KUALA LUMPUR: Selepas enam bulan kehilangan arwah bapa akibat serangan jantung, pelakon Sherie Merlis, 51, diuji dengan pemergian arwah ibu yang sudah lama terlantar akibat penyakit Alzheimer pada 2021.
Kehilangan ibu bapa dalam tempoh kurang setahun cukup memeritkan buat pelakon drama terbaharu, Nenek Bongkok Tiga ini.
Sherie berkata, dia hampir rebah apabila kehilangan orang tuanya.
Katanya, dia bekerja bagi keperluan dan perubatan, namun kini kedua-duanya pergi menghadap Ilahi.
"Ia cabaran besar apabila kehilangan orang tua ketika saya sedang sibuk bekerja.
"Selama ini, saya bekerja untuk menyara orang tua. Saya menyediakan keperluan memandangkan ibu sudah lama terlantar akibat penyakit Alzheimer.
"Jadi, saya hilang semangat apabila kedua-duanya pergi dalam tempoh yang dekat. Bagaimanapun, hidup perlu diteruskan," katanya yang membawakan watak nenek dalam drama Nenek Bongkok Tiga yang disiarkan di platform Viu, setiap Khamis.
Sherie berkata, kewujudan platform Over The Top (OTT) memberinya peluang untuk mencuba watak berbeza.
"Platform OTT memberi peluang kepada pelakon meneroka pelbagai karakter.
"Selama 30 tahun dalam industri, saya sentiasa ingin mencuba watak di luar imaginasi. Sebab itulah, saya sanggup menolak dua tawaran yang datang serentak dengan drama ini.
"Watak nenek dalam drama Nenek Bongkok Tiga sangat menarik kerana ada kelainan daripada watak pernah dibawakan sebelum ini," katanya kepada BH Online.
Mengulas pembabitan bekas suaminya, Esma Daniel dalam produksi sama, Sherie menjelaskan, dia tidak mempunyai babak bersama Esma, namun dia profesional dan tiada masalah bekerjasama.
"Kami tiada adegan bersama, tetapi sempat juga berjumpa di lokasi. Esma memulakan langkah menegur, agak terkejut juga apabila dia menegur.
"Saya dan Esma tiada masalah pun sebelum ini. Sekiranya ditawarkan berlakon bersama, saya tiada masalah kerana kami bersikap profesional," katanya.