Rabu, 3 Ogos 2022 | 5:49pm
Aizat dan Elyssa bakal bergelar suami isteri pada majlis akad nikah di sebuah premis acara di Puchong pada 14 Ogos ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Aizat dan Elyssa bakal bergelar suami isteri pada majlis akad nikah di sebuah premis acara di Puchong pada 14 Ogos ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Aizat, Elyssa nikah 14 Ogos

PETALING JAYA: Penyanyi Hanya Kau Yang Mampu, Aizat Amdan, 33, mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Elyssa Alia Ilias, 34, pada 14 Ogos ini.

Aizat atau nama sebenarnya, Muhammad Aizat Amdan berkata, majlis pernikahan akan diadakan secara tertutup di sebuah premis acara, di Puchong, Selangor.

"Untuk majlis pernikahan, kami mahu meraikan momen bersama keluarga dan rakan terdekat sahaja.

"Bagaimanapun, tetamu akan diraikan pada majlis resepsi pada hari yang sama.

"Mengikut perancangan, kami sepatutnya mahu bernikah pada 12 Ogos iaitu hari Jumaat, namun, selepas memikirkan banyak perkara akhirnya memilih tarikh 14 Ogos ini," katanya kepada BH Online.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran single baharu berjudul Hanya Kita Dua di Damansara Perdana, petang ini.

Aizat terpikat dengan personaliti Elyssa berbeza dengan wanita yang pernah ditemui. - NSTP/Rohanis Shukri
Aizat terpikat dengan personaliti Elyssa berbeza dengan wanita yang pernah ditemui. - NSTP/Rohanis Shukri

Berkongsi maklumat wanita pilihannya itu, penyanyi yang pernah dinobatkan Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2009 dan 2015 itu mengakui terpikat dengan personaliti Elyssa berbeza dengan wanita yang pernah ditemui.

"Kami mempunyai sikap yang berbeza. Elyssa suka bercakap, saya pula pemalu.

"Elyssa ibarat kopi buat saya kerana mampu beri tenaga dan pencetus semangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang muzik," ujarnya yang menjalinkan hubungan cinta dengan Elyssa sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Elyssa yang juga pernah mengacarakan program hiburan, Jom Wayang menyifatkan bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu sebagai lelaki budiman.

"Aizat menerima saya seadanya. Buat kali pertama saya tidak perlu berpura-pura di hadapan seorang lelaki.

"Hubungan kami sangat santai dan tak perlu nak menunjuk kami pasangan bercinta," katanya.

Tidak mengikat tali pertunangan, Aizat dan Elyssa hanya mengadakan majlis merisik yang diadakan Februari lalu.

Berita Harian X