MASJID TANAH: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menubuhkan Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Mengumumkannya, Menteri K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, majlis berkenaan dianggotai 20 penggiat seni dalam industri perfileman dan muzik.
Katanya, ia berfungsi memberikan pandangan kepada kerajaan dan pemain industri bagi membantu memajukan industri kreatif dari aspek sumbangan dalam ekonomi dan peluang pekerjaan, terutama kepada belia.
"Setakat ini, kementerian sudah mengenal pasti 20 penggiat seni, masing-masing 10 dalam industri perfileman dan 10 dalam muzik yang bakal ditawarkan menganggotai majlis berkenaan.
"K-KOMM mahu meningkatkan industri perfileman kerana filem kini mengalami lonjakan baharu. Contohnya, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mengutip hasil hampir RM100 juta.
"Jika ada filem berkualiti, ia mampu berkembang pesat. Ini kerana sebelum ini, orang takut untuk buat filem dan memajukan industri perfileman, jadi kita memerlukan tenaga pakar jadi penasihat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, di pekan Lubok Cina, dekat sini, hari ini.
Program berkenaan dihadiri kira-kira 1,000 anggota komuniti Lubok Cina yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara seperti pertandingan memasak, mewarna bagi kanak-kanak dan seumpamanya.
Yang turut hadir, Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum dan ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Annuar berkata, pelantikan Khaidhirah diyakini mampu membantu memandu arah industri perfileman dan muzik melalui dasar lebih proaktif, selain menarik lebih ramai golongan profesional terbabit dalam usaha memajukannya.
Bagaimanapun, katanya, pembentukan majlis berkenaan tidak bertindan dengan fungsi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sebaliknya melengkapi usaha FINAS membantu memajukan industri perfileman.
"FINAS jaga duit dan perlu diberikan nasihat. Kita mahu FINAS dibantu melalui majlis ini," katanya.
Khaidhiriah atau lebih dikenali dengan panggilan Dira, 38, juga adalah Timbalan Speaker DUN Melaka.
Beliau adalah anak bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin dan memiliki Ijazah Sarjana Dasar Awam dari Universiti Malaya serta berkecimpung dalam dunia seni sebelum mula aktif dalam arena politik pada 2015.