Isnin, 5 Disember 2022 | 6:07pm
Berita palsu tersebar menyebabkan Nash menerima panggilan telefon ahli keluarga dan rakan baik yang bimbang keadaannya yang sakit pinggang akibat tersalah urat.
Berita palsu tersebar menyebabkan Nash menerima panggilan telefon ahli keluarga dan rakan baik yang bimbang keadaannya yang sakit pinggang akibat tersalah urat.

Bila masa saya kritikal? - Nash

KUALA LUMPUR: Penyanyi otai, Datuk Nash, 63, menafikan berada dalam keadaan kritikal akibat sakit pinggang.

Nash atau nama sebenarnya, Nashrudin Elias berkata, dakwaan yang disebarkan beberapa portal menyebabkannya menerima panggilan telefon ahli keluarga dan rakan yang bimbang keadaannya.

"Saya memang menghadapi sakit pinggang yang teramat sangat, tetapi tidaklah sampai kritikal.

"Hinggakan adik-beradik, saudara-mara dan sahabat baik menghubungi untuk mendapatkan kepastian, adakah betulkan saya sakit teruk dan sedang kritikal.

"Ada pula yang menangis teresak-esak mendengar suara saya," katanya menerusi hantaran dimuat naik dalam Facebook bagi menjelaskan keadaan kesihatannya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Pada Syurga Diwajahmu itu memaafkan mereka yang menyebarkan berita palsu itu.

"Apapun, saya maafkan mereka yang membuat laporan tidak betul dan muat naik semula gambar kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.

"Tidak mengapalah perkara sudah berlaku, saya maafkan. Terima kasih sekali lagi dan saya doakan yang baik-baik untuk semua," tulisnya.

Terdahulu, vokalis kumpulan Lefthanded itu meminta doa peminat kerana menghadapi kesukaran untuk bergerak akibat tersalah urat.

Nash dihantar anaknya ke sebuah perubatan swasta di Shah Alam, semalam. - Foto Facebook Nash
Nash dihantar anaknya ke sebuah perubatan swasta di Shah Alam, semalam. - Foto Facebook Nash

Beliau tiba dari Sarawak dan terus bergegas menghadiri majlis perkahwinan anak kepada rakannya di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

"Saya tiba pada majlis perkahwinan agak lewat dan pada sebelah malam pula, saya memenuhi satu lagi jemputan kahwin di Sungai Long, Kajang.

"Itu yang membuatkan saya tergesa-gesa untuk bersiap. Sampai di rumah, saya bergegas mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib.

"Ketika membongkok membasuh lengan, tiba-tiba pinggang saya seperti disentak hingga tidak boleh berdiri tegak.

"Sakitnya Allah sahaja yang tahu. Seluruh badan kejang, kaki tidak boleh gerak," katanya.

Tambah Nash, dia terpaksa meminta bantuan anak untuk berjalan dan terpaksa solat dalam keadaan duduk.

Katanya, anak menghantarnya ke sebuah perubatan swasta di Shah Alam.

"Sampai di hospital, doktor terus memberikan suntikan bagi melegakan otot dan ubat tahan sakit.

"Allahuakbar, doakan saya cepat sembuh. Banyak lagi tugasan belum selesai," katanya.

Berita Harian X