Selasa, 6 September 2022 | 1:00pm
Shahir terpikat dengan Jaskin kerana keluhuran hati dan perwatakan yang lucu. - NSTP/Genes Gulitah
Shahir terpikat dengan Jaskin kerana keluhuran hati dan perwatakan yang lucu. - NSTP/Genes Gulitah

Shahir, isteri tunai umrah hadiah bulan madu

KUALA LUMPUR: Saat dirinya berserah kepada Yang Maha Esa, tanpa disedari, dikurniakan jodoh yang selama ini mengisi setiap doa.

Siapa sangka, perkenalan selama beberapa bulan menerusi laman sosial, membawa kepada ikatan janji dan jenjang pelamin.

Tidak pernah menyangka jodoh dan aturan-Nya, bintang musim kelapan Akademi Fantasia (AF8), Shahir Zawawi bersyukur usaha mendirikan masjid dipermudahkan. Apatah lagi, isteri, Jaskin Jaludin, tidak mengambil masa lama untuk mendirikan rumah tangga.

Shahir mengakui bertemu kali pertama dengan gadis berasal dari Tawau, Sabah itu selepas mereka bersetuju menyertai kursus perkahwinan dalam talian, Mei lalu.

"Saya berkenalan dengan isteri menerusi Instagram (IG) selepas Aidilfitri, iaitu Mei lalu. Saya tegur Jaskin dahulu. Ketika saya buat panggilan pertama, iaitu saat saya mencari pasangan untuk berkahwin, rupanya isteri juga dalam fasa sama.

"Selepas buat panggilan pertama, kami setuju untuk mengambil kursus kahwin untuk menunjukkan masing-masing serius, tiada masa untuk main-main lagi.

"Kami ambil kursus kahwin secara online dahulu. Kemudian, barulah kami berjumpa buat kali pertama. Ikutkan perancangan, hendak berkahwin tahun depan kerana mahu berkenalan dahulu. Namun, tidak sangka, secepat ini.

"Itulah kuasa Allah dan saya nampak jawapan jelas apabila Allah permudahkan dan perkahwinan kami berlangsung lebih awal daripada dirancang," katanya kepada BH Online.

Shahir ditemui selepas majlis akad nikah di sebuah premis perkahwinan di One City, Subang Jaya, Jumaat lalu, terpikat dengan Jaskin kerana keluhuran hati dan perwatakannya yang lucu.

"Kali pertama berjumpa dengannya saya sudah dapat rasa kami serasi dan selesa. Saya terpikat kerana Jaskin mempunyai nilai hati yang sangat suci. Saya pasti siapa kenal dia akan tahu nilai hatinya.

"Selain itu, isteri lucu dan boleh dikatakan penghibur. Kita hendak cari pasangan bukan sekadar dijadikan isteri sahaja, sebaliknya, sebagai sahabat dan teman bergelak ketawa. Alhamdulillah, semua ciri itu ada dalam dirinya," katanya.

Shahir atau nama sebenar, Ahmad Shahir Zawawi, 33, mengakui imej baharu berambut pendek adalah sempena perkahwinannya.

"Saya sudah bernazar. Orang tanya bila saya mahu potong rambut, saya kata bila saya berkahwin, saya akan melakukannya.

"Alhamdulillah, sehari sebelum nikah, saya potong rambut," katanya yang mengalirkan air mata kesyukuran selepas selesai diijabkabulkan dengan isteri.

Ditanya sifat Shahir yang membuat dirinya tertarik, Jaskin mengakui pada mulanya tidak tahu suami adalah selebriti.

Jaskin yang mengusahakan butik di Puchong, Selangor, berkata, dia hanya tahu latar belakang kerjaya Shahir selepas membuat keputusan untuk lebih serius dalam hubungan mereka.

"Kali pertama berbicara menerusi telefon, saya tak kenal dia siapa. Saya tak tahu dia artis sebab saya tak tengok AF. Apabila kami putuskan untuk serius, barulah saya tahu Shahir artis.

"Saya tanya suami, betulkah dia artis. Saya pun jarang selidik dan periksa profil IG. Kalau berbual dalam ruang mesej di IG pun, dia tanya sepatah, saya jawab sepatah," katanya.

Jaskin hanya tahu latar belakang kerjaya Shahir sebagai penyanyi selepas membuat keputusan untuk lebih serius dalam hubungan. - NSTP/Genes Gulitah
Jaskin hanya tahu latar belakang kerjaya Shahir sebagai penyanyi selepas membuat keputusan untuk lebih serius dalam hubungan. - NSTP/Genes Gulitah

Tambah Jaskin, dia sedia berdepan tempias populariti berikutan Shahir dikenali dalam industri seni tanah air.

"Insya-Allah, saya fikir sudah bersedia berdepan dengan apa juga cabaran. Malah, saya tidak halang untuk suami terus berada dalam bidang seni," katanya.

Pasangan yang diraikan dalam majlis resepsi di lokasi sama, Sabtu lalu, memutuskan untuk menunaikan ibadat umrah, akhir tahun ini, sebagai hadiah bulan madu.

Shahir berkata, Jaskin pernah berjanji hendak menunaikan umrah bersama lelaki bergelar suami.

"Pada awal tahun ini, Jaskin tunaikan umrah dan di sana, dia berdoa serta berjanji akan datang lagi dengan membawa suami.

"Jadi, selepas kami berkahwin, isteri mahu ke Tanah Suci untuk menunaikan janjinya," katanya.

Jumaat lalu, Shahir dan isteri, dinikahkan bapa pengantin perempuan, Jaludin Nongche dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Muhammad Hakimi Mustapai.

Pada majlis itu, Shahir menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran bernilai RM20,000, manakala pengantin perempuan memberikan lima dulang hantaran dibalas tujuh dulang oleh pengantin lelaki.

Majlis akad nikah itu hanya dihadiri oleh 300 tetamu merangkumi keluarga terdekat.

Sebelum itu, Shahir mengikat tali pertunangan pada 16 Julai lalu selepas berkenalan dengan Jaskin melalui IG.

Shahir dan isteri juga akan pulang ke Tawau untuk majlis resepsi sebelah pihak perempuan, tiga minggu lagi.

Sebagai hadiah buat Jaskin, Shahir mencipta lagu khas berjudul Halal yang dipersembahkan pada majlis resepsi, Sabtu lalu.

Halal menjadi lagu pertama hasil ciptaan Shahir yang menceritakan kisah cintanya dengan Jaskin.

Sebelum ini, Shahir pernah digosip menjalinkan hubungan cinta dengan aktres jelita, Erra Fazira, biarpun kedua-dua pihak menafikannya.

Pernikahan Shahir akhirnya melenyapkan spekulasi status hubungan dengan Erra yang kini masih solo selepas berpisah dengan bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Berita Harian X