Jumaat, 19 Ogos 2022 | 11:00am
Sean menganggap peluang diperoleh sebagai batu loncatan buatnya melebarkan sayap seni ke peringkat antarabangsa. - Foto IG Sean Lee
Sean menganggap peluang diperoleh sebagai batu loncatan buatnya melebarkan sayap seni ke peringkat antarabangsa. - Foto IG Sean Lee

Sean Lee pinjam suara dalam filem animasi antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Sean Lee, 28, berkongsi pengalaman tidak ternilai apabila dipilih terbabit dalam produksi filem animasi antarabangsa, DC-League of Super Pets.

Sean menganggap tawaran meminjamkan suara bagi watak anjing, Waffle dalam filem terbitan Warner Animation Group dan DC Entertainment, Mac lalu, sebagai peluang luar biasa buatnya.

"Peluang ini sangat tidak disangka apabila dapat meminjamkan suara untuk watak dalam filem antarabangsa yang ditayangkan di pawagam tempatan.

"Terus terang saya cakap, ini adalah langkah besar buat saya biarpun versi membabitkan saya hanya ditonton di Malaysia.

"Namun, kiranya, saya dapat meminjamkan suara dengan pelakon ternama seperti The Rock dan Kevin Hart.

"Walaupun saya tidak dapat bertemu mereka, saya harap dengan pengalaman ini, ia dapat membuka lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan Warner Bros Malaysia," katanya.

Antara bintang Hollywood yang turut meminjamkan suara mereka untuk karya asal filem ini adalah Dwayne Johnson dan Keanu Reeves.

Filem animasi komedi itu mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 28 Julai lalu.

Sean Lee teruja meminjamkan suara untuk watak Waffles dalam filem animasi DC-League of Super Pets. - Foto IG Sean Lee
Sean Lee teruja meminjamkan suara untuk watak Waffles dalam filem animasi DC-League of Super Pets. - Foto IG Sean Lee

Sean yang juga pengacara program Mbuzz menganggap peluang itu sebagai batu loncatan buatnya melebarkan sayap seni ke peringkat antarabangsa.

"Saya ada perancangan terbabit dalam kerja penerbitan dan pengarahan. Saya harap dapat buat projek bersama Warner Bros Malaysia atau syarikat antarabangsa lain, baik sebagai pelakon atau pengarah.

"Saya fikir kalau dipupuk dan dikekalkan hubungan baik, ia boleh membuka lebih banyak peluang. Tetapi kita kena ada idea, kalau tiada idea, tidak guna biarpun peluang sudah ada.

"Ini yang sedang saya usahakan. Sebab itulah saya tidak terlalu aktif dalam media sosial atau menjayakan drama tanpa henti macam dahulu.

"Sekarang saya cuba membahagikan masa dengan perkara lain," katanya pada sidang media drama terbaru, Cinta Buat Dara yang akan disiarkan slot Lestary TV3 mulai Rabu depan.

Drama romantik komedi terbitan Orangtree Production itu turut dibintangi oleh Syafiq Kyle dan Riena Diana.

Berita Harian X