Khamis, 15 September 2022 | 6:00am
Hadzly berkongsi, lagu Kepulangan Yang Di Nanti mengungkap maksud mendalam buat Allahyarham Aman Shah dan keluarganya.
Hadzly berkongsi, lagu Kepulangan Yang Di Nanti mengungkap maksud mendalam buat Allahyarham Aman Shah dan keluarganya.

Kisah di sebalik lagu Kepulangan Yang Dinanti

KUALA LUMPUR: Menjelang Aidilfitri, lagu Kepulangan Yang Dinanti dendangan Allahyarham Aman Shah pasti menjadi pilihan stesen radio, malah, hati tentunya terusik mendengar suara lembut penuh syahdu dan mendayu, seolah-olah menantikan orang tersayang pada hari raya.

Namun, siapa sangka lagu evergreen ciptaan Omar Taib dan lirik oleh AS yang diterbitkan oleh EMI Malaysia pada 1981 itu mengungkap seribu makna buat arwah Aman Shah.

Seperti bait-bait liriknya, 'dalam dakapan keheningan maya, pertemuan yang menyentuh di jiwa, sekian lamanya terpisah, harapan kini menjadi nyata' jelas memberi bayangan penantian arwah Aman Shah yang sering mengharapkan kepulangan anak-anaknya.

Anak sulungnya, Hadzly Aman Shah, 43, mengakui, lagu Kepulangan Yang Dinanti memberi maksud mendalam buat arwah dan keluarganya.

"Saya tak nafikan, lagu Kepulangan Yang Dinanti ada kaitan dengan kisah hidup arwah yang menantikan kepulangan anak-anak pada hari raya.

"Namun, setakat ini, saya pasti bertemu dan menyambut Syawal bersama arwah.

"Sememangnya, lagu ini meninggalkan nostalgia. Ramai bertanyakan kepada saya maksud sebenar di sebalik lagu ini.

"Alhamdulillah, kami akan bertemu di kampung ibu di Dungun, Terengganu atau Kuala Lumpur. Tiada sebarang halangan menyambut Syawal bersama," katanya kepada BH Online.

Hadzly berkongsi, hubungannya dengan arwah tidak begitu rapat kerana dibesarkan arwah nenek di kampung ketika kecil.

"Bagaimanapun, sesekali arwah akan datang menjenguk saya di kampung. Sehinggalah saya besar, habis belajar dan mula bekerja di Kuala Lumpur, barulah hubungan jadi rapat dan selalu berjumpa arwah.

"Arwah seorang bapa yang simple, percakapannya lemah-lembut dan kelakar. Namun, ada ketikanya agak tegas, tetapi saya faham arwah menyayangi anak-anaknya.

"Beliau suka ajak saya berjalan ke sana-sini menemaninya ketika masih sihat. Ada peluang, kami akan bercuti bersama. Itulah momen yang akan saya kenang sampai bila-bila," katanya yang ditemui pada majlis pengebumian arwah Aman Shah, semalam.

Jenazah Allahyarham Aman Shah dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai untuk solat dan penghormatan terakhir. - NSTP/Halim Salleh
Jenazah Allahyarham Aman Shah dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai untuk solat dan penghormatan terakhir. - NSTP/Halim Salleh

Hadzly yang juga anak sulung menerusi perkahwinan pertama Allahyarham Aman Shah bersama bekas Miss Kelantan, Rohani Nik berasal dari Dungun, Terengganu.

Pemilik nama Aman Shah Abu Kassim itu bertemu jodoh ketika berusia 24 tahun, namun, perkahwinan pertamanya hanya bertahan selama dua tahun.

Hadzly berkata, dia akan mengingati amanat terakhir arwah agar menjaga dan melihat adik-adiknya, dua hari lalu.

"Pada pertemuan terakhir, arwah pesan tengok dan jaga adik-adik. Itulah kata-kata akhir arwah pada saya.

"Insya-Allah, saya akan mengingati pesanan arwah. Hubungan saya dan adik-adik lain juga tiada masalah walaupun kami bukan seibu.

"Saya berada di sisi arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Adik-adik lain dalam perjalanan, ada yang datang dari Singapura.

"Alhamdulillah, saya sempat mengajar arwah mengucap sebelum tutup mata dan pergi dengan tenang," katanya.

Berkongsi saat pemergian arwah bapanya, Hadzly berkata, arwah dimasukkan ke IJN hampir seminggu lalu.

"Kondisi jantung arwah lemah, sejak akhir-akhir ini, apatah lagi, kerap mendapat serangan jantung. Jadi, arwah diberikan pilihan sama ada melakukan pembedahan pintasan jantung atau memasang kateter belon atau sten.

"Arwah pilih memasang sten, jadi, pembedahan dilakukan semalam (kelmarin). Sebenarnya, keadaan arwah okay selepas pembedahan.

"Namun, pagi ini (semalam) saya dikejutkan dengan berita tahap kesihatan arwah semakin merosot sehingga menghembuskan nafas terakhir.

"Jujurnya, ini amat mengejutkan kerana keadaan arwah okay, masih suka bergurau sebelum ini," katanya.

Hadzly menyiram air di pusara arwah bapanya, Allahyarham Aman Shah yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, jam 10 malam tadi. - NSTP/Halim Salleh.
Hadzly menyiram air di pusara arwah bapanya, Allahyarham Aman Shah yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, jam 10 malam tadi. - NSTP/Halim Salleh.

Katanya, dia memang selalu menjenguk arwah kerana tinggal berhampiran dengan kediamannya.

"Tidak dinafikan, arwah lebih fokus kepada akhirat sejak 2018. Nampaklah perubahannya tidak lagi menghiraukan dunia glamor, tumpuannya pada amal ibadah.

"Arwah memang merahsiakan penyakitnya, ahli keluarga rapat sahaja yang tahu.

"Lagipun, arwah sakit tidak lama, mula mendapat serangan jantung, tahun lalu.

"Arwah juga kurang aktif menyanyi dan berlakon sejak terkena serangan jantung. Tawaran masih ada, tetapi arwah menolaknya kerana masalah kesihatan.

"Lepas menghadapi masalah jantung, arwah mula makan ubat dan tubuhnya makin susut. Arwah beritahu saya, dia makanlah apapun, tetapi tubuhnya tetap tak naik disebabkan ubat," katanya.

Terdahulu, jenazah pelakon filem Darah Satria itu dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras untuk penghormatan terakhir, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, jam 10 malam tadi.

Allahyarham Aman Shah, 68, menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN), jam 2.20 petang, semalam.

Dilahirkan di Johor Bahru, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Adikku Pandai Menari itu meninggalkan enam cahaya mata menerusi tiga perkahwinannya.

Selain Hadzly, dua anak arwah menerusi menerusi perkahwinan kedua bersama vokalis kumpulan duo, The Queens dari Singapura, Farah Diba Abdul Aziz dari Singapura turut hadir.

Antara rakan artis yang memberi penghormatan terakhir termasuklah Datuk DJ Dave, Datuk Tumiran Mohd Kasdi, Yank Kassim, Tukiman Radion dan Farouk Hussein.

Berita Harian X