Isnin, 29 Ogos 2022 | 1:00pm
Suhaiza gembira dengan kemenangan filem arahannya dan memberi dedikasi kepada semua penerbit serta pengarah tempatan atas pencapaian Eva. Foto Ihsan D Alpha Legacy Sdn Bhd
Suhaiza gembira dengan kemenangan filem arahannya dan memberi dedikasi kepada semua penerbit serta pengarah tempatan atas pencapaian Eva. Foto Ihsan D Alpha Legacy Sdn Bhd
Eva terpilih sebagai pemenang filem kategori thriller dan suspense bagi Julai, bersaing dengan dua filem iaitu Deadline yang dihasilkan sutradara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan filem Ivy oleh pengarah Jerman. Foto Ihsan D Alpha Legacy Sdn Bhd
Eva terpilih sebagai pemenang filem kategori thriller dan suspense bagi Julai, bersaing dengan dua filem iaitu Deadline yang dihasilkan sutradara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan filem Ivy oleh pengarah Jerman. Foto Ihsan D Alpha Legacy Sdn Bhd

Eva bersaing di Festival Filem Cannes 2023

KUALA LUMPUR: Ketika masih menunggu tarikh wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk dipertontonkan di pawagam tempatan, filem Eva arahan Suhaiza Aziz 'terbang' tinggi apabila menarik perhatian juri pertandingan bulanan anjuran Festival Filem Cannes, baru-baru ini.

Eva terpilih sebagai pemenang filem kategori 'thriller' dan 'suspense' bagi Julai, bersaing dengan dua filem iaitu Deadline yang dihasilkan sutradara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan filem Ivy oleh pengarah Jerman

Eva akan ditayangkan pada Festival Filem Cannes 2023 dan dicalonkan merebut anugerah Filem Terbaik bagi kategori thriller dan suspense. Foto Ihsan D Alpha Legacy Sdn Bhd
Eva akan ditayangkan pada Festival Filem Cannes 2023 dan dicalonkan merebut anugerah Filem Terbaik bagi kategori thriller dan suspense. Foto Ihsan D Alpha Legacy Sdn Bhd

Lebih membanggakan, dengan kemenangan itu, Eva akan ditayangkan pada Festival Filem Cannes 2023 dan dicalonkan merebut anugerah Filem Terbaik bagi kategori 'thriller' dan 'suspense'.

Suhaiza gembira dengan kemenangan filem arahannya itu dan memberi dedikasi kepada semua penerbit serta pengarah filem tanah air atas pencapaian Eva.

"Saya tidak sangka Eva akan menang. Filem ini mendapat saingan bukan calang-calang daripada filem terbitan UAE dan Jerman.

"Apabila tiba-tiba penerbit Diyana Ismail tunjuk poster bahawa Eva tercalon, kami semua terkejut.

"Tidak sangka kami boleh 'terbang' sejauh ini. Tambahan lagi, ini adalah karya pertama saya sebagai pengarah. Walaupun baru tercalon, apabila nampak nama Malaysia, bangganya rasanya," katanya.

Eva yang diterbitkan D Alpha Legacy Sdn Bhd (M) membariskan pelakon utama iaitu Nadia Aqila, Nadia Brian dan Shamsul Danish.

Filem ini mengisahkan Eva, Amy dan Mike sebagai individu sama, tetapi terperangkap dalam satu tubuh. Eva, sebagai pemilik tubuh, terpaksa berhadapan perubahan berbeza-beza akibat trauma yang dialami sejak kanak-kanak.

Eva memiliki seorang anak lelaki yang cuba memahami keadaan dirinya dan kakak, Elly yang sentiasa berada di sisi.

Dalam kekeliruan dirinya itu, Eva berjaya menjadi peguam. Bagaimanapun, pencapaian itu tidak merubah dirinya menjadi manusia normal.

Personaliti dirinya terus bertukar-tukar menjadi Amy, iaitu seorang pakar forensik dan Mike sebagai pembunuh.

Suhaiza menjadikan filem Jerman sebagai rujukan, selain meneliti pembikinan filem dari Itali dan Sepanyol. Tidak ketinggalan, Suhaiza menonton filem Tamil untuk mendapatkan kesan visual yang baik.

"Saya jadikan kejayaan filem lain sebagai panduan. Saya sedar perlu banyak belajar daripada mereka yang berpengalaman kerana saya bukan pelajar jurusan filem.

"Saya hadir dalam industri ini kerana minat," katanya.

Suhaiza berkata, pada awalnya, dia bimbang tidak mampu mengarahkan Eva kerana pembawaan filem itu sangat berat, biarpun genre thriller sesuai dengan jiwanya.

"Namun, dengan sokongan padu daripada mereka yang terbabit dalam penggambaran filem ini, daripada produser sehingga kru dan pelakon, saya yakin melaksanakan tanggungjawab itu.

"Saya terima tawaran mengarahkan filem ini kerana selain suka dengan genre begini, Eva membawa mesej lebih daripada hiburan.

"Eva adalah filem yang mendasari masalah kesihatan mental, betapa pentingnya mengasihi, memberi peluang dan kehidupan yang baik kepada anak yang lahir daripada hubungan terlarang," katanya.

Bercerita cabaran sepanjang penggambaran, Suhaiza berkata, mereka menghadapi kekangan kewangan.

"Kalau bajetnya lebih besar, penggambaran boleh dilakukan lama sedikit dan hasilnya mungkin lebih baik. Tetapi, kami faham keadaan produser dan tetap berusaha memberikan yang terbaik.

"Semua yang terbabit memberikan sepenuh jiwa mereka dalam penghasilan karya ini. Kru belakang tabir dan artis sangat 'memberi' dalam filem ini," katanya sambil menambah kerja penggambaran hanya mengambil masa 15 hari di lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Suhaiza berkata, kejayaan sebagai pemenang bulanan Festival Filem Cannes bukan sahaja menjadi pemangkin menghasilkan karya yang baik, malah menjadi titik permulaan mendalami ilmu pengarahan.

"Saya faham dan sedar menang atau kalah adalah adat pertandingan.

"Namun, saya akan terus menghasilkan karya berkualiti jika diberikan peluang dengan memastikan apa juga kekurangan dalam pengarahan untuk diperbaiki.

"Harapan saya, pengarah muda terutama wanita dapat melihat perjalanan Eva sebagai sumber inspirasi.

"Kepada industri perfileman tanah air, beri peluang pengarah muda menggilap bakat dan kreativiti," katanya yang mahu mengarahkan filem aksi selepas ini.

Suhaiza mohon doa agar filem Eva berjaya pada Festival Filem Cannes 2023.

Selain itu, Suhaiza merakamkan penghargaan kepada FINAS kerana memberi sokongan dan dana bagi filem terbabit.

Filem Eva turut menampilkan menampilkan Datuk Jalaludin Hassan, Tony Eusoff, Hasnol Rahmat, Sheera Iskandar, Jay Iswazir, Azrel Ismail, Zain Ruffedge, Isma Daniel, Aleeza Kassim, Marissa Yasmin, Gya Natasya, Shazia Ruzaini, Mimi Ernida, Norman Hakim dan Fatimah Azzahra.

Suhaiza adalah graduan perniagaan dan perakaunan dan menjadi penolong pengarah selama 15 tahun.

Berita Harian X