KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berpuas hati dengan mutu grafik filem animasi Ejen Ali The Movie yang akan ditayangkan serentak di pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei, mulai 28 November ini.
Izham berharap sasaran pungutan sekurang-kurangnya RM20 juta mampu dicapai dengan hasil kerja yang memberangsangkan pasukan kreatif daripada Wau Animations itu.
Sehubungan itu, Izham yakin Ejen Ali The Movie yang membabitkan kos RM6.5 juta mempunyai kekuatan tersendiri biarpun berdepan saingan filem antarabangsa.
"Saya berbangga dengan hasil kerja individu di belakang tabir filem ini kerana berjaya menghasilkan grafik bermutu tinggi. Rata-rata mereka yang menghasilkan filem animasi ini dalam lingkungan usia 25 sehingga 28 tahun.
"Saya teruja kerana ramai hadir pada majlis pratonton ini walaupun ada perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di mana Malaysia menentang Indonesia, malam ini. Penonton nampaknya tidak berganjak sebagai tanda sokongan mereka terhadap filem ini.
"Biarpun bakal bersaing dengan filem animasi asing, saya yakin Ejen Ali The Movie mempunyai kekuatannya sendiri. Saya berharap sasaran kutipan RM20 juta mampu dicapai,” katanya kepada BH Online di sini, malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin yang juga pencipta watak animasi Ejen Ali itu turut hadir pada malam pratonton filem itu.
Filem animasi berdurasi 97 minit itu menjadikan single Bukalah Matamu nyanyian Aisyah Aziz dan Bunga yang dilancarkan pada 20 September lalu, sebagai runut bunyi. Lagu ciptaan Altimet, Cuurley dan Malik Abdullah berjudul Kita Jaga Kita juga digunakan dalam filem berkenaan.
Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu adalah kerjasama dengan penaja utama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta penaja bersama, Mydin dan Pediasure.
Ejen Ali The Movie berkisar kanak-kanak berusia 12 tahun dikenali sebagai Ali. Dia dipilih menjadi penyiasat sebuah agensi perisikan, Meta Advance Tactical Agency (MATA).
Konflik timbul apabila Ali mendapat tahu bukan dia sahaja yang mengawal gajet istimewa dikenali sebagai Infinity Retinal Intelligence System atau IRIS.