Isnin, 25 Julai 2022 | 10:31am
Syamsul menangis tanda kesyukuran dan terharu sokongan penonton terhadap karya epik pertama arahannya apabila berjaya mencecah RM90 juta. - Foto IG Syamsul Yusof
Syamsul menangis tanda kesyukuran dan terharu sokongan penonton terhadap karya epik pertama arahannya apabila berjaya mencecah RM90 juta. - Foto IG Syamsul Yusof

33 hari Mat Kilau cecah RM90 juta

KUALA LUMPUR: Filem epik mega, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang mencetuskan fenomena terus melonjak apabila jualan tiket meraih RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Berkongsi data terbaru jualan tiket, pengarah, Syamsul Yusof berkata, filem Mat Kilau menjadi filem pecah panggung dengan kutipan tertinggi bagi kategori tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 dan Avengers: End Game.

Anak kepada pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam itu juga menangis tanda kesyukuran.

"Semua berlaku dengan izin Allah SWT. Air mata syukur... tiada kata melainkan Alhamdulillah.

"Saya dan seluruh produksi amat terharu dengan pencapaian terkini. Mengejutkan juga karya ini terus menjadi filem nombor satu dalam carta 'box office' mingguan untuk lima minggu berturut-turut mengenepikan filem besar Hollywood," katanya kepada BH Online.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga berterima kasih kepada penonton yang masih memberi kepercayaan pada karya kali ini dan semua filem arahannya.

"Sejak filem pertama sehingga sekarang, sokongan penonton tidak berbelah-bahagia. Insya-Allah, moga saya terus diberi ilham untuk pengarahan filem akan datang.

"Sudah terbukti beberapa kali, jadi karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri.

"Ini harapan baru sinema tempatan dan buat semua anak seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, kita bersatu demi sama-sama memajukan industri seni Malaysia," katanya.

Filem lakonan Adi sebagai watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu terus menjadi pilihan ramai, malah, jadual tontonan di setiap pawagam masih penuh. - Foto IG Syamsul Yusof
Filem lakonan Adi sebagai watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu terus menjadi pilihan ramai, malah, jadual tontonan di setiap pawagam masih penuh. - Foto IG Syamsul Yusof

Sejak ditayangkan 23 Jun lalu, filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd diterajui Datuk Adi Putra yang menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau ini terus menjadi pilihan ramai.

Malah, jadual tontonan di setiap pawagam masih penuh.

"Kebiasaannya pawagam akan tayang sesebuah filem selagi ada penonton. Lazimnya, tayangan filem di pawagam akan berkurangan. Cuma, setakat ini, tayangan filem Mat Kilau masih ada lebih lima slot masa di setiap pawagam.

"Ada filem yang mendapat sambutan hebat ditayangkan sampai dua bulan," katanya.

Selain Adi, filem Mat Kilau turut dibintangi Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As'ari (Yassin).

Tidak ketinggalan, Datuk Rahim Razali, Nam Ron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Berita Harian X