KUALA LUMPUR: Memasuki minggu kedua tayangan dengan jumlah kutipan lebih RM18 juta, filem animasi Mechamato terbitan syarikat tempatan, Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta), menerima tamparan hebat apabila tidak lagi mendapat slot tayangan di pawagam pada waktu kemuncak sebelah malam.
Situasi ini berlaku selepas pawagam tempatan menerima kemasukan filem Hollywood seperti Avatar: The Way of Water mulai Khamis lalu, yang dikatakan mempunyai permintaan lebih tinggi daripada penonton.
Lantaran itu, kebanyakan pawagam memutuskan menarik slot tayangan Mechamato Movie pada sebelah malam bagi memberi laluan kepada sekuel filem Avatar itu.
Pengarah Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Aabidin mengakui pihaknya terkilan dengan penarikan slot tayangan yang dibuat ketika momentum Mechamato sedang meningkat.
"Waktu puncak bagi tayangan untuk penonton berkeluarga tidak kira hari biasa atau hujung minggu adalah selepas waktu Maghrib bermula jam 7.30 malam hingga 10.30 malam.
"Tetapi waktu puncak itulah yang ditarik pawagam hingga menyebabkan kami agak terasa sebab dewan tayangan kebanyakannya bersaiz besar pada waktu itu.
"Kami ada hubungi pawagam dan memohon waktu tayangan diberikan secara adil. Kami bukanlah minta supaya diberi dewan tayangan dalam kadar yang banyak, cuma kami mahu ada dua atau tiga tayangan Mechamato pada waktu puncak.
"Dalam tempoh itulah memungkinkan kami mendapat angka (jualan tiket) yang lebih baik.
"Kami ada buat kiraan secara kasar dan mendapati sekiranya ditayangkan di dewan besar pada waktu berkenaan, kemungkinan Mechamato boleh mencecah kutipan lebih tinggi," katanya kepada BH Online.
Mechamato Movie adalah hasil aspirasi Monsta untuk memperkasakan budaya Malaysia melalui kandungan kreatif.
Latar tempat utama filem ini dinamakan Kota Hilir yang diilhamkan daripada seni bina Bandar Hilir dan Kota Melaka.
Monsta turut menampilkan elemen tradisional seperti destar, keris, beca dan makanan tradisi seperti karipap dengan harapan penonton global akan jatuh cinta dengan keunikan Malaysia.
Mechamato berkisar remaja lelaki bernama Amato menjumpai sebuah kapal angkasa penjara yang membawa robot jahat terhempas di bumi.
Salah satu robot itu adalah MechaBot yang mempunyai kebolehan bergabung dan menjadikan sesuatu objek sebagai alat berteknologi tinggi.
Amato berjaya mengatasi MechaBot dan menjadi tuan kepada robot itu, sekali gus membuatkan mereka bekerjasama untuk mengesan dan menangkap robot jahat.
Faiz berkata, pengurangan slot tayangan pada waktu puncak sebelah malam mengganggu perancangan ibu bapa yang mahu membawa anak ke pawagam berikutan cuti sekolah sekarang.
Pada masa sama, Faiz menggesa pawagam membuat pembahagian slot tayangan secara adil.
"Kami bukanlah mahu orang ramai tidak menonton filem luar dan sokong filem tempatan sahaja, tetapi, kami mahu pawagam beri slot tayangan secara adil.
"Setiap filem ada sasarannya sendiri. Sekarang cuti sekolah dan kami sebolehnya mahu cuba manfaatkan peluang yang ada," katanya.
Isu pengurangan slot tayangan dihadapi filem Mechamato menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil hingga mendorong beliau membuat rundingan terus bersama pihak terbabit.
"Sejujurnya kami memang tidak pernah menyatakan keluhan kepada pihak kementerian.
"Selepas isu ini mendapat perhatian, beliau (Fahmi) membuat rundingan secara terus dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan pawagam.
"Selepas itu, dalam beberapa hari ini sudah ada penambahan waktu tayangan di setiap pawagam.
"Alhamdulillah itu adalah satu tindakan yang baik dari pawagam dan kami nampak kesannya, iaitu dari segi peningkatan penonton.
"Kami berterima kasih kepada menteri kerana meluangkan masa membantu biarpun dalam keadaannya yang agak sibuk ketika ini.
"Bagi saya, ini suatu inisiatif sangat baik dan hasilnya kami nampak ada perubahan," katanya.
Ditanya mengenai harapan Monsta terhadap filem Mechamato, Faiz optimis naskhah itu mampu membuahkan hasil positif biarpun menyedari jenama animasi itu masih baharu dan memerlukan pelbagai usaha mempromosikannya.
"Kami berharap dapat menyamai kutipan yang diraih filem animasi Boboiboy iaitu sebanyak RM30 juta walaupun Mechamato ini masih baharu berbanding Boboiboy.
"Suatu bonus juga buat kami kalau dapat mengalahkan filem animasi Hollywood, Frozen yang mengutip sebanyak RM36 juta ketika ditayangkan di Malaysia sebelum ini.
"Sekiranya berjaya, Mechamato akan menjadi filem animasi nombor satu di Malaysia," katanya.
Sebelum ini, Mechamato dilaporkan meraih kutipan RM10 juta dalam tempoh enam hari tayangan di pawagam dengan angka terbaru kira-kira RM18 juta, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak dilaporkan bersyukur dan terharu dengan sambutan yang diterima.
Filem Mechamato ditayangkan di 150 pawagam di seluruh negara sejak 8 Disember lalu.
Siri animasi Mechamato : The Animated Series disiarkan di Cartoon Network Asia untuk rantau Asia-Pasifik pada 4 Disember 2021 dan mencetus idea penerbitan filem.