KUALA LUMPUR: Persatuan Pemamer Malaysia (MAFE) yang dianggotai pengendali pawagam di seluruh negara menafikan dakwaan meminggirkan filem tempatan dalam agihan slot tayangan apabila munculnya filem luar negara atau Hollywood di pasaran.
Sehubungan itu, Bendahari MAFE, Dr Sai Suthan menolak dakwaan bilangan waktu tayangan filem animasi tempatan, Mechamato Movie di pawagam dikurangkan selepas kemasukan filem Hollywood, Avatar: The Way of Water.
Sai berkata, MAFE bersama pengendali pawagam sentiasa menyokong dan mencuba kaedah terbaik bagi membantu meningkatkan taraf filem tempatan.
"Kami tidak pernah menganaktirikan filem tempatan. Malah, kami sentiasa memberi sokongan.
"Filem kita kebanyakannya mempunyai potensi besar. Jadi, isu meminggirkan atau menganaktirikan filem tempatan tidak timbul.
"Kami dan pengendali pawagam sentiasa mencuba yang terbaik dalam membantu meningkatkan tahap filem tempatan," katanya kepada BH Online.
Mengulas isu pengurangan waktu tayangan Mechamato, baru-baru ini, Sai menjelaskan, perkara itu disebabkan pawagam perlu mengikut jadual tayangan yang sudah ditetapkan.
"Tayangan filem ini ada jadual yang ditetapkan di mana pawagam perlu mengikutnya. Selain itu, keutamaan juga diberi kepada filem baharu yang masuk.
"Bagaimanapun, faktor utama yang mempengaruhi waktu tayangan adalah prestasi dan sambutan penonton.
"Jika dilihat, graf Mechamato sentiasa meningkat dan disebabkan itu, filem ini masih ditayangkan hingga kini," katanya.
Sai berkata, sejak minggu pertama Mechamato Movie ditayangkan, MAFE memberi sokongan 100 peratus biarpun ada pelbagai kemasukan filem luar dalam tempoh sama.
"Kami tetap menambah jumlah tayangan Mechamato terutama pada waktu puncak. Ini kerana Mechamato Movie mendapat permintaan yang sangat tinggi.
"Bilangan waktu tayangan ini sebenarnya berpandukan kepada prestasi dan sambutan sesuatu filem.
"Sekiranya filem itu bagus dan menerima permintaan tinggi, kami akan menambah waktu tayangan dan perkara ini terjadi kepada Mechamato Movie. Jadi, MAFE dan pihak pawagam memberi sokongan penuh terhadap filem tempatan.
"Mechamato Movie bagaikan menutup 2022 dengan koleksi filem tempatan yang sangat membanggakan dan kami sangat gembira," katanya.
Ditanya mengenai lanjutan tayangan filem berkenaan, Sai berkata, perkara itu bergantung kepada sambutan dan momentum filem berkenaan.
"Kalau sambutannya kekal positif sudah tentu tayangan diteruskan. Tetapi ini bergantung kepada pengedar kerana ada perjanjian tersendiri (yang perlu dipatuhi).
"Selagi ada sambutan hangat, pengendali pawagam pasti akan teruskan tayangan," katanya.
Memasuki minggu ketiga tayangan di 150 pawagam seluruh negara, filem animasi terbitan syarikat tempatan, Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta) itu sudah meraih kutipan RM27 juta.