Jumaat, 26 Ogos 2022 | 2:40pm
Suhaiza (kanan) bersama teraju utama, Nadia Aqilah di lokasi penggambaran filem Eva.
Suhaiza (kanan) bersama teraju utama, Nadia Aqilah di lokasi penggambaran filem Eva.

Eva menang kategori thriller, suspen di Festival Filem Cannes

KUALA LUMPUR: Filem Eva arahan Suhaiza Aziz dipilih pemenang bulanan bagi kategori thriller dan suspen di Festival Filem Cannes, bulan lalu.

Eva bersaing dengan dua filem lain iaitu Deadline dari Emiriah Arab Bersatu dan Ivy (Jerman)

Dengan kemenangan itu, Eva bakal ditayangkan dalam Festival Filem Cannes 2023 yang dijangka berlangsung awal, tahun depan, sekali gus membolosi pencalonan merebut trofi Filem Terbaik bagi kategori thriller dan suspen.

Pengarahnya, Suhaiza berkata, kemenangan menjadi pemangkin menghasilkan karya lebih baik pada masa depan, malah titik permulaan mendalami ilmu pengarahan.

"Saya mendedikasikan kejayaan kepada semua penerbit dan pengarah filem tempatan.

"Saya tidak menyangka filem Eva akan menang. Ini disebabkan kami berdepan persaingan filem bukan calang-calang.

"Saya terkejut ketika penerbit, Diyana Ismail menunjukkan poster filem Eva dicalonkan. Siapa sangka kami boleh terbang sejauh ini.

"Lebih membuatkan terharu filem Eva adalah karya pertama saya sebagai pengarah. Walaupun baru tercalon, tetapi bila nampak nama Malaysia tentulah saya bangga," katanya kepada BH Online.

Filem Eva arahan Suhaiza dipilih pemenang bulanan bagi kategori thriller dan suspen di Festival Filem Cannes, bulan lalu.
Filem Eva arahan Suhaiza dipilih pemenang bulanan bagi kategori thriller dan suspen di Festival Filem Cannes, bulan lalu.

Eva terbitan D Alpha Legacy Sdn Bhd dibintangi Nadia Aqilah, Nadia Brian, Shamsul Danish, Datuk Jalaluddin Hassan, Tony Eusoff, Hasnol Rahmat, Sheera Iskandar, Jay Iswazir, Azrel Ismail, Zain Ruffedge, Isma Daniel, Aleeza Kassim, Marissa Yasmin, Gya Natasya, Shazia Ruzaini, Mimi Ernida, Norman Hakim dan Fatimah Azzahra.

Filem Eva selesai menjalani penggambaran pada Februari lalu dan kini, sedang menunggu tarikh wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tayangan seluruh negara.

Kongsi Suhaiza, dia menjadikan filem dari Jerman sebagai rujukan di samping meneliti pembikinan filem dari Itali, Sepanyol dan turut menonton filem Tamil bagi mendapatkan kesan visual bagus.

"Saya menjadikan kejayaan filem lain sebagai panduan. Ini kerana saya sedar perlu banyak belajar daripada pembikin filem berpengalaman.

"Saya bukanlah pelajar jurusan filem. Saya mencabar diri untuk menghasilkan filem disebabkan minat," katanya yang juga bekas graduan perniagaan dan perakaunan, namun, mempunyai pengalaman sebagai penolong pengarah selama 15 tahun.

Antara pelakon filem Eva yang selesai menjalani penggambaran pada Februari lalu.
Antara pelakon filem Eva yang selesai menjalani penggambaran pada Februari lalu.

Katanya, dia bimbang tidak mampu mengarahkan filem Eva kerana pembawaan filem sangat berat walaupun genre triller sesuai dengan jiwanya.

"Namun, atas sokongan padu daripada penerbit dan pasukan produksi ketika penggambaran, barulah keyakinan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

"Saya terima tawaran mengarahkan filem Eva kerana suka dengan genre mencabar. Eva membawa mesej lebih daripada sekadar hiburan.

"Filem Eva mendasari masalah kesihatan mental, jadi betapa pentingnya mengasihi, memberi peluang dan kehidupan yang baik kepada anak-anak yang lahir daripada hubungan terlarang," katanya.

Bercerita cabaran sepanjang penggambaran, Suhaiza berkata, pasukan produksi menghadapi kekangan kewangan.

"Barangkali, penggambaran boleh dilakukan lama dan hasilnya mungkin lebih baik jika bajet lebih besar. Namun, saya faham keadaan produser dan tetap berusaha memberikan sebaik mungkin," katanya.

Filem Eva menjalani penggambaran selama 15 hari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Berita Harian X