Khamis, 24 November 2022 | 5:02pm
Zul Huzaimy enggan mendedahkan bentuk ugutan yang diterima, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak polis. - NSTP/Aziah Azmee
Zul Huzaimy enggan mendedahkan bentuk ugutan yang diterima, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak polis. - NSTP/Aziah Azmee

Zul Huzaimy terima ugutan lepas isu berbaur perkauman

KUALA LUMPUR: Aktor sensasi, Zul Huzaimy menerima ugutan daripada individu yang tidak dikenali ekoran penyebaran klip video kontroversi yang mengaitkannya dengan isu perkauman melampau, baru-baru ini.

Zul atau nama sebenarnya, Zul Huzaimy Marzuki bagaimanapun enggan mendedahkan bentuk ugutan diterima kerana sudah menyerahkan kes kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Ya, saya menerima ugutan dan sudah melaporkannya kepada polis. Bagaimana bentuk ugutan, itu saya tak boleh nak beritahu.

"Saya serahkan kepada pihak polis membuat siasatan. Lagipun, siasatan kes video yang tular masih berjalan dan saya sudah memberi sepenuh kerjasama kepada polis," katanya kepada BH Online.

Zul Huzaimy ditemui pada majlis pratonton filem Daddyku Gangster, di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Zul Huzaimy mengakui, ramai terkejut apabila dirinya dikaitkan dengan kontroversi video isu perkauman itu.

Bagaimanapun, Zul Huzaimy enggan menuding jari kepada sesiapa berhubung apa yang berlaku.

Zul Huzaimy, penerbit dan barisan pelakon filem Daddyku Gangster pada majlis pratonton, semalam. - NSTP/Aziah Azmee
Zul Huzaimy, penerbit dan barisan pelakon filem Daddyku Gangster pada majlis pratonton, semalam. - NSTP/Aziah Azmee

Sebaliknya, pelakon filem Embun dan Impak Maksima ini menyalahkan diri sendiri dan menjadikannya sebagai satu pengajaran berharga dalam hidupnya.

"Ramai terkejut dan tertanya-tanya mengapa Zul Huzaimy? Tetapi, semua ini lumrah. Saya juga manusia biasa yang tidak lepas daripada membuat kesilapan.

"Ada kalanya saya tersasar menggunakan perkataan tidak sesuai. Lagi pun, saya bukan artis kontroversi.

"Sebelum ini, mana pernah saya buat hal. Saya harap isu ini akan menjadi pengajaran dan berakhir dengan segera." luahnya.

Terdahulu, BH Online melaporkan polis menerima laporan berhubung video Zul Huzaimy yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan ugutan.

Berikutan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menjalankan siasatan.

Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin, dilaporkan berkata, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, menerusi Instagram (IG), Zul Huzaimy memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan menjelaskan maksud sebenarnya berhubung ucapannya yang menyentuh mahu menyembelih 'kafir harbi' di Malaysia.

Zul Huzaimy mendakwa isu timbul apabila sedutan ucapannya disensasikan sebagai sesuatu berunsur kebencian.

Video tular itu dipercayai dirakam ketika Zul Huzaimy menyampaikan ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Berita Harian X