Khamis, 29 September 2022 | 1:07pm
Filem Harum Malam berkisar pergelutan hidup remaja dan pelatih perubatan tradisional, Iqbal yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia.
Filem Harum Malam berkisar pergelutan hidup remaja dan pelatih perubatan tradisional, Iqbal yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia.

Dain kembali dengan Harum Malam

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Bunohan, Dukun dan Interchange, pengarah filem prolifik, Dain Said, kembali dengan karya genre seram berjudul Harum Malam.

Harum Malam yang menampilkan Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein bakal menjengah pawagam pada 9 Februari tahun depan.

Turut membintangi filem terbabit adalah pendatang baharu Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.

Dain yang kali terakhir mengarahkan filem seram Dukun menampilkan Datin Seri Umie Aida sebagai teraju utama hingga membolot anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada Anugerah Skrin 2019, mengakui tidak sabar menantikan maklum balas penonton.

"Saya tidak sabar untuk Harum Malam bertemu peminat filem tempatan terutama mereka yang menggemari filem genre seram," katanya.

Dukun yang ditayangkan pada 2018 muncul antara lima filem seram pecah panggung dengan kutipan kira-kira RM10 juta.

Harum Malam berkisar pergelutan hidup remaja dan pelatih perubatan tradisional, Iqbal yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia.

Keupayaan luar biasanya itu menyebabkan Iqbal sering diganggu makhluk halus serta berdepan ancaman alam ghaib.

Iqbal juga sukar membezakan antara realiti dan ghaib.

Pada suatu hari, berlaku kejadian yang menyebabkan rakan dan keluarganya terdedah dengan makhluk ghaib berbahaya.

Tanpa pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa itu untuk melawan makhluk terbabit.

Dain (dua dari kiri) memberi arahan kepada Bront dan Remy ketika penggambaran filem Harum Malam.
Dain (dua dari kiri) memberi arahan kepada Bront dan Remy ketika penggambaran filem Harum Malam.

Dain turut berkongsi keterujaan filem Harum Malam mengisi slot tayangan perdana antarabangsa pada festival filem fantasi terbesar di Amerika Utara, Fantastic Fest yang berakhir hari ini.

Antara filem yang pernah ditayangkan pada festival filem itu adalah Spilt arahan M Night Shyamalan pada 2016.

Fantastic Fest berlangsung di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS) sejak 22 September lalu.

Bulan depan, Harum Malam akan ditayangkan di Sitges Film Festival, Sepanyol iaitu festival yang mengetengahkan filem seram dan fantasi dari seluruh dunia.

Filem terkenal yang pernah ditayangkan pada Sitges Film Festival adalah Pulp Fiction arahan Quentin Tarantino pada 1994 dan Arrival arahan Denis Villenueve pada 2016.

Bagi pasaran antarabangsa, Harum Malam diwakili Reel Suspects, manakala XYZ Films pula mengendalikan kerja pemasaran di Amerika Utara.

Harum Malam menggunakan judul Blood Flower dalam bahasa Inggeris.

Diterbitkan Apparat dengan kerjasama Skop Productions Sdn Bhd dan D'Ayu Pictures Sdn Bhd. Ia mendapat sumbangan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Skop Productions akan mengendalikan pengedaran filem Harum Malam di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Berita Harian X