sentiasa mendampingi mereka. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Bercanda dengan telatah lucu makhluk biru

PEMINAT siri kartun popular, The Smurfs terutama kanak-kanak hanya berpeluang menyaksikan telatah lucu makhluk kerdil berwarna biru yang comel itu menerusi kaca televisyen atau pawagam sahaja.

Kini, semuanya menjadi realiti, orang ramai terutama kanak-kanak boleh beramah mesra dengan semua karakter The Smurfs.

Mereka secara langsung berpeluang bertemu ‘makhluk biru’ di taman tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS), di Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak.

Papa Smurf yang berjambang dan berseluar merah, terkenal dalam kalangan kanak-kanak sebagai ketua Kampung Smurf, selain Vanity Smurf apabila dia tidak pernah berenggang dengan cermin mukanya dan keletah Baker Smurf pasti mencuit hati apabila sentiasa memegang sebiji kek.

Smurfette, satu-satunya Smurf perempuan berambut panjang dan berwarna perang sentiasa menjadi perhatian dalam kalangan karakter lain seperti Brainy Smurf, Clumsy Smurf, Greedy Smurf, Jokey Smurf, Hefty Smurf dan Grouchy Smurf bagi menambat hati serta perasaannya.

Semua karakter animasi terkenal dunia itu boleh ditemui di bawah satu bumbung di kawasan permainan mereka dikenali The Smurfs Partyland.

Isi aktiviti musim cuti sekolah bersama keluarga di MAPS. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Isi aktiviti musim cuti sekolah bersama keluarga di MAPS. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Bersesuaian musim cuti sekolah ini, destinasi sebegini menjadi tumpuan pengunjung sebagai pusat setempat seisi keluarga yang kerana menyediakan pelbagai tarikan dan aktiviti permainan.

Bukan sahaja kanak-kanak teruja menyaksikan karakter kartun, malah orang dewasa turut ceria dengan telatah yang bersahaja.

Penulis sangat teruja apabila berpeluang berswafoto bersama Papa Smurf yang muncul di depan mata.

Sebenarnya karakter The Smurfs lebih popular berbanding selebriti. Mereka sentiasa menjadi buruan peminat setiap kali membuat kemunculan istimewa.

Selain The Smurfs, siri TV animasi tempatan, karakter BoBoiBoy bersama rakannya seperti Yaya, Ying, Gopal dan Fang turut membuat kemunculan istimewa bertemu peminat cilik di kawasan permainan dikenali The Home of BoBoiBoy.

Semua karakter kartun itu, pasti membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk bergambar. Mereka sanggup berbaris panjang bersama si cilik semata-mata untuk beramah mesra dengan The Smurts dan BoBoiBoy serta kawannya.

Karakter BoBoiBoy bersama temannya melayani gelagat kanak-kanak. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Karakter BoBoiBoy bersama temannya melayani gelagat kanak-kanak. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Selain 23 tarikan interaktif, 15 permainan mendebarkan di enam zon tema. Pengunjung jangan terlepas peluang terokai zon tema baharu dikenali Trick O’ Thrill yang menyediakan permainan Drop Tower.

Di sini tempat sesuai untuk menguji keberanian anda berada di tempat tinggi, seterusnya jatuh secara mendadak hingga rasa hendak ‘tercabut’ jantung!

Jadi apa lagi, penerokaan di taman permainan ini tidak berhenti di situ. Bagi mereka yang mencuba aktiviti lasak dan mencabar inilah masanya mempamerkan keberanian anda.

Bagi penulis, lebih istimewa apabila tenaga mahir tempatan mampu menjayakan persembahan teater bertaraf antarabangsa dikenali Magic of Dreams yang menghimpunkan pelbagai karakter kartun popular pujaan kanak-kanak, namun dilakonkan oleh bintang yang dibawa khas dari United Kingdom (UK).

Menerokai taman tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS), di Bandar Meru Raya, Ipoh. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Menerokai taman tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS), di Bandar Meru Raya, Ipoh. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pentas teater popular di London ketika ini sedang menjayakan pementasan Harry Potter and The Cursed Child yang bertaraf antarabangsa, sekali gus dikunjungi pelancong dari segenap pelosok dunia.

Namun Magic of Dreams ‘buatan’ MAPS layak dipertontonkan di luar negara gara-gara keunikan dan teknologi pencahayaan ditampilkan.

Kini, pengunjung tidak perlu membawa anak melancong hingga ke London untuk menonton teater, anda cuma perlu bercuti ke Ipoh sahaja.

Sekiranya anda peminat filem perlumbaan kereta seperti The Fast and the Furious yang menjadi kegilaan seluruh dunia, jangan lepaskan peluang berkunjung ke stadium dikenali Stunt Legends apabila pelumba kereta profesional menunjukkan pelbagai aksi lagak ngeri pemanduan.

Anda seolah-olah sedang menyaksikan pembikinan filem berkenaan di depan mata.

Aksi drift kereta di MAPS. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Aksi drift kereta di MAPS. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pasti sukar membayangkan pelumba tempatan mampu mengendalikan aksi kereta drift yang sering kita tonton menerusi filem lagak ngeri permotoran dari Barat, tetapi kali ini ia benar-benar berlaku di hadapan mata.

Pengunjung dilarang sama sekali meniru aksi pemanduan berbahaya itu kerana hanya pemandu profesional sahaja mampu melakukannya dengan selamat.

Info:

* RM60 harga promosi cuti hujung tahun bagi dewasa dan kanak-kanak (pas harian dibeli dalam talian)

* 6,000 pengunjung pada hujung minggu dan cuti umum

* 10 kilometer

jarak MAPS dari Bandaraya Ipoh

* 52 meter ketinggian tarikan baharu Drop Tower

Menerokai taman tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS), di Bandar Meru Raya, Ipoh. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Menerokai taman tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS), di Bandar Meru Raya, Ipoh. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

INFO

• MAPS terletak di Bandar Meru Raya di bahagian utara Ipoh, Perak

• Bandar Meru Raya dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)

• Bulatan Amanjaya di bandar baharu itu seluas 7.3 hektar adalah bulatan terbesar negeri Perak

• Kartunis Belgium, Pierre Culliford atau Peyo memperkenalkan The Smurfs ke seluruh dunia pada 1958

Berita Harian X