Jumaat, 23 September 2022 | 8:37pm
Hattan menyifatkan arwah Bob Lokman sebagai seorang intelektual, malah bahasa digunakan untuk menghasilkan lirik begitu indah dan kehilangannya sukar dicari ganti. - Foto Ihsan Hattan
Hattan menyifatkan arwah Bob Lokman sebagai seorang intelektual, malah bahasa digunakan untuk menghasilkan lirik begitu indah dan kehilangannya sukar dicari ganti. - Foto Ihsan Hattan

Bob Lokman tahu ajalnya makin hampir - Hattan

KUALA LUMPUR: Penyanyi otai, Datuk Hattan berkongsi, Allahyarham Bob Lokman memberitahunya tidak dapat hidup lama ketika menziarahi di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan, tiga minggu lalu.

Hattan berkata, arwah hanya berbaring, malah bersolat atas katil ketika kunjungan itu.

Berada di Pulau Pinang terikat dengan tuntutan kerja, Hattan berkata, dia memang terkilan tidak dapat memberikan penghormatan terakhir buat sahabat yang dikenali sejak 1980-an.

"Saya sedih tidak dapat menatap wajah arwah Bob buat kali terakhir. Jika tiada kerja di Pulau Pinang sudah tentu saya terbang ke Kelantan untuk menziarahinya.

"Saya tiada jiwa, malah fikiran melayang pada arwah ketika buat persembahan sebentar tadi.

"Namun, saya tetap bersyukur dapat bertemu arwah buat kali terakhir, tiga minggu lalu di kediamannya. Secara kebetulan, saya ada kerja, jadi ambil kesempatan mengunjunginya.

"Ketika itulah, arwah beritahu hidupnya sudah tidak lama memandangkan fungsi jantungnya hanya tinggal 10 peratus," katanya kepada BH Online.

Hattan kenang jasa arwah Bob Lokman yang menaikkan namanya menerusi lirik lagu berhantu, Rendang Tak Berbuah, Memburu Rindu, Kalis dan 5 Oktober.
Hattan kenang jasa arwah Bob Lokman yang menaikkan namanya menerusi lirik lagu berhantu, Rendang Tak Berbuah, Memburu Rindu, Kalis dan 5 Oktober.

Kata Hattan, tanpa arwah mungkin dirinya tidak akan berada di tahap hari ini.

Hattan menyifatkan arwah sebagai seorang intelektual, malah bahasa digunakan untuk menghasilkan lirik begitu sedap dan kehilangannya sukar dicari ganti.

"Selepas kehilangan arwah Loloq kira-kira 14 tahun lalu, kita kehilangan seorang lagi penulis lirik berbakat besar.

"Boleh dikatakan separuh perjalanan kerjaya seni saya bersama arwah. Kebanyakan lagu berentak balada, saya menaruh kepercayaan kepada arwah.

"Kami mula mengenali selepas sering berkampung di Studio Luncai Emas milik Datuk M Nasir di Sungai Buloh.

"Walaupun sudah tidak aktif dalam bidang seni, kami rajin berhubung. Hubungan kami sangat rapat hingga arwah sanggup datang berhari raya seorang diri di kampung halaman saya di Seri Menanti, Negeri Sembilan," katanya yang menyanyikan lirik terakhir arwah menerusi lagu berjudul 5 Oktober.

Selain lagu Rendang Tak Berbuah dan 5 Oktober, arwah juga pernah menghasilkan lirik lagu Memburu Rindu, Kalis dan beberapa lagu lain.

Allahyarham Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 58, meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan akibat komplikasi jantung, jam 3 petang tadi.

Berita Harian X