Selasa, 16 Ogos 2022 | 3:00pm
Amir menyifatkan merakamkan semula lagu yang pernah popular pada era 1990-an adalah trend industri muzik tanah air masa kini.
Amir menyifatkan merakamkan semula lagu yang pernah popular pada era 1990-an adalah trend industri muzik tanah air masa kini.

Amir minta restu Ella, Fauzi Marzuki

KUALA LUMPUR: Kekerapan menyanyikan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah dalam beberapa pertandingan disertai sehingga mendapat jumlah tontonan tinggi dalam laman YouTube memberi semangat kepada penyanyi Amir Masdi, 26, merakamkan semula lagu nyanyian asal Ratu Rock, Ella itu.

Bukan sahaja mendapat restu Ella, malah, lebih bermakna komposer lagu, Fauzi Marzuki turut menyokong usahanya.

"Saya akui, lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah paling diminati. Apatah lagi, saya pernah menyanyikan lagu ini ketika menyertai program Akademi Fantasia Megastar, Immortal Song dan membuat lagu saduran dalam laman sosial.

"Ketika menyanyikan lagu ini menerusi program Immortal Song, nyanyian menjadi tular dan menjadi antara yang paling banyak mendapat tontonan tinggi di saluran YouTube saya.

"Saya memutuskan merakamkan semula lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa meminta saya menyanyikan semula ini. Jadi, saya terfikir kenapa tidak merakamkannya.

"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan, kami bersetuju menghadiahkan peminat rakaman audio sedap dan muzik video yang cantik," katanya kepada BH Online.

Amir yang pernah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 menerusi lagu Ku Sakiti berkata, dia teruja apabila mendapat sokongan Ella.

"Saya menghantar mesej kepada Ella. Jika ada rezeki kami boleh menyanyikan lagu ini bersama.

"Saya juga meminta kebenaran Ella merakamkan semula lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah. Alhamdulillah, Ella terima dengan baik.

"Saya lega penyanyi asal menerima lagu ini diberikan nafas baharu. Malah, saya juga pernah membuat persembahan di hadapan komposer lagu, Fauzi. Beliau pun memberikan komen positif.

"Apabila Ella dan Fauzi memberikan maklum balas baik, ia membuatkan saya lebih berani merakamkan semula lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah," kata juara Akademi Fantasia 2016 itu.

Amir tidak mempunyai perancangan merakamkan semula lagu penyanyi lelaki yang popular kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan.
Amir tidak mempunyai perancangan merakamkan semula lagu penyanyi lelaki yang popular kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan.

Sementara itu, Amir menyifatkan merakamkan semula lagu yang pernah popular dan hits pada era 1990-an adalah trend industri muzik tanah air masa kini.

"Saya melihat sekarang menjadi trend menyanyikan semula lagu lama. Kita boleh lihat rentak industri lebih kepada mengimbau lagu lama.

"Bagaimanapun, saya memilih lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah bukan kerana ikut trend, tetapi saya sudah lama hendak melakukannya.

"Selepas program realiti, Immortal Song, saya merancang untuk keluarkan lagu saduran secara rasmi. Tetapi, belum buat sebarang penetapan ketika itu.

"Bila menjadi trend, saya fikir kenapa tidak ikut sahaja trend dan teruskan perancangan seperti sebelum ini," katanya.

Soal dibandingkan dengan Ella, Amir berkata, dia tidak pernah risau memandangkan cara nyanyian penyanyi lelaki dan wanita berbeza.

"Tak pernah terbit kerisauan soal perbandingan cara nyanyian. Saya pilih lagu ini sebab saya suka dan memenuhi permintaan peminat," katanya.

Ditanya apakah mempunyai perancangan merakamkan semula lagu penyanyi lelaki yang popular, Amir berkata, dia perlu berhati-hati.

"Menyanyikan semula lagu penyanyi lelaki masih belum ada perancangan atau terfikir, setakat ini. Mungkin saya kena lihat lirik, melodi, penyanyi dan komposer bersesuaian dengan saya.

"Saya kena berhati-hati dan tidak boleh main menyanyi sahaja. Kita tak boleh langgar dan kena hormat lagu, komposer dan penyanyi lama.

"Setiap perincian sangat penting dan perlu dipertimbangkan dengan sebaiknya sebelum menyanyikan lagu saduran secara rasmi," katanya.

Lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah versi Amir terbitan Nova Music dilancarkan serentak dengan video muzik di saluran Nova Music Videos pada 30 Julai lalu.

Menariknya, video muzik arahan Azuad Abdullah menampilkan warga Sekolah Seni Malaysia Johor. Sejak dimuat naik, video muzik Sepi Sekuntum Mawar Merah muncul Top 30 di YouTube dengan lebih 130,000 tontonan.

Berita Harian X