Rabu, 3 Ogos 2022 | 6:17pm
Sukar buat Elizabeth memutuskan menimang cahaya mata segera memandangkan suami tidak bersedia disebabkan kepadatan jadual kerja. - NSTP/Aziah Azmee
Sukar buat Elizabeth memutuskan menimang cahaya mata segera memandangkan suami tidak bersedia disebabkan kepadatan jadual kerja. - NSTP/Aziah Azmee

Lizzy ingin hamil, suami belum bersedia

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon sensasi, Elizabeth Tan, 29, mendedahkan dirinya dan suami, Dr Siew Jim Ding, 31, kini sudah bersedia menimang cahaya mata pertama.

Elizabeth atau nama sebenarnya, Elizabeth Tan Su Mei berkata, tempoh percubaan untuk hamil dirancang, bulan lalu, tetapi terpaksa dianjak sehingga Oktober depan disebabkan kesibukan kerja.

"Sebenarnya, saya mengambil ubat perancang kehamilan selama dua tahun. Saya mengambilnya selepas selesai penggambaran filem Abang Long Fadil 3.

"Namun, saya cuba nak hamil, sekitar hujung tahun ini. Jika diikutkan, saya sudah merancang kehamilan, Julai lalu tetapi banyak pula 'job' masuk.

"Jadi, terpaksalah dianjak ke bulan seterusnya. Tetapi, disebabkan jadual kerja semakin padat, rancangan cuba mendapatkan cahaya mata dianjak sekali lagi sehingga Oktober," katanya kepada BH Online.

Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzy, sukar untuk memutuskan sama ada ingin menimang cahaya mata atau tidak, memandangkan suami tidak bersedia memiliki anak disebabkan kepadatan jadual kerja.

"Saya tahu perlu mengorbankan sebahagian besar kerjaya jika ingin bergelar ibu.

"Selepas jadi ibu, watak diberikan mungkin berbeza atau semakin berkurangan. Jadi, saya mengambil masa setahun untuk melakukan persediaan mental.

"Tambah pula, saya menginjak usia 30 tahun pada tahun depan. Doktor sudah menasihatkan saya hamil sebelum usia 35 tahun bagi mengelakkan bayi mengalami komplikasi seperti autisme.

"Jadi, saya mahu cuba hamil, penghujung tahun ini," katanya yang juga menginginkan anak perempuan.

Yusof dan Syafiq bersama barisan pelakon yang membintangi filem Abang Long Fadil 3. - NSTP/Aziah Azmee
Yusof dan Syafiq bersama barisan pelakon yang membintangi filem Abang Long Fadil 3. - NSTP/Aziah Azmee

Elizabeth ditemui pada majlis pelancaran filem Abang Long Fadil 3 diadakan di The Grounds Kuala Lumpur, semalam.

Berkongsi lanjut, Elizabeth teruja dan berterima kasih diberikan atas kepercayaan menjayakan watak utama menerusi filem arahan Syafiq Yusof itu.

"Saya ingatkan hanya watak 'cameo', tetapi Skop Productions memberikan watak utama sebagai Alice. Terima kasih atas kepercayaan.

"Selain menonton filem aksi seperti Spy Kids dan Charlie's Angels berulang kali, saya juga menghadiri kelas seni bela diri campuran (MMA) selama setahun.

"Sebelum penggambaran, penerbit, Datuk Yusof Haslam menghantar kami ke kelas untuk belajar menembak dan sebagainya.

"Sebenarnya penggambaran filem ini dijalankan pada 2019, iaitu pada awal pembabitan saya dalam lakonan. Jadi, secara peribadi saya percaya boleh buat sesuatu berbeza dan lebih baik selepas menonton filem ini.

"Saya merasakan aksi agak 'kayu', badan pula keras.

"Namun, saya sudah cuba yang terbaik pada masa itu," katanya yang turut mengalami kecederaan ringan susulan membuat adegan aksi pertarungan.

Elizabeth turut diberi tanggungjawab membawakan lagu runut bunyi filem berjudul Payung berkolaborasi dengan Zizan Razak.

Selain Elizabeth dan Zizan, filem terbitan Skop Productions turut dibintangi Johan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib, Kazar Saisi, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman dan Siraj.

Filem Abang Long Fadil 3 bakal menemui penonton pada 8 September depan.

Berita Harian X