Sabtu, 24 September 2022 | 12:05am
Awie tidak menyimpan sekelumit dendam kerana banyak perkara baik dilakukan arwah Bob Lokman untuk Wings.
Awie tidak menyimpan sekelumit dendam kerana banyak perkara baik dilakukan arwah Bob Lokman untuk Wings.

Banyak kebaikan arwah Bob Lokman pada Wings - Awie

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak berhubung sejak penulis lirik, pelawak dan pelakon terkenal, Allahyarham Bob Lokman memilih meninggalkan dunia seni, namun banyak kenangan manis terpahat kemas dalam ingatan vokalis Wings, Datuk Awie.

Awie berkata, hubungan mereka akrabnya sehingga pernah mengikut arwah pulang ke kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan dan dihidangkan juadah enak hasil air tangan arwah ibunya.

Katanya, Wings dan arwah rapat secara tidak sengaja sekitar 1986 ketika mereka membuat persembahan di kelab malam.

"Arwah mulanya hanya sekadar ikut-ikut Wings ketika kami membuat persembahan di kelab malam. Ketika itu, arwah yang masih berniaga tembikai.

"Daripada sekadar ikut-ikut, arwah kemudiannya membantu kami menjaga lampu ketika persembahan.

"Lama-kelamaan, arwah menghubungkan kami dengan penganjur expo sehingga kerap mendapatkan 'job' untuk Wings.

"Dari situ bermula perjalanan arwah sebagai pengurus Wings. Namun, arwah hanya sempat bersama Wings selama tiga tahun sebelum menjaga Datuk M Nasir.

"Akhirnya, beliau sendiri berjinak-jinak sebagai pelakon, pelawak dan pengacara," katanya kepada BH Online.

Awie berkata, mengenali arwah, beliau seorang yang akan mengejar apa yang diinginkan.

"Jika inginkan sesuatu, arwah akan berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya," kata Awie.

Imbau Awie, arwah pernah memberitahu pandai berpidato sehingga pernah memenangi Pemain Terbaik di sekolah.

"Mungkin kehebatan berpidato mendorong minat arwah menjadi wakil rakyat.

"Bukan itu sahaja, arwah pandai menulis lirik sehingga berjaya menghasilkan beberapa lirik popular. Salah satunya, lagu berhantu, Taman Rashidah Utama nyanyian Wings yang cukup popular.

"Lagu Taman Rashidah Utama adalah ciptaan Eddie Wings, tetapi ketika itu, arwah minta izin menulis lirik lagu kerana baru kecewa. Tidak sangka, lagu ini diminati ramai sehingga hari ini," katanya.

Wings dan arwah Bob Lokman rapat secara tidak sengaja sekitar 1986 ketika membuat persembahan di kelab malam, sebelum bergelar pengurus.
Wings dan arwah Bob Lokman rapat secara tidak sengaja sekitar 1986 ketika membuat persembahan di kelab malam, sebelum bergelar pengurus.

Awie berkata, dia amat terasa pemergian arwah sebagai seorang yang pernah berkawan rapat dengannya.

"Arwah pandai buat lawak, setiap kali bersamanya pasti kami tidak kering gusi.

"Beliau juga seorang bijak menyusun perjalanan pekerjaan dengan baik. Saya terkilan tidak dapat menziarahi arwah buat kali terakhir kerana terikat dengan kerja.

"Tetapi, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraannya sepanjang masa.

"Banyak kenangan indah kami bersama. Jujurnya, saya tak simpan sekelumit dendam kerana banyak perkara baik yang arwah lakukan untuk kami," katanya.

Allahyarham Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman menghembuskan nafas terakhir di kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan pada usia 58 tahun akibat komplikasi jantung, jam 3 petang tadi.

Beliau dilaporkan bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).

Antara beberapa lirik hebat pernah dihasilkannya termasuklah Intanku Kesepian, Taman Rashidah Utama nyanyian Wings pada 1987 dan 1988, diikuti Segalanya Ku Terima (Illusi, 1989), Memburu Rindu (Hattan, 1991), Kerana Cinta (Exists, 1991) dan Rendang Tak Berbuah (Hattan, 1996).

Arwah turut aktif berlakon drama televisyen antaranya Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Tentang Bulan The Series, 2+1.com.my sebagai pelakon undangan serta pengacara program Teksi Tunai.

Penampilan pertama di layar lebar menerusi filem Yes Tuan! sekitar 1996 selain Iskandar, Jin Notti, Santau, Zoo, Mantra dan Sekali Lagi antara 2003 hingga 2011.

Allahyarham meninggalkan balu, Relawati Daud dan tujuh cahaya mata. Seorang anak lelaki pasangan itu meninggal dunia akibat ketumbuhan otak pada 2018.

Berita Harian X