Ahad, 29 Januari 2023 | 11:48pm
Empat pasangan adik-beradik dan sepupu berjaya melangkah ke peringkat akhir Famili Duo musim kedua, Ahad depan. - NSTP/Hairul Anuar Abdul Rahim
Empat pasangan adik-beradik dan sepupu berjaya melangkah ke peringkat akhir Famili Duo musim kedua, Ahad depan. - NSTP/Hairul Anuar Abdul Rahim

4 pasangan berentap Famili Duo peringkat akhir

SHAH ALAM: Empat pasangan berjaya melangkah ke peringkat akhir Famili Duo musim kedua membabitkan Ayda Jebat dan adiknya, Fyna Jebat, Zaki Yamani dan Yamani Abdillah (adik-beradik), Sissy Imann dan Naim Daniel (sepupu) serta Bella Astillah dan Wanie Kayrie (sepupu).

Mereka terpilih selepas meraih markah tinggi sebaik sahaja tamat saingan konsert separuh akhir bertemakan Legenda/Idola yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam tadi.

Ayda dan Fyna mendahului dengan 435.9 markah, manakala Zaki dan Yamani di kedudukan kedua (404.2 markah), tempat ketiga dan keempat masing-masing menjadi milik Sissy dan Naim (377.3 markah) dan Bella dan Wani (369.9 markah).

Tiga pasangan dengan jumlah markah terendah pula adalah pasangan sepupu, Shaffiq Erwin dan Ara Johari (366.3 markah), pasangan adik-beradik, Sabhi Sadhi dan Fareedpf K-Clique (362.2 markah) dan satu lagi pasangan adik-beradik, Siti Sairah dan Siti Saidah (356.3 markah).

Ia sekali gus menyaksikan ketiga-tiga pasangan itu terpaksa melupakan hasrat untuk mara ke peringkat akhir.

 Ayda dan Fyna membawa lagu Rolling In The Deep diumumkan juara mingguan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, namun berkongsi kemenangan bersama Sabhi dan Fareedpf serta Sissy dan Naim. - NSTP/Hairul Anuar Abdul Rahim
Ayda dan Fyna membawa lagu Rolling In The Deep diumumkan juara mingguan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, namun berkongsi kemenangan bersama Sabhi dan Fareedpf serta Sissy dan Naim. - NSTP/Hairul Anuar Abdul Rahim

Sementara itu, Ayda dan Fyna yang membawa lagu Rolling In The Deep diumumkan juara mingguan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Bagaimanapun, mereka mengambil keputusan berkongsi kemenangan bersama Sabhi dan Fareedpf serta Sissy dan Naim.

Konsert Famili Duo peringkat akhir akan bersiaran secara langsung di TV3 pada Ahad depan, jam 9 malam dengan menawarkan hadiah utama bernilai RM100,000.

Musim baharu Famili Duo dibawakan khas penaja bersama iaitu Good Virtues Co dan Polident.

Program realiti itu dikendalikan Janna Nick dan Sean Lee selaku hos.

Berita Harian X