Selasa, 13 September 2022 | 5:00pm
Masih banyak ruang lakonan boleh diperbaiki, namun, Idan bersyukur dapat melaksanakan watak kapten bola sepak dengan baik. - NSTP/Aziah Azmee
Masih banyak ruang lakonan boleh diperbaiki, namun, Idan bersyukur dapat melaksanakan watak kapten bola sepak dengan baik. - NSTP/Aziah Azmee

Cabaran 'kaki bangku' bawa watak kapten bola sepak

KUALA LUMPUR: Menggalas tanggungjawab dalam filem komersial bukan tugas yang boleh dipandang remeh, apatah lagi, diberi kepercayaan bergandingan dengan aktor handalan.

Pelakon remaja, Idan Aedan, 18, berkata, kepercayaan diberikan membintangi filem Anak Rimau The Movie disifatkan sebagai impian menjadi kenyataan, terutama bergandingan bintang hebat seperti Beto Kusyairy.

"Secara peribadi, bekerja dengan nama besar memberikan tekanan kepada saya. Anak Rimau adalah filem pertama saya sebagai teraju utama.

"Tanggungjawab memang berat, tetapi Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

"Barisan pelakon dalam filem ini sangat padu. Mereka sebagai senior tidak lokek berkongsi ilmu. Banyak tip dan nasihat dikongsikan," katanya kepada BH Online.

Idan ditemui pada majlis tayangan media filem Anak Rimau The Movie arahan Areel Abu Bakar di Dadi Cinema, Pavilion, baru-baru ini.

Memegang watak Arif yang juga kapten bola sepak, Idan mengakui, masih banyak ruang boleh diperbaiki, namun, bersyukur dapat melaksanakan watak dengan baik.

"Setiap projek adalah pembelajaran. Jadi, ini adalah salah satu projek yang saya boleh perbaiki lagi, walaupun semuanya baik-baik sahaja.

"Kalau boleh saya ingin perbaiki dari segi karakter. Sebab saya melihat kurang seimbang, memandangkan ketika penggambaran cuaca tidak menentu, jadi sudah tentu ia memberi kesan.

"Penggambaran dilakukan padang, sememangnya sangat panas," katanya.

Selain Idan, filem terbitan Keeklr Films Sdn Bhd itu menelan belanja RM5.5 juta itu turut mengetengahkan pemain bola sepak muda kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil (Kechikimi) dan Hanz Daniel Skelchy.

Turut membintangi, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli, Adam Shauki Asmady dan Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Mengulas bagaimana menjayakan watak kapten kepada pemain bola sepak profesional, Idan berkata, awalnya agak kekok, lebih lagi, seorang kaki bangku.

Idan bersama barisan pelakon dan pemain bola sepak remaja yang membintangi filem Anak Rimau The Movie. - NSTP/Aziah Azmee
Idan bersama barisan pelakon dan pemain bola sepak remaja yang membintangi filem Anak Rimau The Movie. - NSTP/Aziah Azmee

Namun, katanya, dia mudah mendapat rentak dengan sokongan rakan pelakon yang juga pemain bola sepak handalan.

"Bila dapat tawaran, saya bertanya serius atau tidak memberikan watak kapten. Namun, disebabkan ini adalah filem fiksyen, jadi aksinya koreografi yang sudah dirancang.

"Walaupun beraksi bersama pemain bola sepak profesional, mereka banyak membantu dan menyokong saya yang baru mula belajar bermain bola sepak.

"Sejujurnya, saya memang kaki bangku," katanya.

Idan atau nama sebenarnya, Muhammad Shahidan Abdullah berkata, penggambaran filem antara pengalaman terbaik sepanjang bergelar pelakon.

Ini kerana, katanya, dia berpeluang berlatih dengan jurulatih bola sepak dari AMD.

"Bukan itu sahaja, kami juga berlatih di AMD. Agak sukar memasuki AMD kerana perlu melalui banyak seleksi. Jadi, memasuki dan berlatih begitu sahaja, saya amat bersyukur.

"Saya melalui banyak pengalaman baru sepanjang penggambaran filem Anak Rimau The Movie selama dua bulan.

"Dan sepanjang dua bulan, banyak yang saya belajar dari pemain AMD, iaitu disiplin. Seperti salah seorang pemain, bangun jam 6 pagi dan berjogging walaupun terikat dengan penggambaran," katanya yang menjayakan penggambaran Anak Rimau The Movie pada usia 15 tahun.

Selepas tamat penggambaran, Idan berkata, hubungannya dengan barisan pelakon filem Anak Rimau The Movie masih rapat.

"Kami masih bersahabat baik hingga hari ini walaupun sudah tiga tahun penggambaran filem," katanya.

Memegang watak Arif, Idan turut menerima mendalami ilmu lakonan bersama guru, Fatimah Abu Bakar.

Idan berkecimpung dalam arena seni sejak berusia 10 tahun, bermula sebagai model iklan, lakonan dan pengacaraan.

Namanya pernah dicalonkan dalam Anugerah Asian Academy Creative 2018 untuk kategori Pelakon Terbaik bagi watak Saiful dalam telefilem Luar Biasa.

Berita Harian X