Jumaat, 9 September 2022 | 8:30am
Aziz menganggap filem XX Ray III cukup mengecewakannya apabila pembiaya menarik diri sehingga menjejaskan proses penerbitan dan berdepan pelbagai masalah. - NSTP/Aziah Azmee
Aziz menganggap filem XX Ray III cukup mengecewakannya apabila pembiaya menarik diri sehingga menjejaskan proses penerbitan dan berdepan pelbagai masalah. - NSTP/Aziah Azmee

Pembiaya tarik diri, filem terjejas

KUALA LUMPUR: Kali pertama berkongsi kisah, pengarah Aziz M Osman mengaku terpaksa menyiapkan filem XX Ray III yang ditayangkan pada 2019, dengan satu pertiga kos akibat pembiaya menarik diri.

Menceritakan pengalaman perit menghasilkan sekuel ketiga francais filem 'sci-fi' XX Ray itu, Aziz sepatutnya memperoleh bajet RM3 juta untuk menghasilkan XX Ray III.

"Saya ada pengalaman yang sangat buruk dengan filem XX Ray III.

"Orang kata, kalau tiada duit, janganlah buat filem dan kenapa saya buat XX Ray III 'hancur' sebegitu.

"Ini adalah eksklusif (berita dikongsi), saya tidak pernah cerita pada orang sebab bagi saya, tiada alasan yang boleh saya beri apabila mengeluarkan filem seburuk itu.

"Saya sebenarnya dijanjikan dana RM3 juta dan daripada jumlah itu, RM1 juta saya dapat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Baki RM2 juta lagi saya dapat daripada pembiaya dengan kontrak yang sudah ditandatangani.

"Malangnya, ketika pasca produksi, pembiaya tarik diri. Jadi, saya hanya guna dana RM1 juta untuk menyiapkan filem XX Ray III," katanya kepada BH Online.

Filem XX Ray III yang ditayangkan pada 24 Januari 2019, mengisahkan tiga anak muda iaitu Rayyan yang juga pelajar fizik, Sam (kejuruteraan zarah) dan Lana yang menjadi pekerja rahsia syarikat perindustrian berpangkalan di Jordan, menggerakkan misi menyelamatkan kerajaan Malaysia daripada disabotaj hartawan muda, Rosman.

Rosman digambarkan individu yang mengancam mengulangi insiden kehilangan kuasa tenaga elektrik di seluruh negara yang pernah berlaku pada Ogos 1996.

Insiden tersebut disebabkan 'lohong ulat' (wormhole) yang menyerap kuasa utama tenaga elektrik dari stesen jana kuasa di Paka, Terengganu. Lohong ulat berpunca daripada peralatan peninjau atau probe yang tidak dikenali dari angkasa lepas.

Bapa Rosman, Tan Sri Ismail mengambil probe terbabit dan menyembunyikannya. Hakikatnya, probe itu adalah salah satu daripada ribuan probe yang diprogramkan untuk membuka pagar bintang terbesar dan menyerap tenaga matahari untuk dihantar semula ke alam semesta lain.

Rayyan, Sam dan Lana kemudian mencari buku nota yang ditulis Profesor Amir yang dipercayai mempunyai jawapan untuk mengawal probe'dan seterusnya menyelamatkan sistem suria.

Aziz berkongsi pengalaman perit menghasilkan sekuel ketiga francais filem ‘sci-fi’ XX Ray yang sepatutnya memperoleh bajet RM3 juta untuk menghasilkan XX Ray III.
Aziz berkongsi pengalaman perit menghasilkan sekuel ketiga francais filem ‘sci-fi’ XX Ray yang sepatutnya memperoleh bajet RM3 juta untuk menghasilkan XX Ray III.

Aziz menganggap filem XX Ray III cukup mengecewakannya apabila pembiaya menarik diri sehingga menjejaskan proses penerbitan dan dia berdepan pelbagai masalah.

Tambahnya, sebagai pembikin filem, beliau perlu meneruskan kerja produksi filem berkenaan dengan dana yang ada dan menanggung segala kesannya.

"Macam mana pun saya kena siapkan filem itu dengan dana yang ada.

"Industri kita tidak seperti Hollywood. Contohnya, filem Bat Girl yang dilihat tidak bagus, lantas penerbit hentikan produksi.

"Tetapi saya tidak boleh berbuat demikian kerana wang itu diamanahkan untuk saya menyiapkannya.

"Jadi dengan nilai yang sepatutnya RM3 juta, saya terpaksa siapkan XX Ray III pada kos RM1 juta.

"Ini beri kesan kepada filem itu yang keluar jadi naskhah buruk. Saya kena pikul beban dan tidak boleh beri alasan," katanya yang membawa kru dan pelakon menjalani penggambaran di Jordan untuk filem berkenaan.

Serik dengan pengalaman itu, Aziz berpesan jika penerbit atau syarikat produksi tidak mempunyai dana mencukupi, usah berani menghasilkan filem.

"Saya puji Syamsul Yusof kerana menghasilkan filem dengan bajet RM8 juta kita dan kutipan lebih RM90 juta.

"Jika anda sebagai penerbit tiada duit untuk menghasilkan filem berkualiti, usah buat filem dan rosakkan industri kreatif," katanya.

Menyentuh segelintir penerbit yang tidak terbuka dengan kritikan terhadap filem dihasilkan, Aziz berkata, setiap pembikin filem tidak terkecuali daripada dikritik.

"Saya sudah berpuluh tahun dalam industri. Kritikan apa pun, kena telan. Kita tak boleh cakap yang pengkritik merosakkan filem.

"Bagi saya, tiada masalah kerana ini soal selera. Kalau dia tengok filem kita tidak bagus, dia kata tidak bagus, kita kena terima dan hadapi," katanya.

Aziz dilantik sebagai tenaga pengajar bersama pengarah, Heykal Hanafiah dan Ellie Suriaty, manakala Ketua Juri, Datuk Yusof Haslam.
Aziz dilantik sebagai tenaga pengajar bersama pengarah, Heykal Hanafiah dan Ellie Suriaty, manakala Ketua Juri, Datuk Yusof Haslam.

Aziz berkata, sejak mula aktif dalam bidang pengarahan, pelbagai kritikan diterimanya.

"Itu sebab orang kata, kalau tidak sanggup dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

"Sesebuah filem apabila ditayangkan akan dinilai orang ramai. Buruk atau baik, kita terpaksa terima.

"Saya fikir komen paling teruk dan membuatkan saya kemurungan sebulan adalah filem XX Ray III," katanya.

Tambah Aziz, kalau diikutkan hati, beliau mahu menayangkan XX Ray III selama sehari sahaja.

XX Ray III dibintangi Izzue Islam, Dazrin Kamaruddin, Adam John, Ardell Aryana, Ashraf Muslim, Saiful Apek, Nonny Nadirah dan Datuk Jalaluddin Hassan. I

Aziz ditemui pada sidang media program Fit For Action dan memperkenalkan 12 peserta di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam program realiti terbitan TV3 itu, Aziz dilantik sebagai tenaga pengajar bersama pengarah, Heykal Hanafiah dan Ellie Suriaty.

Fit For Action adalah program realiti berkonsepkan cabaran lakon layar dan fizikal bagi mencari pelakon lelaki dan wanita versatil tempatan.

Setiap peserta bukan sahaja dinilai melalui penghafalan skrip dan aura diri, sebaliknya perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat termasuk disiplin tinggi.

Program itu disiarkan setiap Sabtu jam 10 malam, Fit For Action juga distrim secara langsung di laman portal www.tonton.com.my.

Aziz pernah mengarah filem hebat seperti Leftenan Adnan, Puteri Impian, Baginda, Bintang Hati dan Fantasi ini.

Filem XX Ray III ditayang di pawagam tempatan pada 24 Januari 2019 dan dilapor dianggap kegagalan komersial apabila hanya meraih kutipan RM56,000.

Berita Harian X