Rabu, 14 September 2022 | 8:37pm
Allahyarham Aman Shah pernah mendirikan rumah tangga vokalis The Queens dari Singapura, Farah Diba dan dikurniakan tiga cahaya mata termasuk Afrah.
Allahyarham Aman Shah pernah mendirikan rumah tangga vokalis The Queens dari Singapura, Farah Diba dan dikurniakan tiga cahaya mata termasuk Afrah.

Pertemuan terakhir Aman Shah, anak selepas 20 tahun terpisah

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 20 tahun terpisah, kedatangan Allahyarham Aman Shah pada majlis pertunangan anaknya yang juga penyanyi dan komposer dari Singapura, Afrah Athasha pada 3 September lalu memberi petanda sebagai pertemuan terakhir mereka.

Menerusi laman Instagram, Afrah memuat naik luahan kesedihan kira-kira empat jam lalu.

"Saya merasakan kesedihan yang amat sangat dan mengesahkan pemergian bapa.

"Kami sekeluarga amat menghargai jika diberi privasi pada waktu sukar ini.

"Susulan pemergian bapa, semua acara yang saya jayakan akan dibatalkan, minggu ini," tulisnya.

Afrah memberitahu, dia dan seisi keluarganya kini berada di Kuala Lumpur.

"Saya amat menghargai sekiranya diberikan privasi.

"Saya tidak akan menjawab sebarang pertanyaan media," katanya.

Menerusi IG, Afrah mohon diberikan privasi pada waktu sukar pemergian arwah bapanya. - Foto IG Afrah Athasha
Menerusi IG, Afrah mohon diberikan privasi pada waktu sukar pemergian arwah bapanya. - Foto IG Afrah Athasha

Afrah turut memaklumkan jenazah arwah bapanya dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras untuk solat jenazah.

Aman pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan duo, The Queens dari Singapura, Farah Diba Abdul Aziz pada 1980-an.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata termasuk Afrah dan berpisah hampir 20 tahun lalu.

Sebelum itu, Aman Shah berkahwin dengan pemenang Miss Kelantan, Rohani Nik, tetapi perkahwinan hanya bertahan selama dua tahun.

Memetik laporan Berita Harian Singapura, Aman Shah hadir pada majlis pertunangan Afrah yang berlangsung di Into The Woods@213 Lavender Street, Singapura pada 3 September lalu.

Ketika ditemui, penyanyi yang popular menerusi lagu Adikku Pandai Menari dan Kepulangan Yang Dinanti itu minta tidak diwawancara kerana mahukan privasi.

Beliau juga meminta wartawan mendoakan masa depan anaknya, Afrah dan tahap kesihatannya kerana menghadapi penyakit jantung.

Allahyarham Aman Shah sempat menghadiri majlis pertunangan Afrah di Singapura pada 3 September lalu. - Foto IG Afrah Athasha
Allahyarham Aman Shah sempat menghadiri majlis pertunangan Afrah di Singapura pada 3 September lalu. - Foto IG Afrah Athasha

Pada majlis pertunangan itu, Afrah menjelaskan, betapa hatinya gembira dapat menjalin hubungan akrab dengan bapanya selepas terpisah hampir 20 tahun.

Afrah dijaga Farah Diba di Singapura, manakala Aman Shah menetap di Malaysia.

"Bapa saya selalu pesan agar saya bekerja keras demi seni yang saya cintai. Ini kerana tidak akan ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan.

"Saya akan pegang nasihatnya dan akan bekerja keras dengan keringat saya sendiri, bukan menumpang populariti bapa," kata Afrah kepada Berita Harian Singapura.

Terdahulu, pelakon filem Darah Satria dan Cikgu Sayang itu menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN akibat komplikasi jantung, kira-kira jam 2.20 petang ini.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, malam ini.

Allahyarham Aman Shah meninggalkan enam cahaya mata menerusi tiga perkahwinannya.

Berita Harian X