Jumaat, 29 Julai 2022 | 5:08pm
Shuib selalu sedih, malah, sebak mengimbas semula detik pemergian Allahyarham Siti Sarah yang hari ini genap setahun pemergiannya dalam kalendar Islam.
Shuib selalu sedih, malah, sebak mengimbas semula detik pemergian Allahyarham Siti Sarah yang hari ini genap setahun pemergiannya dalam kalendar Islam.

'Tiada satu hari tidak ingat, fikir arwah Sarah'

KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Shuib Sepahtu sukar membuang perasaan sedih atas pemergian arwah isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang hari ini genap setahun meninggal dunia mengikut kalendar Islam.

Sebak saat soalan diajukan, Shuib tidak dapat mengawal diri mengimbas kembali detik pemergian arwah pada 9 Ogos lalu.

Bagaimanapun, kata Shuib, 37, atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, dia harus reda dengan pemergian arwah dan percaya dengan setiap aturan ditentukan Allah.

"Saya reda, cuma rindu yang sangat unik. Kadang-kadang, saya tak tahu nak cakap macam mana. Perubahan perasaan setiap hari tidak sama.

"Saya berikan satu contoh. Pernah tak teringat sesuatu perkara tanpa gagal, setiap hari? Saya melaluinya setiap hari dalam masa setahun ini.

"Tiada satu hari pun saya tidak ingat atau memikirkan arwah.

"Saya akan selalu bersedih, tetapi insya-Allah, saya reda dengan ketentuan ini. Saya bersyukur segala yang Allah beri dan aturkan untuk saya.

"Dengan apa yang dilalui, saya yakin Allah mahu berikan lebih baik untuk saya dan anak-anak, insya-Allah," katanya kepada BH Online.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi pada 9 Ogos, tahun lalu.

Hari ini, genap setahun pemergiannya mengikut kalendar Islam, di mana arwah Siti Sarah meninggal dunia sehari sebelum Awal Muharam yang jatuh pada esok.

Shuib bersama empat cahaya matanya, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan. - Foto IG Shuib Sepahtu
Shuib bersama empat cahaya matanya, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan. - Foto IG Shuib Sepahtu

Bagi Shuib, meskipun sudah setahun, dia masih merasakan baru semalam arwah meninggalkannya dan anak-anak.

Namun, dalam tempoh setahun ini, Shuib berkata, arwah tak pernah hadir dalam mimpinya.

"Saya sangat berharap dapat bertemu arwah dalam mimpi. Setahu saya, anak-anak, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin pernah bermimpikan arwah.

"Cuma, saya dan bapa mentua belum lagi. Saya hanya pernah bermimpi saya mencari-cari arwah, tetapi tidak berjumpa.

"Mimpi dapat melihatnya depan mata, belum lagi hadir. Saya berharap sangat dapat mimpikan arwah," katanya.

Berkongsi mengenai anak-anak, Shuib berkata, anak-anak masih bertanya mengenai arwah, namun semuanya dalam keadaan terkawal.

"Mereka masih bertanya dan kalau rindu, mereka beritahu. Contohnya, Talita. Saya kenal anak-anak dan tahu bila masa mereka merindui ibu mereka.

"Bila saya tanya, mereka akan jawab sangat merinduinya. Boleh tengok riak wajah mereka menangis.

"Namun, anak-anak tetap menerima pemergian arwah dengan baik, cuma, mereka memerlukan lebih perhatian daripada saya. Sayalah bertanggungjawab memenuhi apa yang mereka ingini, insyaAllah mereka okay," katanya.

Arwah Siti Sarah meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 1.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos, tahun lalu melalui kaedah pembedahan di HCTM, UKM iaitu tiga hari sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir.

Berita Harian X