SHAH ALAM: Juri tetap program Famili Duo, Mas Idayu menjelaskan tidak takut dicerca atau dihina apabila 'membentak' peserta dalam program realiti berkenaan.
Sebaliknya, ujar penyanyi berusia 51 tahun itu, apa yang lebih ditakutkan apabila tidak lagi mahu menegur.
"Saya sebenarnya tidak kisah dicerca. Biarlah dihina, saya tak takut 'membentak' peserta di pentas.
"Apa yang saya takutkan apabila tidak mahu lagi menegur," katanya selepas diminta pasangan adik-beradik, Ayda Jebat dan Fyna Jebat memberikan komen atas persembahan, malam ini.
Terdahulu, pada mulanya, Mas Idayu seakan 'merajuk' apabila enggan memberikan komen selepas persembahan pembukaan pasangan adik-beradik, Siti Saidah dan Siti Sairah.
Bagaimanapun, Mas Idayu atau lebih mesra dengan panggilan Mummy tetap menjalankan tugas dengan memberikan markah kepada peserta.
Komen hanya dibuat seorang lagi juri tetap, Ajai selepas tamat persembahan pembukaan Siti Sairah dan Siti Saidah yang menyanyikan medley Apokalips dan Mentera Semerah Padi nyanyian asal, Datuk M Nasir.
"Mummy tidak akan komen apa-apa kerana takut komennya disalah anggap.
"Walaupun pengacara meminta Mummy memberikan komen, tetapi saya hormati keputusannya," demikian kata Ajai dalam program siaran langsung di TV3 itu.
Bagaimanapun, Mas Idayu dilihat terbuka memberi komen semula selepas rata-rata peserta memujuknya.