Rabu, 31 Ogos 2022 | 1:00pm
Aqish kecewa setiap kali kisahnya tular pasti nama ibunya terseret sehingga trauma untuk bercampur dengan masyarakat. - Foto IG Puteri Balqish
Aqish kecewa setiap kali kisahnya tular pasti nama ibunya terseret sehingga trauma untuk bercampur dengan masyarakat. - Foto IG Puteri Balqish

Imej seksi, Aqish dihina bertubi-tubi

KUALA LUMPUR: Pelakon remaja sensasi, Puteri Balqis Aziz, 15, kecewa usaha menghasilkan ratusan puisi dipandang sepi, sebaliknya, masyarakat lebih memberi perhatian terhadap imej dan penampilannya.

Puteri Balqis menjadi bualan ramai kerana berani berkongsi beberapa gambar seksi menerusi akaun Instagram sehingga mengundang kecaman ramai.

Bagaimanapun, Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia Ke-19 di Singapura pada 2014 itu tidak terkesan dengan kecaman netizen.

Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish berkata, dia dan ibunya, Norashikin Mohd Aziz tidak bergantung hidup dengan sesiapa dan tidak perlu memuaskan hati orang lain.

"Saya tidak perlu bergantung kepada kata-kata manusia. Saya juga tidak mahu lagi meminta doa orang ramai kerana penghujungnya penuh ungkitan.

"Saya semakin faham, manusia kejam. Jadi, saya tidak perlu bergantung kepada puji atau kejian manusia.

"Saya tidak faham kenapa saya dikecam, sedangkan saya bukannya jenis keluar melepak dengan kawan-kawan. Hidup saya bersama ibu, sentiasa bergambar seorang diri dan tidak sesekali tergedik-gedik. Tetapi, takkan orang luar tidak perasan?" soalnya.

Aqish menjadi bualan ramai kerana berani berkongsi beberapa gambar seksi menerusi akaun Instagram sehingga mengundang kecaman ramai. - Foto IG Puteri Balqish
Aqish menjadi bualan ramai kerana berani berkongsi beberapa gambar seksi menerusi akaun Instagram sehingga mengundang kecaman ramai. - Foto IG Puteri Balqish

Pemenang termuda Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) 2014 pada usia tujuh tahun itu berkata, setiap kali kisahnya tular pasti nama ibunya terseret sehingga trauma untuk bercampur dengan masyarakat.

"Orang selalu menuduh ibu saya penagih, ungkit saya budak sampah, tetapi saya malas hendak ambil peduli.

"Setiap kali keluar cerita negatif mengenai saya, pasti ibu dihina cukup-cukup. Jika berada di tempat saya, ibu anda dihina, tidakkah anda akan jadi benci kepada manusia?

"Sebab itu, saya dan ibu lebih suka buat hal sendiri. Saya tiada hati untuk keluar berseronok dengan rakan-rakan. Jiwa saya lebih suka menulis, tetapi penulisan saya tidak dihargai," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, berkongsi kerjaya lakonannya, Aqish berkata, dia bersyukur menerima banyak tawaran lakonan.

Malah, katanya, jadualnya penuh sehingga tahun hadapan, namun, ada sesetengahnya terpaksa ditolak kerana tidak mahu

terlalu padat.

"Setakat ini, saya masih banyak menerima tawaran lakonan, cuma, tidak semua diterima kerana tidak mahu terlalu terbeban dengan jadual penggambaran," katanya.

Berita Harian X