Selasa, 22 November 2022 | 4:09pm
Korea Selatan menjadi negara pertama di dunia menayangkan sekuel filem Avatar : The Way of Water mulai 14 Disember depan. Foto IG Avatar
Korea Selatan menjadi negara pertama di dunia menayangkan sekuel filem Avatar : The Way of Water mulai 14 Disember depan. Foto IG Avatar

Tayangan perdana dunia Avatar : The Way Of Water di Korea Selatan

SEOUL: Avatar : The Way of Water mula ditayangkan di pawagam di Korea Selatan pada 14 Disember, menjadikannya negara pertama di dunia menayangkan sekuel filem sci-fi 'blockbuster' 2009 yang ditunggu-tunggu, kata pengedar tempatannya, hari ini.

Pengarah James Cameron dan penerbit Jon Landau serta barisan pelakon filem itu termasuk Sam Worthington, Zoe Saldana, Sigourney Weaver dan Stephen Lang, merancang melawat Seoul pada 9 Disember untuk bertemu penonton tempatan menjelang tayangan perdana filem berkenaan, menurut Agensi Berita Yonhap memetik Walt Disney Company Korea.

Sekuel kedua Avatar yang bakal ditayangkan selepas 13 tahun versi pertama dilaporkan mengambil masa lebih tiga jam. Foto IG Avatar
Sekuel kedua Avatar yang bakal ditayangkan selepas 13 tahun versi pertama dilaporkan mengambil masa lebih tiga jam. Foto IG Avatar

Sekuel kedua Avatar itu muncul 13 tahun selepas cerita pertamanya dan tayangan filem itu dilaporkan mengambil masa lebih tiga jam.

Berlatarkan 15 tahun selepas peristiwa filem pertama, sekuel itu menyusuri perjalanan keluarga Jake Sully dan Neytiri serta lima anak mereka.

Treler rasmi filem itu mengetengahkan kesan visual yang menakjubkan meneroka pemandangan akuatik di planet Pandora.

Avatar disebut-sebut sebagai satu kejayaan cemerlang dari segi teknologi pembikinan filem dan masih kekal sebagai filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di seluruh dunia. - BERNAMA

Berita Harian X