LOS ANGELES: Selain Tan Sri Michelle Yeoh, seorang lagi pelakon keturunan Asia diiktiraf Anugerah Golden Globe yang disiarkan secara langsung dari bandaraya ini, hari ini.
Pada acara itu, pelakon kelahiran Vietnam, Ke Huy Quan memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik Filem Muzikal/Komedi menerusi filem Everything Everywhere All at Once, iaitu naskhah sama menyaksikan Yeoh merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi.
Ke Huy menewaskan Brendan Gleeson yang membintangi The Banshees of Inisherin); Barry Keoghan (The Banshees of Inisherin); Brad Pitt (Babylon) dan Eddie Redmayne (The Good Nurse).
Kejayaan itu cukup manis buat Ke Huy yang kali pertama beraksi di layar perak melalui filem Indiana Jones and Temple of the Doom yang dibintangi ketika berusia 12 tahun pada 1983.
Ke Huy Quan gets emotional as he accepts his #GoldenGlobe. https://t.co/IpBnF0ZqEp pic.twitter.com/i1dj81Ns6c
— Variety (@Variety) January 11, 2023
Sementara itu, aktor berasal dari Ireland, Colin Farrel meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem Muzikal/Komedi melalui filem The Banshees of Inisherin.
Farrel menewaskan empat pencabar lain iaitu Diego Calva yang membintangi filem Babylon; Daniel Craig (Glass Onion: A Knives Out Mystery) Adam Driver (White Noise) dan Ralph Fiennes (The Menu).
Pada acara itu, bintang filem Elvis, Austin Butler diumum Pelakon Lelaki Terbaik dalam Filem Cereka/Drama.
Aktres kelahiran Australia, Cate Blanchett terus cemerlang apabila merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Filem Cereka/Drama melalui lakonan sebagai konduktor muzik dalam filem Tar.
Bagi Filem Terbaik Drama dimenangi The Fabelmans terbitan Universal Pictures dengan mengenepikan cabaran Avatar: The Way of Water; Elvis; Tar dan Top Gun: Maverick (Paramount Pictures).
Trofi Filem Terbaik Muzikal/Komedi pula menjadi milik The Banshees of Inisherin terbitan Searchlight Pictures yang menewaskan filem Babylon; Everything Everywhere All at Once; Glass Onion: A Knives Out Mystery dan Triangle of Sadness.
Pengarah filem The Fabelmans, Steven Spielberg mengungguli kategori Pengarah Terbaik selepas berjaya menewaskan pencabar lain seperti James Cameron yang menghasilkan Avatar: The Way of Water.
An amazing moment for Steven Spielberg! Congratulations on your WIN for Best Director - Motion Picture for the film @thefabelmans!
Tune in to the #GoldenGlobes LIVE on NBC and Peacock! pic.twitter.com/M7xT6HkDdw— Golden Globe Awards (@goldenglobes) January 11, 2023
Spielberg juga mengalahkan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert (Everything Everywhere All at Once); Baz Luhrmann (Elvis) dan Martin McDonagh (The Banshees of Inisherin).
Mempertaruhkan 27 kategori, calon bagi edisi kali ini diundi 96 ahli Hollywood Foreign Press Association (HFPA) dan untuk kali pertama, membabitkan 103 pemilih antarabangsa.
Kumpulan pengundi baharu ini dipilih dalam kalangan ahli pertubuhan antarabangsa dan festival filem termasuk pengamal media yang mewakili 62 negara di seluruh dunia.
Anugerah Golden Globe mula dianjurkan pada 1944 bagi mengiktiraf usaha pembikin filem Hollywood dan antarabangsa dengan disusuli Anugerah Akademi (Oscar) yang dilihat sebagai kemuncak pencapaian penggiat industri filem dunia, setiap tahun.