Sabtu, 21 Januari 2023 | 3:00pm
Ryan percaya rezeki dan kejayaan akan datang pada masa tepat ketika seseorang sudah bersedia secukupnya.
Ryan percaya rezeki dan kejayaan akan datang pada masa tepat ketika seseorang sudah bersedia secukupnya.

Nama Ryan sukar meletup?

KUALA LUMPUR: Selama 13 tahun mencuba nasib dalam bidang nyanyian, penyanyi, Ryan Deedat, 30, akur namanya masih belum cukup kuat bersaing dengan penyanyi popular.

Bagaimanapun, Ryan atau nama sebenarnya, Sheikh Eamir Deedat tidak mahu menjadikannya alasan untuk tidak mencuba sehabis baik.

Malah, penyanyi lagu Salimah itu nekad muncul dengan sekurang-kurangnya satu single 'hit', tahun ini.

"Kerjaya nyanyian saya tidak serancak rakan lain. Jadi, saya mahu berikan fokus sepenuhnya dalam bidang nyanyian.

"Saya menyasarkan mempunyai satu lagu hit, tahun ini. Saya akan terus mencuba dan memberikan karya terbaik kerana nyanyian adalah minat saya.

"Walaupun nama masih tidak 'meletup' seperti penyanyi lain, tetapi saya antara penyanyi bersih daripada isu dan kontroversi.

"Akan tetapi, apabila nama terlalu bersih juga ada kekurangan. Sebagai contoh, nama saya akan lambat dikenali sebab kurang cerita kontroversi," katanya kepada BH Online.

Ryan (tengah) bersama Pengarah Urusan JV Craft & Gifts, Janice Mok (kiri) dan Pengarah JV Craft & Gifts, Alvin Goh (kanan) pada majlis menandatangani perjanjian sebagai duta syarikat.
Ryan (tengah) bersama Pengarah Urusan JV Craft & Gifts, Janice Mok (kiri) dan Pengarah JV Craft & Gifts, Alvin Goh (kanan) pada majlis menandatangani perjanjian sebagai duta syarikat.

Ryan berkata, dia percaya rezeki dan kejayaan akan datang pada masa yang tepat iaitu pada saat seseorang sudah bersedia secukupnya.

"Saya tidak kisah jika rezeki datang cepat atau lambat. Ini kerana saya percaya akan sampai kepada seseorang pada waktu yang tepat.

"Kalau lihat sekarang ini tiba-tiba sahaja ada rezeki yang diberikan. Saya dilamar menjadi duta bagi syarikat barangan perkahwinan dan ia adalah permulaan baik pada 2023.

"Mungkin jika berlaku lima tahun lalu mungkin saya tidak boleh fokus. Ketika itu, ibu saya sedang sakit.

"Jadi, rezeki ini diberikan mungkin inilah waktu yang sesuai.

"Masanya akan tiba, cuma saya perlu berusaha, berdisiplin dan hasilkan karya lebih berkualiti," katanya.

Ryan secara rasmi menandatangani perjanjian menjadi duta bagi syarikat barangan perkahwinan, JV Crafts & Gifts, semalam.

Antara perkembangan lain, Ryan bersama pasukan JV Crafts & Gifts baru sahaja selesai merakamkan lagu dan video muzik berjudul Hantaran Raya sempena Aidilfitri.

Berita Harian X