Isnin, 8 Ogos 2022 | 7:17pm
Shuib beranggapan pemilihan calon isteri dikalangan selebriti dan usahawan kurang bersesuaian disebabkan kesibukannya menguruskan perniagaan dan tuntutan kerjaya seni. - Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib beranggapan pemilihan calon isteri dikalangan selebriti dan usahawan kurang bersesuaian disebabkan kesibukannya menguruskan perniagaan dan tuntutan kerjaya seni. - Foto IG Shuib Sepahtu

Shuib enggan 'beristerikan' selebriti, usahawan?

KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu, 38, lebih selesa mencari isteri bukan daripada kalangan selebriti mahupun usahawan sepertinya.

Sebaliknya, bapa tunggal kepada empat cahaya mata itu tidak kisah seandainya dipertemukan jodoh dengan wanita biasa, asalkan calon isteri berjaya menawan hati ibu dan anak-anaknya.

Shuib berkata, ramai menyangka dirinya meletakkan syarat hanya ingin memilih golongan selebriti mahupun usahawan sebagai teman hidup selepas pemergian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, setahun lalu.

Namun, Shuib beranggapan pemilihan calon isteri daripada kalangan selebriti dan usahawan kurang sesuai disebabkan kesibukannya menguruskan perniagaan.

"Saya sentiasa sibuk dengan perniagaan dan kerjaya. Dengan empat cahaya mata yang masih kecil, jadi rasanya tiada selebriti atau usahawan yang sanggup menjaga anak-anak saya.

"Tambahan pula, saya tahu bagaimana sibuknya kehidupan selebriti, begitu juga usahawan. Jadual saya sentiasa sibuk, jadi jika saya pilih wanita yang sama-sama sibuk, siapa akan jaga dan memberikan tumpuan kepada anak-anak?

"Sebab itu, saya tidak kisah jika calon daripada kalangan wanita biasa. Apa yang penting, calon isteri mampu menjaga Mama dan anak-anak saya. Jika boleh 'pergi' dengan dua syarat ini, insya-Allah, saya akan okay," kata Shuib.

Ditanya adakah perasaan anak-anak menjadi keutamaan dalam memilih teman hidup, Shuib tidak menafikan, ia menjadi keutamaannya ketika ini.

"Pasti… saya perlu memikirkan perasaan anak-anak. Memang keutamaan adalah penerimaan anak-anak dan Mama. Jika mereka terima, barulah saya teruskan.

"Jika tidak, saya tak akan teruskan kerana ini bukan soal saya seorang. Kalau boleh, saya nak kehidupan seperti dahulu macam mana arwah melayan dan rapat dengan Mama, begitu jugalah calon isteri yang saya mahukan.

"Arwah dengan Mama cukup rapat, mereka boleh menjadi teman baik dan berkongsi macam-macam perkara. Selain itu, bahagian anak juga paling penting," kata Shuib.

Shuib meletakkan dua syarat agar calon isteri boleh membantunya menjaga Mama dan anak-anaknya disebabkan kesibukannya dalam perniagaan. - Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib meletakkan dua syarat agar calon isteri boleh membantunya menjaga Mama dan anak-anaknya disebabkan kesibukannya dalam perniagaan. - Foto IG Shuib Sepahtu

Disoal desas-desus mengatakan dirinya sudah mempunyai calon isteri, Shuib berkata, ada berkawan dengan seseorang, tetapi masih belum mempunyai perancangan melangkah ke fasa seterusnya.

"Mama dengan keluarga mentua selalu bertanya mengenai calon isteri. Terutamanya Mama, paling kerap bertanya jika saya sudah ada calon atau sedang mengenal hati budi seseorang.

"Buat masa ini, soal jodoh saya serahkan pada takdir. Takkanlah saya hendak menidakkan hukum Tuhan.

"Cuma, saya tidak gemar apabila ada yang mengusik masa arwah isteri meninggal dunia bukan main sedih lagi.

"Tetapi, sibuk hendak berkahwin lagi tak sampai beberapa tahun. Kita kena ingat, jodoh dan pertemuan Allah yang susun.

"Jika ditakdirkan saya berkahwin dalam tempoh terdekat, siapa saya hendak melawan takdir? Dan sekiranya jodoh saya lambat lagi, saya terima kerana ini juga ketentuan-Nya," katanya.

Namun, Shuib pinta, janganlah berlebih-lebihan mengusiknya.

"Saya sebenarnya tidak kisah kerana sudah lali dikecam, tetapi jangan berlebihan, kita tenang-tenang sudah," katanya.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 1.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos, tahun lalu melalui kaedah pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu tiga hari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

Esok, genap setahun pemergian penyanyi lagu Kesetiaan dan Semakin itu di unit rawatan rapi (ICU), UKM selepas tiga hari melahirkan anak keempat, Ayash akibat COVID-19.

Berita Harian X