Sabtu, 10 September 2022 | 9:30pm
Shuib kini bergelar penyampai di stesen radio Suria FM. - Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali
Shuib kini bergelar penyampai di stesen radio Suria FM. - Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

Shuib tolak banyak tawaran selepas Siti Sarah pergi

PUTRAJAYA: Pelawak dan penyampai radio, Shuib, 38, mengaku banyak menolak tawaran kerja sejak pemergian isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Pemilik nama Shahmira Muhamad ini mendedahkan semangat untuk bekerja hampir hilang selepas arwah Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu.

"Saya terima banyak tawaran dan semuanya ditolak. Bukan mahu bersikap mengada-ngada, tetapi tawaran yang datang tidak buka hati saya, semua saya ketepikan.

"Tawaran radio dan program televisyen (TV), semuanya tak buat selepas isteri tersayang meninggal dunia.

"Kini, saya fikir sudah tiba saatnya untuk kembali bangkit. Saya perasan diri ini santai sangat, banyak fokus kepada keluarga dan bisnes hingga jadual saya banyak kosong dan kadang-kadang rasa lemau," katanya.

Shuib ditemu pada Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell yang berlangsung di IOI City Mall, di sini, baru-baru ini.

Kembali bergelar penyampai di stesen radio Suria FM sejak 29 Ogos lalu, Shuib menganggap tawaran yang datang sebagai rezeki yang ditinggalkan arwah Siti Sarah.

"Alhamdulillah, saya kembali bertugas di konti. Menjadi penyampai radio Suria FM saya sifatkan sebagai kemunculan semula.

"Apabila tawaran ini datang, saya terbuka hati. Saya sifatkan ini peluang terbaik kerana sudah lama saya 'tidur'. Saya mahu berkarya kali ini.

"Sehingga sekarang, saya selalu fikir, banyak sangat rezeki arwah isteri tinggalkan kepada saya. Saya anggap ini rezeki peninggalan arwah dan anak-anak," katanya.

Shuib bertugas bersama Ajak dan Suraya Borhan mengendalikan segmen Morning Morning Suria setiap Isnin hingga Jumaat, mulai jam 6 pagi hingga 10 pagi di Suria FM. - XTRA

Berita Harian X